Prolog - Selesai

45 7 1
                                    

Aku harap kau tak pernah wujud, apa yang aku buat ni, cuma satu perkara yang perlu aku lalui, dan kau ada kerana perkara itu memerlukan kau ada.

***

Sid berseorangan di tebing sungai, bersandar di pagar pembahagi keselamatan terbuat dari besi yang membahagikan sungai dan jeti sepanjang tebing sungai itu.

Esplanade. Papan tanda dengan tulisan besar di belakang Sid berdiri megah. Dia memusingkan arah badannya yang tadinya menghadap sungai, kini menghadap daratan, tempat berdirinya papantanda nama besar itu.

Seorang anak kecil berlarian di kaki lima jeti. Sepasang suami isteri memerhati dari jarak yang tak berapa jauh, mungkin anak mereka.

"Sid," dia memandang ke kirinya. Angin dingin tiba-tiba menampar pipi kirinya, bersama suara berbisik. Razman sedang berdiri di sebelahnya menghadap sungai. Sid juga kembali menghadap sungai. Dia memerhatikan air mengalir perlahan.

Matahari di langit kian rendah, awan nipis melindungi panas matahari. Daun pokok yang merimbun rendang juga meredupkan tempat mereka berdiri sekarang.

"Hm," Sid bersuara perlahan sambil menghela nafas pendek.

Seorang anak lelaki yang dia agak dalam lingkungan 4 tahun tiba-tiba berdiri di sebelahnya sambil memegang pagar besi, melihat ke air.

"Abang apa tu,?" Anak kecil itu bertanya sambil menunjukkan sesuatu yang terapung dipermukaan air. Dia mengalihkan pandangannya pada wajah Sid yang juga sedang memerhatikannya, dengan wajah menantikan jawapan. Sid senyum.

"Entah, kayu hanyut kot," Sid menjawab ringkas.

"Aiman sini, jangan kacau pak cik," ibunya separa bertempik sambil mendatangi Sid dan anaknya yang sedang berdiri di pagar besi pinggir sungai. Sampai di tempat, ibu muda itu memegang lengan anak lelaki yang dipanggil Aiman itu.

"Maaf dik, anak saya ni memang macam suka-suka je tegur orang," seketika Sid dan ibu anak lelaki itu bertentang mata.

"Tak pe, budak cerdik memang macam tu," Sid menjawab sambil tersenyum. Ibu dan anak itu berlalu menjauh dari Sid dan Razman yang masih berdiri di pagar besi itu.

"Maaf, aku dah banyak menyusahkan kau," Razman kembali menyambung kata-kata.

"Tak pe, aku ok je," Sid bersuara perlahan. Sesekali dia menoleh ke kiri dan kanan. Entah apa yang mahu diperhatikan, dia sendiri tak berapa pasti.

Dia kembali melihat ke permukaan sungai yang mengalir perlahan. Burung murai terbang rendah hingga menyentuh permukaan air. Air beriak mengikut arus perlahan. Sesekali, sesuatu dari dasar sungai yang timbul ke permukaan menerbitkan gelombang riak air yang agak besar.

Mereka berdua kembali terdiam. Seketika suasana hening. Matahari di langit semakin merendah sudah di balik pucuk kelapa di seberang sungai. Rembang senja mula mengeluarkan warna kekuningan di hujung langit.

"Terima kasih selesaikan hutang aku," Razman bersuara lagi. Sid mengalihkan pandangannya ke wajah Razman. Wajah temannya itu semakin berbalam-balam.

Dia sekadar membalas kata terima kasih Razman dengan senyuman.

"Aku pergi dulu," Razman menyambung kata-kata. Sid sekadar mengangguk.

"Razman," Sid bersuara perlahan. Razman merenung wajahnya.

"Pergilah, perpisahan antara lelaki tak perlu diiringi kata-kata," Sid menyambung kata-kata. "Kita cuma dua orang lelaki yang tak sengaja bertemu, dan macam biasa akhirnya masing-masing akan pergi menuju jalan sendiri."

"Ya," Razman mengangguk perlahan. "Macam tu lah sepatutnya."

"Aku sendiri tak pasti, apa yang aku buat ni realiti ke fantasi, wujud kau depan ni pun aku masih ragu," Sid bersuara perlahan, membuang pandangan ke pokok-pokok besar yang sedang bergoyang ditiup angin di seberang sungai.

Razman memalingkan tubuhnya ke arah berlawan dari tempat Sid berdiri, membelakanginya lalu melangkah perlahan. Pandangan Sid kekal ke seberang sungai. Razman melangkah semakin menjauh. Perlahan tubuh Razman semakin menghilang, berbalam-balam semakin kabur. Lalu bersatu dengan alam.

Sid mengalih pandangannya ke arah Razman pergi. Tidak ada siapapun di situ. Cuma latar belakang tempat rekreasi. Pagar. Bangku. Bunga.

"Pergilah," Sid memalingkan tubuh ke arah berlawanan, juga memulakan langkah pergi dari situ.

***

HutangWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu