PROLOG

82.8K 1.3K 97
                                    

"DASAR perempuan murahan!"

Aaryan menghempas pintu bilik hotel sekuat hati sebaik sahaja matanya dihidangkan dengan adegan yang cukup menyebalkan hati. Tidak pernah terbayang yang dia akan menyaksikan wanita yang dicintai sepenuh hati sedang bermadu asmara bersama lelaki lain. Malang sungguh hari ini. Kepulangannya ke tanah air disambut oleh perbuatan terkutuk itu.

Aaryan sengaja merahsiakan rancangan makan malam romantis bersama teman wanitanya di hotel itu, sekali gus ingin melamar wanita itu menjadi suri hatinya sebaik sahaja pulang dari Switzerland. Tapi, lain yang dirancang, lain pula yang jadi.

"Ryan!" Nyaring suara itu memanggil.

Aaryan menoleh seketika sebelum menyambung semula langkahnya.

"Ryan! Tunggu! Please..."

Lengan Aaryan dirangkul erat dari belakang menyebabkan langkahnya terhenti. Tajam renungan Aaryan jatuh kepada wanita di hadapannya. Ingin sahaja dia mengganyang wajah itu sehingga hancur, sehancur hatinya ketika ini.

"Kau nak apa lagi? Hands off! Kau tak payah nak pegang-pegang aku dengan tangan kotor kau tu. Aku jijik!" Aaryan menepis.

Terkejut wanita itu mendengar panggilan yang keluar dari mulut Aaryan, yang dulunya ber 'baby-sayang', kini sudah ber 'kau-aku'. Kasar sahaja bunyi itu menyapa halwa telinganya kerana Aaryan yang dia kenali sebelum ini merupakan seorang yang sangat manis pada setiap kata yang ditutur.

"Sayang, janganlah marah-marah macam ni. Semua ni salah faham aje..."

"Salah faham? Huh! Alasan bodoh apa aku dengar ni?"

"I boleh jelaskan pada you, sayang..."

"Aku tak perlukan penjelasan dari kau! Aku dah nampak semuanya. Kau ni... memang perempuan paling tak guna pernah aku kenal! Kau tidur dengan jantan lain belakang aku! Lepas tu, kau cakap ni semua salah faham?" tengking Aaryan hingga gema suaranya mengundang perhatian orang ramai.

Hazwan yang baru melintasi pasangan itu terus menghampiri mereka. Apa pula masalah mereka berdua sampai bergaduh di lobi hotel ini? Baru sekejap dia meninggalkan Aaryan untuk menunaikan hajat, tahu-tahu Aaryan sudah menyinga.

"Asal bro?" soal Hazwan kehairanan, kedua-dua alisnya diangkat.

"Kau tanyalah betina ni." Jari telunjuk Aaryan dituding tepat ke muka wanita di hadapannya.

Hazwan memandang ke arah teman wanita Aaryan. Rambut wanita itu kelihatan sedikit kusut dan berantakan.

"Hah, kenapa? Apa yang kau dah buat pada Ryan?" soal Hazwan ingin tahu.

"I... I tak buat apa-apalah. Ryan ni yang tiba-tiba nak hangin tak tentu pasal!" Wanita itu berdalih, cuba menutup isu.

Mencerlung mata Aaryan mendengar balasan itu. Makin panas hatinya apabila wanita itu berpura-pura menjadi mangsa keadaan dan menyalahkan dirinya. Memang sengaja cari penyakit!

"Eh, perempuan! Kau tak payah pura-pura tak tahulah! Kalau dah curang, cakap curang! Biar semua orang tahu perangai sundal kau ni!" Jerkah Aaryan sambil mencengkam kuat kolar baju wanita itu.

"Sa... sayang, apa ni? Lepaskan I, please?" Cengkaman Aaryan pada kolar bajunya cuba dileraikan apabila nafasnya seakan-akan tersekat.

"Kau tak perlu suruh pun memang aku akan lepaskan kau!" Serentak kolar baju wanita itu dilepas kasar sebelum Aaryan kembali merapatkan wajahnya.

"Aku nak kau dengar sini baik-baik. Mulai sekarang, kau bukan lagi girlfriend aku! Between us is over!" Tubuh wanita itu ditolak menjauhinya. Cukup sampai di sini hubungan mereka. Dia tidak perlukan wanita pembohong ini untuk terus berada dalam hidupnya.

"Sayang! No... no... no! You tak boleh buat keputusan macam ni. I masih sayangkan you, and you tak boleh putuskan hubungan kita. I tahu you pun masih sayangkan I, kan? You cakap macam ni sebab you tengah marah," rayu wanita itu.

"Pergi mampus dengan kau punya sayang! Rasa tu dah mati sejak aku tahu kau mengkhianati cinta aku! Aku benci kau! Aku benci perempuan macam kau!" balas Aaryan dengan riak bengis.

"I tak sengaja. I tak ada niat pun nak khianati cinta you, sayang. Sumpah! I boleh jelaskan semuanya pada you, but please... not now. Bukan dalam keadaan macam ni. I minta you bertenang dulu. Kita slow talk ya, sayang?" Wanita itu sudah tidak keruan.

"Apa lagi yang kau nak jelaskan, hah? Semuanya dah terbukti, bukan daripada mulut orang, tapi dengan mata kepala aku sendiri! Lagi kau nak tegakkan benang yang basah?" jerkahnya lagi.

"Sayang, I..."

"Cukup! Aku tak nak dengar apa-apa lagi daripada kau. Aku dah tak nak tengok muka kau lagi. Kau jangan berani muncul dalam hidup aku lepas ni! Kau dah boleh pergi layan jantan lain, layan sepuas hati kau!" teriak Aaryan lalu beredar dari hotel itu.

"Aaryan!" jerit wanita itu saat bayangan Aaryan semakin sirna daripada pandangan.

Hazwan yang menjadi saksi pergaduhan itu hanya menggaru kepala. Dia masih belum jelas dengan apa yang sedang berlaku, tapi dia tetap membawa langkah untuk mendapatkan Aaryan. Nanti-nanti sajalah dia korek cerita daripada rakannya itu. Aaryan mana boleh sorok apa-apa daripadanya. Mereka best buddy! Apa sahaja yang berlaku kepada Aaryan, semua dia tahu, termasuklah rancangan lelaki itu untuk melamar teman wanitanya malam ini. Dia juga turut sama membantu Aaryan membuat tempahan di hotel ini.

Wanita itu pula sudah terduduk di lantai dengan tangisan yang hebat. Mudah betul Aaryan memutuskan hubungan mereka tanpa memikirkan perasaannya. Hubungan yang terjalin selama tiga tahun itu akhirnya terlerai juga. Satu kenyataan yang sangat pahit untuk ditelan apabila dia kini bukan lagi teman wanita Aaryan.



©WNFHANNA - 2023

ALL RIGHT RESERVED

Starting date: 11 July 2023

Finish date: 14 September 2023

Published: May 2024

Yes! Captain Zul Aaryan [TERBIT]Where stories live. Discover now