6

1K 177 9
                                    

DARI kejauhan Ata perhatikan Qalbi yang duduk makan di kantin. Seperti biasanya, Qalbi duduk berseorangan tanpa teman. Hari ini dia nampak Qalbi makan dua bungkus nasi lemak dan minum air oren.

"Makan besar nampak." Tegur satu suara.

Qalbi mengangkat mukanya memandang sosok tubuh yang berdiri di hadapan mejanya. Ata! Ata datang! Mata melirik ke arah satu bungkus nasi lemak yang belum diusiknya. Sepantas kilat tangan menyambar nasi lemak itu dan disorokkan di bawah meja.

Malunya! Kantoi dia sejenis manusia pelahap! Sejak bila kau kisah, Qalbi? Soalan itu bermain di fikirannya seketika.

"Aku tak curi pun nasi lemak tu. Tak payah lah sorokkan." Ata labuhkan punggungnya di atas bangku. Duduk menghadap Qalbi.

Muka panik Qalbi dipandang bersama senyuman kecil.

"Kenapa kau duduk dekat sini? Tak duduk sekali dengan geng kau ke?"

Ata menggeleng. "Masing-masing rehat dengan girlfriend."

"Tinggal kau seorang ajelah ni?"

"Ya."

"Ohh. Dah makan?" Sayup-sayup kedengaran suara Qalbi bertanya. Lirikannya nampak malu-malu. Kunyahannya bergerak perlahan.

"Dah. Aku beli nasi goreng hari ni." Qalbi tak tanya pun dia makan apa hari ni, Ata sengaja beritahu.

"Tak tanya pun..."

"Aku saja bagitahu. Nasi lemak tu sedap tak?" Ata mengerling ke arah nasi lemak Qalbi. Nampak sedap aje. Ada kacang. Ayam pun sebesar tapak tangan.

"Biasa aje."

"Kau nak kata mak cik kantin masak tak sedap?"

Qalbi pincingkan mata. "Ada ke aku cakap macam tu?" Marah Qalbi balik.

Ata ketawa saja. Lelaki itu lipat tangan kanan ke meja dan sebelah lagi tangan menopang dagunya. Matanya terhala tepat pada Qalbi. Qalbi pandang kiri dan kanan. Dia sebenarnya resah. Rasa serba tak kena kerana diperhatikan Ata.

"Makan ajelah macam biasa. Tak payah malu-malu." Sekali lagi Ata tergelak.

Kunyahan Qalbi terhenti apabila Ata seakan dapat menghidu perasaannya. Memang Qalbi terasa malu ketika ini. Masakan dia tak berasa segan kalau dirinya diperhatikan sebegitu oleh seorang lelaki tampan. Jantungnya usah kata, memang dari awal lagi dah berdegup-degap seperti gendang bertingkah.

"Nak sikit kulit ayam tu boleh?" Ata tunding jari telunjuknya pada kulit ayam yang Qalbi asingkan dari nasi.

"Mana boleh! Tu aku punya. Save the best for last." Amboi, macam tu aje dia minta kulit ayam Qalbi!

"Kedekut."

"Kalau terliur belilah. Kata anak orang kaya." Qalbi menjeling.

"Yang kaya tu parent aku dekat KL. Parents dekat sini biasa-biasa aje."

Qalbi diam sejenak. Baru ingat perihal orang tua kandung Ata yang menetap di kota Kuala Lumpur. Masih jelas di ingatannya, Zaim ada sebut tentang orang tua Ata. Orang kaya, orang kenamaan. Mak usu pun ada cerita yang ayah kandung Ata itu seorang menteri. Tak pasti pula menteri apa.

"Kenapa tak tinggal sekali dengan parents kandung?" Tanpa dapat dikawal, mulut dah bertanya dulu soalan kehidupan peribadi Ata.

"Eh maaf! Tak perlu jawab." Sedar akan ketelanjurannya, Qalbi segera meminta maaf.

"Tak apa. Jawapan untuk soalan kau tadi, aku dah lama tinggal dengan abah dan umi. Dari umur aku 4 tahun lagi memang abah yang jaga aku. Sekarang aku dah 17 tahun. Aku masih di bawah jagaan abah dan umi." jelas Ata. Dia tak kisah pun bercerita tentang kehidupannya pada Qalbi. Entah kenapa dia selesa dengan Qalbi.

"Awali pun sama?"

"Awali tu adik angkat aku aje. Dia anak kandung abah dengan umi."

Terkejut. Tak menjangka itulah hakikat sebenar tentang kehidupan Ata.

"Tapi kenapa muka sama?" Bukan cuma Qalbi, ramai yang kata muka Ata dan Awali seiras. Ibarat kembar. Ketinggian pun hampir sama meskipun Ata tua dua tahun dari Awali.

"Sebab membesar bersama, kot?"

"Boleh jadi."

Sepi seketika. Mereka berdua membisu. Ata masih memerhati dan Qalbi pula baru selesai makan. Tak jadi nak makan dua bungkus nasi lemak. Rasa tak selesa pula tunjuk kerakusan di hadapan Ata. Eloknya dia bawa balik saja nasi lemak ni dan makan sambil tengok TV balik nanti.

"Qalbi." Ata memanggil lembut namanya.

Qalbi terus tegak.

"Ya?"

"Terima kasih."

"Untuk?"

"Sebab tolong aku hari tu. Kalau kau tak ada, mahunya lunyai aku diorang kerjakan. Dan payung tempoh hari, kau ambil ajelah. Tak payah bagi balik." Insiden hidung bergesel itu seakan bermain-main di minda. Kalau teringat, eh... tak sedar pun bibir tersenyum sampai telinga.

"Hal kecil aje. Thanks jugak sebab..." Ayat Qalbi tergantung.

"Sebab apa?"

"Sebab baik dengan aku."

Di kala hampir satu sekolah tak menyukainya atas sebab yang tak kukuh, Allah datangkan kepadanya beberapa orang baik yang sudi berteman dan berada di pihaknya. Cikgu Nurun, Awali, mak cik kantin, pak cik pekebun, mak cik pembersih dan Ata. Nikmat yang harus dia syukuri setiap hari.

"Kau pun baik dengan aku. Takkan aku kena layan kau jahat. Abah umi aku tak ajar aku buat orang macam tu." kata Ata.

"Bagus didikan pak cik Anas ni. Untung kau ada orang tua macam diaorang." Qalbi turut kagum. Jauh di sudut hatinya, dia cemburu. Dia juga teringin mempunyai orang tua seperti Ata.

Dia mahukan seorang ayah untuk bermanja. Dia perlukan sosok seorang ayah untuk mengadu. Dia perlukan sosok seorang ayah untuk melengkapkan dirinya yang bergelar anak. Begitu juga dengan ibu.

Dia ada ibu. Sayangnya wanita itu tidak menetap di bumi Malaysia. Dia baru saja berpindah ke bumi London mengikuti suaminya. Tak kisahlah wanita itu tinggal jauh atau dekat, kalau dah namanya Siti Haura, wanita itu memang tak pernah ada buat Qalbi. Percaya atau tidak, genap 14 tahun wanita itu pergi meninggalkannya di Kampung ini.

Disebabkan dosa seorang Siti Haura itu juga, Qalbi Fitiya jugalah yang terkena tempiasnya. 
   

TBC

Update: 28112023.

Yang Satu Onde histórias criam vida. Descubra agora