Prolog I

1.1K 56 0
                                    

ZIYYAN'S P.O.V

Aku memandang sepi ke arahnya. Walau tidak aku nampak wajahnya, aku tahu itu siapa. Kini, tiada sudah apa-apa hubungan lagi antara kami. Celoteh seorang kanak-kanak kecil yang berada tidak jauh daripadaku, sedikit sebanyak menghibur hatiku. Tanpaku sedar, bibirku naik, mengukir senyum nipis.

"Hah, berangan!" Tidak semena-mena bahuku ditepuk seseorang. Aku menoleh ke belakang. Kelihatan sahabatku, Thaqif mengukir senyum lebar.

"Mana ada aku berangan." Aku memalingkan muka ke sisi agar tidak dilihat oleh Thaqif. Mahu menyembunyikan perasaanku saat ini.

"Ceh, tak berangan konon. Habis, yang kau termenung tu kenapa?" soal Thaqif sambil kening kirinya dijongket berkali-kali. Agak curiga dengan tingkah laku sahabatnya yang satu ini.

"Tak ada apa," balas aku mendatar, lalu aku kembali memandang ke arah sosok itu semula. Sosok wanita yang amat aku rindui namun tidak mungkin aku akan dapat gapainya kembali.

"Weyh, Ziyyan," panggil Thaqif sambil bahuku ditepuk. Namun, aku tidak memandang wajahnya. Malas pula aku mahu melayan.

"Apa?"

"Tu... bukan bekas isteri kau ke? Dia ke owner kafe ni?" soal Thaqif dengan dahi yang berkerut seribu. Jari telunjuknya menunjukkan ke satu arah. Aku tergamam saat mendengarnya, lalu menoleh untuk melihat wanita tersebut.

Aku terkaku. Terpegun memandang seraut wajah lembut itu. Dia... telah berubah. Sangat-sangat berubah. Dia... amat berbeza berbanding dahulu.

Parut yang menghiasi wajah, kini sudah tiada. Riak wajahnya yang selalu suram, kini bertambah ceria. Calar-balar di lengan dan lebam-lebam di badannya gara-gara perlakuanku dahulu, kini sudah hilang sepenuhnya. Jari-jemarinya semakin cerah dan cantik jika hendak dibandingkan sewaktu bersamaku dahulu. Tiada lagi plaster yang menampal.

Juga, senyumannya yang melebar saat memandang orang ramai, jelas menunjukkan dia bahagia, malah lebih bahagia. Tanpaku.

Ah! Bodohnya kau Ziyyan. Mahu menyesal kini tiada guna. Sudah terlambat! Di saat dia masih ada, masih setia, kau memperlakukannya tidak ubah seperti seekor anjing kurap yang menjijikkan dan kotor. Dan kini kau mahukannya kembali? Apa kau mahu menjilat ludahmu sendiri? Hati kecilku berbicara sinis.

Aku hanya senyum. Dari tadi aku memandang sosok itu. Namun, tidakku sangka dia telah berubah. Nampaknya, dia lebih bahagia tanpa ada diriku di sisinya.

"Pa... pa?" Tiba-tiba ada seorang kanak-kanak kecil datang ke arahku. Dia berjalan dengan wajahnya yang seakan-akan tidak tahu apa-apa itu. Dari tadi dia memandang wajahku, aku yang melihat agak terkejut apabila memandang seraut wajah kanak-kanak kecil di hadapanku ini. Dia... Zayden Waqqas. Anakku.

Aku yang sedang duduk di atas kerusi segera memusingkan badan, menghadapnya. Tubuhku yang tegak tadi aku tunduk biar sama dengan ketinggian kanak-kanak berusia enam tahun ini. Aku sedar Thaqif yang duduk di hadapanku mula memandang aneh, namun tidak pula aku peduli.

"Zay... den," bisikku perlahan. Antara sedar atau tidak. Spontan tanganku naik, mengusap kepalanya. Iris mata hazel kanak-kanak kecil di hadapanku, tidak henti daripada menangkap wajahku. Menganalisis, memandang tanpa kelip seakan-akan sepasang mata itu bertanya, adakah aku ini bapanya?

"Papa? Papa Ayden ke ni?" soalnya polos. Aku hanya diam. Wajah itu, mirip denganku. Iris matanya sama sepertiku. Aku seperti melihat diriku sewaktu aku masih kecil. Bagaimana aku sebodoh itu suatu ketika dahulu aku pernah mengatakan bahawa kanak-kanak lelaki di hadapanku ini bukan anakku?

"Ya, Ayden. Papa di sini," balasku dengan nada suara yang cuba dikawal. Kepalaku tunduk memandang lantai. Aku malu untuk mengakui bahawa aku ialah bapa kandung kepada anak ini. Anak yang telah aku nafikan nasabnya.

"Waqqas?" Suara seorang wanita mengalihkan perhatian kami. Aku dan Zayden, tidak terkecuali juga Thaqif, serentak mengangkat kepala untuk memandang si empunya suara.

Berdiri di hadapanku, seorang wanita bertudung yang memandang Zayden dengan pandangan garang. Riak wajahnya jelas sedang marah. Matanya tajam memandangku, sebelum tatapannya berubah lembut memandang Zayden kembali.

"Kenapa Waqqas ada kat sini? Mama Waqqas cari," soal wanita itu lembut. Aku masih memandang wanita itu dan Zayden silih berganti. Sangkaanku, wanita di hadapanku ini ialah pembantu peribadi Khayla.

"Waqqas cari papa..." jawab kanak-kanak itu dengan nada polos. Aku perasan tangannya menunjukkan ke arahku. Aku terkaku.

"Papa Waqqas tak ada. Mama kan dah cakap, papa Waqqas dah lama mati," kata wanita itu. Aku tergamam setelah mendengarnya. Kata-kata wanita itu, benar-benar menusuk ke hati. Seakan-akan ditusuk oleh sebilah tombak yang amat tajam. Cukup membuktikan betapa bencinya Khayla terhadapku saat ini. Seteruk itukah aku sehinggakan Khayla menganggapku telah lama mati?

Tapi memang tidak dinafikan, aku memang teruk. Juga kejam.

"Ta... tapi-"

"Jom, pergi sana. Nanti mama marah." Wanita itu menarik tangan Zayden lalu berjalan menjauhi kami. Zayden kelihatan terpinga-pinga, tetapi dia hanya menurut.

Sempat dia menoleh ke belakang, lalu tangan kanannya melambaiku. Aku membalas lambaian itu. Dan, aku memandang Thaqif yang memerhati adegan kami sedari tadi.

Aku mengeluh berat.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now