KhayFa - 06

392 20 19
                                    

Dengan langkah lemah Khayla berjalan ke arah katil. Matanya sudah sembab akibat terlalu banyak menangis. Direbahkan tubuh ke atas katil bersaiz king itu. Muka ditelakupkan menggunakan bantal.

Khayla menutup mata, menjerit sepuas-puasnya walaupun tanpa suara. Hanya dengan cara itu dapat menenangkannya. Dia hanya inginkan ketenangan saat ini. Dia tidak mahu sesiapa mengganggunya.

Setitik air matanya gugur lagi. Badannya rasa amat sakit, begitu juga hatinya. Entah kenapa rasanya amat sakit sekali. Baru diuji seperti ini, dia sudah lemah, dia sudah tewas.

Kemudian, wanita itu mengubah posisi baringnya. Badan digulingkan, menelentang. Kedua tangan didepakan. Rambut yang serabai tidak dipedulikan. Matanya tepat memandang ke arah siling. Pegun memerhati kipas berwarna hitam yang sedang berpusing.

Hendak bangun, rasa malas pula. Jadi lebih baik Khayla baring sahaja di atas katil ini. Sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit tubuhnya yang terasa sengal-sengal.

Mata Khayla menatap siling yang kosong. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Mentalnya saat ini berantakan, fikirannya juga bercelaru. Terlalu banyak perkara yang membuatkan wanita itu rasa kusut kini.

Benaknya saat ini memikirkan yang bukan-bukan. Khayla menggigit bawah bibir, mencuba untuk tidak menangis lagi. Risau nanti dia sakit kepala.

"Mampu ke aku bertahan hidup satu bumbung dengan Ziyyan? Dapat ke aku menahan segala penderitaan yang dicipta oleh suamiku sendiri?" Hati kecil Khayla berbisik.

"Tak apalah, Khayla. Kau kuat. Selama 25 tahun kau hidup, kau dapat pekakkan telinga manusia yang kata-kata macam-macam kat kau. Takkanlah setakat kena benci dengan suami sendiri kau tak boleh hadap, kan?" Hati kecil Khayla berbicara lagi. Cuba memujuk diri sendiri.

"Lagipun kalau kau seorang, tak apa. Allah ada. Allah takkan pernah tinggalkan kau seorang diri." Khayla senyum. Menarik nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan diri sendiri.

Khayla yakin. Dia mampu hadapi semua ujian dan rintangan yang bakal menghambat. Walaupun dia tahu dia hanya seorang hamba yang lemah. Walaupun dia tahu suatu hari nanti, dirinya itu akan berada di titik terendah juga.

Wanita itu menutup mata. Ingin merehatkan diri sebentar. Membiarkan dirinya dibuai mimpi. Walaupun seketika, sekurang-kurangnya dengan tidur boleh membuatkan Khayla sedikit lupa dengan kesedihannya.

"KAU BODOH KE, Fael?" soal Thaqif dengan riak wajah geram menahan amarah. Cuba bersabar dengan tingkah laku jejaka di hadapannya. Ikutkan hati mahu saja dia cekik Ziyyan sampai biru!

Ziyyan beriak selamba. Disandarkan di tepi dinding sambil jarinya menolak-nolak skrin telefon ke atas. Walaupun dalam hati rasa gerun juga.

Jika Thaqif memanggilnya dengan panggillan Fael, bermakna marah jejaka itu bukan main-main.

Tambahan pula saat ini dia dapat merasakan emosi Thaqif sedang tidak baik-baik saja kini. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga dia tidak mahu melakukan apa-apa perkara yang boleh menimbulkan salah faham. Lagipun malas dia mahu bergaduh dengan lelaki di hadapannya ini. Buang masa.

"Apa kau cakap ni?" soal Ziyyan senada. Ketika ini, mereka berdua sedang berada dalam bilik pejabat Thaqif. Sengaja Ziyyan nak mengacau dalam tu biar Thaqif tak boleh buat kerja.

Namun begitu, pekerjaan mereka berbeza walaupun berada di dalam syarikat yang sama. Sebaik sahaja masuk waktu rehat tadi, terus Ziyyan datang ke sini memandangkan tiada Mikayla pada hari ini.

"Tak payah buat-buat tak tahulah, anak Pak Din oi. Nak kata bengap karang, bijak dah," Thaqif menjeling tajam ke arah Ziyyan. Muka cemberut ditayangkan. Memang benar-benar menguji kesabaran betul lelaki ini.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now