KhayFa - 07

370 22 6
                                    

Khayla memandang ke satu arah. Benaknya saat ini memikirkan pelbagai perkara. Yang pasti, perkara yang menyesak dada, perkara yang membuatkan dia boleh sakit jiwa jika difikirkan setiap masa.

Khayla hanya diam. Mulut tidak bergerak, apatah lagi untuk mengeluarkan bait kata daripada bibir mungilnya. Hanya berbicara dalam hati, berbual dengan diri. Sesekali, wanita itu menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sendiri.

Dia cuba bersabar. Cuba berkata pada diri sendiri bahawa dia kuat, mampu melawannya sendiri tanpa bantuan daripada makhluk Tuhan bernama manusia. Meski dia saat ini terkapai-kapai berpaut pada ranting ketika dihanyutkan arus deras.

Seketika, penumbuk digenggam kemas. Mutiara-mutiara jernih gugur lagi. Wanita itu mengalirkan air mata buat kesekian kalinya. Bagaimana dia ingin berdamai dengan takdir, jika memikirkan saja sudah sesakit ini?

Tuhan... mengapa rasanya begitu sakit sekali?

Jika sesiapa melihat keadaannya saat ini, sudah pasti tidak menyangka bahawa kesan di tubuhnya gara-gara dianiaya suami sendiri. Nampak jelas lebam di seluruh badan dan kesan luka di hujung bibir.

Namun begitu mata Khayla tetap fokus pada satu arah, seakan-akan dia berada dalam dunianya sendiri. Bunyi televisyen di hadapannya langsung tidak mengganggu wanita itu untuk mencipta khayalan sendiri.

Rambut kusut-masai, matanya gelap tiada sinar, senyumannya mati, pakaiannya juga sudah tidak terurus. Dilihat sekali imbas, Khayla seperti gadis pejuang depresi yang mengurungkan diri dalam bilik selama berbulan-bulan lamanya.

Bunyi loceng dari luar rumah membawa Khayla kembali ke alam nyata. Dengan langkah lemah Khayla pergi ke pintu. Ingin melihat gerangan siapa yang datang ke rrumahnya waktu tengah hari begini.

Pintu rumah itu dibuka perlahan. Khayla tiada daya hendak berdiri lama-lama. Hanya menunduk sedikit. Melihat kasut yang dipakai, dia tahu siapa yang datang.

Perlahan-lahan Khayla mengangkat muka. Riak wajah wanita di hadapannya serta-merta berubah. Dahi wanita di hadapannya juga kelihatan berkerut seribu.

"Ya Allah, Khayla. Kenapa ni?" soal Puan Sofea dengan nada risau. Melihat keadaan Khayla seperti ini, dia dapat agak ada sesuatu yang telah berlaku antara wanita bisu itu dan Ziyyan.

Pantas saja firasat hatinya tidak enak sejak tadi. Patutlah Puan Sofea tergerak hati hendak datang ke rumah agam ini.

Cepat-cepat Puan Sofea memegang erat kedua-dua bahu Khayla. Diperhatikan seluruh tubuh kurus yang berdiri di hadapannya ini. Ada banyak kesan lebam di bahagian lengan dan muka. Jelas kelihatan kerana Khayla memakai lengan pendek.

"Kenapa lebam-lebam ni? Khayla okey tak?" soal Puan Sofea lagi. Ingin mendapatkan kepastian. Dia dapat merasakan bahawa Ziyyan sudah mula menunjukkan taringnya.

Perlahan-lahan Khayla menggeleng. Memberitahu bahawa dia tidak baik-baik saja. Khayla masih menunduk. Tidak sanggup bertentang mata dengan satu-satunya wanita yang ambil berat tentang dirinya. Bukannya dia tidak tahu betapa risaunya wanita tua itu jika tahu ada perkara buruk menimpa Khayla.

"Tak okey? Kenapa? Siapa yang buat ni? Ziyyan ke?" Mendengar nama itu, automatik bibir Khayla mengukir senyum perit seraya mengangguk lagi.

"Ya Allah budak ni..." gumam Puan Sofea geram. Rasa ingin tepuk dahi, bukan dahinya tetapi dahi Ziyyan. Entah apa yang jejaka itu tidak puas hati sehingga sanggup mendera isteri sendiri.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now