KhayFa - 01

851 34 3
                                    

Ziyyan berlari laju masuk ke dalam hospital. Segera dia pergi ke kaunter pertanyaan. Nafasnya saat ini sudah tercungap-cungap, tidak teratur. Dalam benaknya saat ini hanya memikirkan Puan Zahra, ibunya.

"Maaf, boleh saya tahu Zahra binti Muhammad Said di wad mana?" soal Ziyyan laju. Matanya melihat si gadis penjaga kaunter tidak sabar. Bawah bibir digigit kuat. Aduh, rasa lambat pula perempuan di hadapannya ini mencari rekod.

"Wad 4A, Aras 2," jawab gadis itu lambat-lambat. Dia menjeling Ziyyan seketika. Wajah lelaki itu kacak namun entah kenapa dia dapat merasakan aura yang agak menyeramkan menyelubungi Ziyyan. Rasa seram sejuk dibuatnya.

"Terima kasih," Ziyyan berlari laju menuju ke arah wad yang diberitahu oleh gadis penjaga kaunter sebentar tadi. Dengan tidak sabar terus dikuak pintu wad itu kasar. Segera kornea matanya tertancap pada sekujur tubuh seseorang yang sedang terbaring di atas katil.

"Ibu!" Ziyyan separuh menjerit. Terketar-ketar dia memerhati raut wajah Puan Zahra yang memucat. Peluh merenek di dahi. Dalam fikirannya saat ini dia hanya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Ziyyan langsung tidak dapat berfikir positif!

Thaqif yang sedang duduk di atas sofa berjalan perlahan menghampiri Ziyyan. Jujur dalam hatinya saat ini masih berbekas rasa marah dan geram namun jejaka itu tahu, emosi Ziyyan tika ini lebih penting daripada egonya yang menggunung kini.

"Ziyyan, tolong keluar. Mak kau perlukan rehat," kata Thaqif perlahan. Sehabis lembut dia cuba berbicara dengan jejaka itu. Bukannya dia tidak tahu Ziyyan Fael agak panas baran orangnya. Silap hari bulan, Thaqif pula bakal dimasukkan ke hospital gara-gara dikerjakan oleh Ziyyan.

Disebabkan mereka sudah berkenalan agak lama, hanya Thaqif saja satu-satunya lelaki yang boleh bertahan dengan perangai Ziyyan selain daripada arwah bapa lelaki itu. Sikap Ziyyan yang kuat melenting dan cepat naik angin menyebabkan dia sukar untuk berurusan dengan orang lain.

Namun begitu, Ziyyan seorang yang disegani dan dihormati di syarikat jejaka itu. Namanya kerap meniti di bibir masyarakat sebagai tokoh yang banyak memberikan sumbangan. Dan Thaqif sedikit aneh apabila mengetahui tentang kenyataan itu.

"Tapi... mak aku. Kenapa dengan dia?" soal Ziyyan perlahan. Dia masih lagi tidak percaya. Setahunya, Puan Zahra tidak menghidapi apa-apa penyakit kronik. Hendak dikatakan mempunyai penyakit barah, tidak ada juga. Sihat wal afiat saja.

"Apa yang aku beritahu ni, aku harap kau dapat terima, ya?" Thaqif menunduk. Ziyyan masih lagi tertanya-tanya. Mengapa? Apa yang berlaku terhadap Puan Zahra?

"Mak kau sebenarnya penghidap kanser otak. Sudah tahap keempat," beritahu Thaqif sambil menunduk. Sejujurnya dia tidak sanggup hendak mengatakannya kepada Ziyyan, namun Ziyyan sebagai anak harus tetap mengetahuinya. Kenyataan yang pahit tetap juga harus ditelan.

"Ya Allah..." Terpacul nama Tuhan dari bibir lelaki itu yang sudah sekian lama tidak disebutnya. Ziyyan pejam mata rapat-rapat. Nafas ditarik panjang. Mahu saja dia ingin menangis ketika ini. Mengapakah ibunya diuji dengan penyakit seberat ini?

"Dah lama ke? Kenapa aku tak tahu apa-apa tentang ini?" soal Ziyyan kembali. Sungguh... Sungguh dia tidak menduga dia bakal diuji seperti ini. Mengapa Puan Zahra tidak memberitahunya apa-apa? Adakah dia tidak layak mengetahui hatta sedikitpun perkara tentang wanita itu? Adakah dia seorang anak yang tiada guna? Tiada fungsi untuk mengetahui hal ehwal ibunya setelah hampir 29 tahun bernafas di muka bumi ini?

"Sebab ibu kau tak nak kau tahu. Dia tak nak ganggu pekerjaan kau. Sebenarnya, dah lama. Cuma kau saja yang tak perasan," jawab Thaqif sambil menunduk. Dia agak terpukul, agak terkilan. Rasa bersalah kerana tidak memberitahu kepada Ziyyan sebelum ini sedangkan dia sebagai seorang anak lebih layak tahu berbanding dirinya yang hanya orang luar.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now