KhayFa - 03

255 15 4
                                    

"Aku terima nikahnya Khayla Wafa binti Harith Aqlan dengan mas kahwinnya RM 1 000 tunai." Dengan sekali lafaz, Khayla Wafa sah bergelar isteri kepada seorang lelaki bernama Ziyyan Fael.

"Bagaimana para saksi? Sah?"

"Sah."

"Sah."

"Alhamdulillah..." ucap tok kadi setelah ijab dan qabul tadi disahkan oleh para saksi. Bertambahlah satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh seorang pemuda di hadapannya ini.

Seluruh hadirin yang hadir tersenyum melihat kedua pasangan merpati dua sejoli itu akhirnya disatukan. Masing-masing mempamerkan riak wajah yang amat gembira.  Malah kedua-dua pasangan pengantin baru itu amat sepadan dan wajah mereka berseri-seri.

Manakala Khayla yang hanya memerhati sejak tadi perlahan-lahan memandang ke arah lelaki yang telah sah menjadi suaminya, Ziyyan Fael. Wajah wanita itu kelihatan bersih dengan solekan nipis. Bibir merahnya menguntum senyuman. Menambahkan lagi keserian wanita itu.

Semua orang yang hadir mula berbisik-bisik. Melihat wajah Ziyyan yang seakan-akan tidak ada perasaan itu, mereka tertanya-tanya juga. Bagaimana dengan reaksi Ziyyan setelah menjadi suami kepada seorang perempuan yang kekurangan dari segi fizikal? Gembira, marah atau terharu?

Ziyyan hanya senyap memandang sekeliling. Walaupun tidak ramai tetamu yang hadir, namun itu cukup untuk membuatnya rimas. Cuba ditayangkan wajah setenang mungkin walau dalam hatinya tika ini rasa ini tumbuk seorang demi seorang. Geram.

Tok kadi menadah tangan untuk membaca doa. Semua yang hadir turut menadah tangan, mendoakan kesejahteraan pasangan pengantin baharu ini. Semasa doa dibacakan, sempat ekor mata Ziyyan melirik Khayla yang duduk tidak jauh daripadanya. Dapat dilihat wanita itu tunduk, memandang lantai. Adakah sedang menangis, atau malu?

Usai doa selesai dibacakan, Ziyyan diminta untuk membaca lafaz taklik. Perlahan-lahan Ziyyan mengangguk. Walaupun dia sedang menahan geram dan sakit hati sekarang ini, namun jejaka itu tidak mahu merosakkan suasana perkahwinannya ini. Dia ada maruah yanyg harus dipertahankan, jika dia buat onar, rosaklah namanya nanti.

"Saya dengan sesungguhnya mengaku bahawa sekiranya saya meninggalkan isteri saya, Khayla Wafa binti Harith Aqlan untuk tempoh empat bulan hijrah secara berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan sekiranya saya atau wakil saya gagal menyediakan nafkah kepada isteri saya dalam tempoh yang sama di atas sedangkan dia taat, atau saya melakukan sebarang mudarat pada tubuh badannya."

"Kemudian dia mengadu kepada mahkamah syariah dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah dan dia memberi kepada mahkamah syariah yang menerima bagi pihak saya 10 ringgit, maka pada ketika itu tertalaq dia dengan cara talaq khulu' iaitu tebus talaq." Nada Ziyyan kedengaran tenang dan mendatar. Seakan-akan tidak ada perasaan. Wajahnya kelihatan tenang ketika membaca lafaz itu.

Lafaz taklik yang dibacanya saat ini hanya sekadar lafaz semata-mata. Ziyyan tahu apa yang akan terjadi dengan Khayla apabila bersamanya nanti. Apatah lagi dia langsung tidak mencintai isterinya itu.

Perlahan-lahan Ziyyan melorek senyum sinis. Dia tahu ini ialah janji daripada seorang suami kepada seorang isteri. Dia tahu ini janji bahawa si suami akan menjaga isterinya sehingga ke akhir hayat. Namun walaupun Ziyyan seorang yang menepati janji dalam segala hal, jejaka itu tidak dapat menunaikan janji yang satu ini. Kebenciannya terhadap isterinya semakin menggunung.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now