KhayFa - 02

775 36 9
                                    

Pagi itu, Khayla hanya berjalan mundar-mandir di sekeliling rumah. Bahagian isi dalam pipi digigit kuat. Sejak dari semalam lagi dia risau. Risau jika ada apa-apa perkara buruk berlaku terhadap Puan Zahra.

Dalam hati wanita itu tidak putus-putus berdoa. Berharap kesihatan wanita itu baik-baik saja. Mana tidaknya, dia sudah menggelabah apabila Puan Zahra tiba-tiba pengsan di hadapan matanya. Hendak membantu, dia tidak tahu bagaimana.

Mujur ketika itu ada jiran yang dikenali sebagai Puan Sofea yang menyedari kejadian itu kerana pada waktu itu, Puan Sofea bertandang ke rumah kerana pada awalnya niat wanita itu bertandang ke rumah Puan Zahra kerana mahu berbual-bual.

Namun alangkah terkejutnya wanita itu apabila Khayla memberitahu kepadanya bahawa Puan Zahra pengsan di ruang tamu melalui sekeping nota. Tanpa membuang masa, Puan Sofea segera membawa Puan Zahra ke hospital. Khayla juga melihat Puan Sofea segera menghubungi seseorang.

Khayla mengusap-usap kedua-dua kekura tangannya yang dirasakan agak sejuk. Berdebar-debar apabila memikirkan apa yang mungkin terjadi terhadap Puan Zahra. Dia hendak pergi ke hospital, takut. Jika menaiki teksi, dia takut pemandu teksi rasa pelik apabila melihatnya tidak berkata-kata, hanya menulis melalui nota.

Ya, Khayla amat takut. Dia poranoid. Bertahun-tahun gadis itu mengurungkan diri di dalam rumah, tidak berinteraksi dengan masyarakat. Dia takut masyarakat sekeliling mencemuhnya dan memandangnya serong. Selama ini ibunya, Puan Sumayyah yang keluar membeli dan menguruskan itu ini.

Jika keluar rumah pun, Khayla lebih memilih untuk mendiamkan diri. Dia tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang lain selain ibunya. Hanya wanita itu sahaja yang melayaninya, yang memahaminya. Kini, tanpa wanita itu, Khayla seakan-akan patah sebelah sayap yang paling dominan dalam hidupnya.

Trauma yang dialami membuatkan Khayla menjadi takut dengan manusia. Kini, dia harus berdikari, harus melakukan semuanya sendiri. Mahu tidak mahu Khayla harus cuba untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling, setelah hampir bertahun-tahun lamanya menyepikan diri.

Khayla menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba menenangkan diri sendiri. Walaupun sukar, dia akan cuba. Kerana dia tidak tahu, adakah esok, lusa dia masih diberikan peluang untuk bernafas di muka bumi ini lagi.

Bunyi deruman enjin kereta mengejutkan Khayla daripada lamunan yang panjang. Segera dicapai tudung yang sedia tersangkut di pintu, disarungkan ke kepala. Gadis itu mengintai di sebalik tingkap, tertanya-tanya siapa manusia yang datang ke rumahnya.

Segera Khayla ke luar rumah apabila menyedari bahawa sosok yang datang ke rumahnya ialah Puan Sofea. Automatik bibirnya melarik senyum, lantas dia salami wanita itu seraya mencium tangannya.

"Assalamualaikum, Khayla okey? Dah makan?" soal Puan Sofea ramah. Dia agak risau apabila melihat tubuh Khayla yang kurus semacam. Seperti kurang makan.

Khayla mengganggukkan kepalanya perlahan. Memberitahu kepada Puan Sofea bahawa dia sudah makan. Sempat kornea mata gadis itu menangkap wajah Puan Sofea yang seakan-akan dibalut kerisauan. Dahi licin Khayla berkerut sedikit.

Pantas gadis itu mencapai pen dan buku nota yang biasa dibawa ke mana-mana. Laju saja tangan Khayla menari-narikan mata pena di atas kertas itu. Puan Sofea hanya memerhati, melihat sahaja tingkah laku gadis muda di hadapannya.

Disebabkan Puan Sofea tidak memahami bahasa isyarat, ini membuatkan Khayla perlu menulis di atas sehelai kertas setiap kali mahu berkomunikasi dengan wanita itu.

Malah, Puan Sofea sendiri yang meminta Khayla menulis jika mahu memberitahu atau bertanya apa-apa kepadanya. Tanpa sebarang kata, dengan rela hati Khayla hanya menurut.

SU | Atma Ziyyan FaelWhere stories live. Discover now