8. Retak Menanti Derai

12 2 0
                                    

Kereta dipandu Izhan masuk ke perkarangan rumah teres yang disewa Tari. Setelah kenderaan dimatikan, dia lekas keluar menuju but kereta dan diekori Rian. Mereka memunggah keluar barangan Tari.

Gadis itu pula ke muka pintu. Kunci disorong ke dalam mangga pada gril. Dipulas, tidak dapat. Dari kanan dia berdiri, ke kiri sudah. Seperti pencuri, mata Tari melingas sebelum mangga disenjah sehingga bergegar palang-palang besi. Hampir terkucil dia di situ.

"Tari, kau jangan buat hal. Rosak benda itu, mengamuk tuan rumah," laung Izhan yang memanjang lehernya mengintai Tari dari but kereta.

"Angah, tolong. Tak retilah nak buka."

"Tak apa. Mari sini aku buat." Rian muncul di hadapan pintu.

Kunci dan mangga yang bercantum tanpa mampu ditanggalkan segera Tari tinggalkan. Dia langsung menjarakkan diri.

Dengan sekali cubaan, mangga berjaya dibuka Rian. Kedengaran suara kecil Tari yang kekaguman di belakang, Rian menyimpan senyum. Gril ditolak lalu pintu yang berkunci pula dibuka.

"Masuklah. Hari jumpa tuan rumah, aku dengan Izhan dah periksa setiap ceruk rumah dari depan sampai belakang. Okey, tak ada masalah. Kali ini kau perhatilah sendiri. Kalau ada apa-apa, hubungi saja tuan rumah."

Gugusan kunci diserahkan semula pada Tari.

"Terima kasih."

Kunci disambut Tari. Kaki kanannya menjejak lantai mozek rumah sambil dia memberi salam. Suis lampu juga kipas ditekan. Semua berfungsi dengan baik. Dia mengelilingi ruang tamu dan bergerak ke setiap bilik sehingga ke dapur.

Benar kata Rian. Segalanya sudah elok mata memandang.

"Tuan rumah cakap, ada beberapa rakan serumah yang akan masuk. Cuma lagi dua minggu. Kau tahu tak? Tak apa ke duduk seorang?" soal Izhan yang masuk sambil menolak bagasi Tari.

"Tahu. Aku dah biasa. Lagipun tadi aku tengok siar kaki kawasan sini selamat dan terus ke stesen MRT. Ada CCTV lagi. Tak payah risaulah."

Beg besar di bahu Izhan diambil Tari lalu diletakkan ke dalam biliknya.

"Dah nak masuk zohor. Kita solat dulu lepas itu bertolak ke Kuantan," ujar Izhan sambil mencuit Rian untuk mengikutinya ke dapur.

Lelaki itu dipastikan untuk menempel dengannya sentiasa. Tidak boleh dibenarkan merayau ada di luar pandangan. Tari pula diisyaratkan masuk ke bilik.

Tari mengangguk. Pintu hampir terkatup sebelum kepalanya terjengul.

"Angah, tak pergi kolej Irish dulu ke? Hari itu dia cakap nak datang konvo aku."

Tanpa berpaling dan menonong masuk tandas, Izhan membalas, "Irish tak jadi ikut. Dia ada kuiz esok."

Tari menarik muka. Pintu ditutup dan dikunci. Ada kecewa menghenyak jiwa. Sebahagian lagi berkecil hati kerana bukan dia yang dimaklumkan terlebih dahulu oleh Irish tentang pembatalan itu.

"Sampai hati Irish. Konvokesyen kau nanti, aku tak nak pergi," rungut Tari dengan mulut memuncung.

Tangan laju mengemas barang sedikit sebanyak yang dia sempat. Begitu juga diasingkan terus pakaian dan keperluan untuk ke Kuantan.

Sesekali terbit senyuman di hujung bibir. Teruja untuk pertemuan dengan rakan sekelas esok tidak terbendung. Dia rindu untuk bersosial dengan teman lama. Bahkan kini suasana kolej dan kawasan universiti yang ditawaf selama tiga tahun lebih itu seperti sedang melambai Tari. Menggesa dia untuk segera pulang ke tanah tempat dia menimba ilmu.

Di Kuantan sendiri, Tari meninggalkan sebahagian hati. Menjadi rumah yang sederhananya memikat kehidupan ringkas seorang Tari. Daerah itu sentiasa meletakkan Tari dekat pada hal-hal yang menenangkan sebagaimana kampung halamannya.

Mentari Kampung LangsatWhere stories live. Discover now