20. Diam-diam Ada Sayang

9 2 0
                                    

"Imran, drama ini menarik tapi aku baru tengok. Jadi, aku tak berapa faham. Apa jadi kat perempuan yang muka sama dengan dia kat dunia baharu itu?" soal Tari seraya merendam hirisan jambu batu ke dalam mangkuk colek kicap pedas.

Apabila diabaikan, Tari mengerling ke sofa di sebelah. Imran terbaring di situ sambil bermain permainan dalam talian. Tidak remaja lelaki itu memberi perhatian padanya.

"Imran, kau marah kat aku lagi ke? Dah dua hari aku minta maaf, kan?"

Masih diam, Imran mengubah posisi mengiringnya dengan membelakangi Tari.

"Kau tak puas hati apa? Cakaplah. Aku baran tahu kalau diam macam ini. Dengan muka berlipat seribu. Cakap apa pun tak nak."

Imran membisu.

Tari mengurut dada menahan sabar. Lima hirisan jambu disumbat ke dalam mulut. Dikunyah setiap satu dengan rakus. Mata kembali ke skrin tivi.

"Oh, perempuan yang sama dengan muka watak utama ini koma rupanya! Wah, nasib baik Tara masuk dunia ini dan jumpa si Jayden. Baik orangnya! Nama aku dengan watak utama ini dahlah nak sama. HAHAHAHA. Elok juga kalau dapat jodoh sebagus Jayden," jerit Tari.

Sengaja.

"Alah, baru nak tengok Tara itu lakonkan kehidupan dia sendiri kat dunia baharu tapi dah iklan!"

Tidak semena, bantal peluk di sofa dilempar pada Tari.

"Bisinglah! Kau tak reti cakap perlahan ke?"

Akhirnya Imran bersuara. Dahinya berkerut disertai jelingan maut.

"Ada pun suara kau?"

"Ibu, tengoklah tari-menari ini. Perangai macam budak-budak." Imran mengadu.

Geram, Tari mencuit ibu jari ke dalam colek buah tadi. Dia kemudiannya bangun.

"Apa kau panggil aku tadi?"

Bersedia melawan, Imran turut bangkit. Bukaan kaki melebar dan leher diregangkan sehingga berbunyi gerak tulangnya.

"Tari. Menari. Tapi tak jadi. Sebab kau cuma cacing tanah," karut Imran.

Di kesempatan Imran sibuk mereka carutan, Tari pantas menepuk bahu Imran. Kemeja sekolah putih Imran tergores dengan kicap. Menjerit kasar adik bongsunya itu.

"Berani kau? Aku lawan. Aku lawan!"

Telapak tangan, Imran celupkan ke dalam mangkuk colek buah. Tangan yang meleleh dengan kicap pekat itu ditayangkan di hadapan Tari.

"Melutut sekarang. Kau dah kotorkan baju aku dan kau takkan lepas macam itu saja. Melutut atau aku sapu kicap ini kat rambut kau," ugut Imran.

"Tak nak! Kau yang pelik. Apa pasal pakai baju kemeja hari Rabu? Bukan ke hari ini hari kokurikulum? Pakailah seragam pengakap kau itu."

Tari menjongketkan sebelah kening. Yakin bahawa dia sudah menang perdebatan tadi. Namun, riak wajah Imran yang tegang tadi kendur.

"Hari ini dah Khamis. Kau kenapa, kak? Pagi tadi sebelum aku pergi sekolah, aku dah dengar kau soal ibu kenapa aku pakai kemeja putih ini. Aku balik tadi pun kau sibuk tanya ibu lagi. Sekarang, soal aku pula."

Kepala yang tidak gatal digaru Tari.

"Tak perasan pun? Oh, mungkin sebab aku asyik fikir yang tiap Rabu aku ada short meeting dengan bos kat tempat kerja. Tapi sebab aku dah tak dapat nak hadir, aku anggap kerja aku tak setel lagi," jelas Tari sebelum tergelak kecil.

Seperti nanar terjaga daripada tidur, Tari berpusing sebelum merebahkan tubuh ke sofa berhadapan tivi.

"Kau kenapa tercegat kat situ? Pergilah basuh tangan. Dah menitis kicap atas karpet. Bising ibu nanti," halau Tari seraya tisu di meja dilekapkan ke karpet kesayangan Miyah yang berkicap.

"Kau tak okey ini. Doktor yang jadi terapis kau kat KL itu tak scan ke kepala kau? Mana tahu otak hilang?"

Tari mengerling Imran seraya mengesahkan sesuatu. Benarlah itu adiknya. Cara berfikir juga sama.

"Sibuk sajalah kau. Shush! Aku nak tengok drama Terbang Ke Langit Palsu ini. Jangan sampai aku terbangkan kau keluar dari ruang tamu pula."

Imran menunduk mengemas meja lalu mengangkut semua sisa makanan ke dapur. Sempat dia melirik Tari yang entah menonton tivi atau ditonton kembali oleh watak-watak di dalam drama dek jauh sekali menung kakaknya itu.

Di dapur, kelihatan Miyah sedang sibuk menyiang ikan di sinki.

"Ibu, nanti suruhlah kakak kemas rumah ke, basuh baju ke, lipat kain ke. Kalau dia duduk goyang kaki saja macam sehari dua ini, makin tak betul Imran tengok."

Kata-kata Imran membuatkan Miyah berhenti mengorek buang isi ikan untuk seketika.

"Imran fikir macam itu ke? Ibu ada bincang dengan abah. Kami sepakat tak nak bagi dia buat apa. Selama kakak kat KL, rutin dia dengan kerja 24 jam. Bila dah direzekikan balik kampung, nak dia rehat saja."

Ikan keli seterusnya dicapai Miyah. Mata pisau mula membelah dengan cekap.

"Tapi itulah. Ingat pagi semalam? Kalut ibu cari mana kakak kau hilang. Nak saja suruh abah kerah satu kampung pergi cari. Lepas sejam dua barulah nampak muka. Balik rumah dengan kain solatnya, plastik besar jambu batunya. Memang tak boleh duduk diam dia."

Pili air dibuka Imran lalu membasuh pinggan mangkuk Tari.

"Kakak bukannya kerja sampai empat lima tahun. Campur setengah tahun praktikal, tak sampai dua tahun. Tapi kenapa boleh jadi macam itu?"

"Haip! Susah orang jangan perkecilkan. Tak kiralah 10 tahun ke, 10 bulan ke. Perjalanan hidup orang, adalah durinya kat jalan masing-masing. Kakak, perempuan. Duduk sana seorang," tegur Miyah. Sebak menghunus dadanya.

Pucuk hidung mula kemerahan. Dengan suara bergetar, Miyah menyambung.

"Makan minum, pakaian, rumah, kerja, semua urus sendiri. 24 jam kakak tak sama dengan 24 jam kita. Dengan tok wan meninggal hari itu. Sempat balik dah mujur dia. Esoknya, kena hidup macam tak ada apa. Tak semua orang boleh buat. Kalau ibu, lama dah rebah."

Ketika berasa hingus hiba meleleh ke mulut, Miyah menyeka dengan belakang tangan. Darah hanyir ikan melekat ke muka.

Terteleng kepala Imran ke muka Miyah. Dia mendecit lalu menggeleng perlahan.

"Pontianak sayang anak, keluar air mata darah. Ibu sayang anak, keluar hingus darah. Dahsyat!" komen Imran seraya menadah air paip lalu membersihkan muka ibunya.

Miyah mengekek dengan tingkahnya sendiri. Dia berserah sahaja ketika Imran mengelap mulutnya.

"Siap dah?" tanya Miyah.

"Sempurna."

Mereka berdua berbalas senyum di petang Khamis yang aman sebelum dilanda ribut Tari. Bahu Miyah dan Imran dirangkul depaan Tari dari belakang.

"Buat lawak tak ajak," rajuk Tari.

"Kita orang baru saja buat dark jokes pasal kau. Nak dengar?"

Tari mencebik. Dengan megah dia menyilangkan tangan ke dada.

"Tak naklah. Izinkan aku buat light jokes pasal kau. Geng badminton kau tadi datang nak ajak kau pergi court tapi aku cakap kau nak main mekap-mekap kat rumah dan dia orang pun beredar."

Membuntang mata Imran. Bermukaddimah dengusan bak naga mengamuk, dia terus menghentak kaki menggegar lantai rumah ketika berlari naik ke bilik.

Berdekah Tari melihat bengis adiknya.

"Tari, tak baik buat Imran macam itu. Tak elok burukkan adik sendiri."

"Tari tipu sajalah. Kawan-kawan dia ada kat pangkin depan sana."

Miyah menjegil anak perempuannya. Nakal yang sungguh tidak terbendung. Tetapi tetap ada lega menerobos hati. Rumah yang sentiasa sunyi itu setidaknya riuh kembali.

Izhan sudah sibuk di kebun. Imran pula asyik bersukan setiap petang jika tiada kelas tambahan. Hendakkan Irish, juga jarang pulangnya. Jika tidak kerana Indah sering bertandang bersama si kecil Hana, tentu sahaja dia sendirian.

Sendirian, membuka ruang untuk dia mengenangkan emaknya yang sudah tiada.

Mentari Kampung LangsatWhere stories live. Discover now