15. Pulang

15 3 0
                                    

"Peluang."

Tari bersandar ke tiang kaki lima bangunan. Tangan bersilang pangkah ke dada dan jemari menepuk kedua-dua belah bahu.

"Bagi peluang kat diri kau untuk cari jawapan, Tari."

Nafas ditarik dalam. Dalam buku lima dia genggam semangat. Tari mengerling pintu kaca klinik di belakang. Ia dibuka dan kedai nasi kukus ditutup. Mata melilau ke sekitar. Tiada sesiapa.

Waktu yang sempurna.

Kaki diangkat melaksanakan derapan pertama.

"Tari, awal turun makan? Selalunya makan bekal sandwic kat surau saja?"

Tari berpaling dan terpana. Sekumpulan besar rakan sekerjanya berada di belakang. Pada wanita yang menegur, Tari berikan sengihan.

"Terlebih lapar hari ini, Kak Nita."

"Awak mesti tak tahu. Kedai ini memang tutup hari Khamis. Jadi kami semua sepakat nak pergi kedai nasi ayam sebelah sana."

Terangguk-angguk Tari. "Banyak pula kedai makan kat sini. "

"Jomlah," ajak wanita itu.

"Jap, saya sebenarnya ... ."

"Jemput masuk ke Klinik Suria, cik dan encik semua. Hari ini kami ada agihan minuman percuma. Silalah ambil, ya?"

Pintu kaca klinik dikuak dari dalam memunculkan wanita berbaju kurung yang tersenyum manis.

"Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Mari kita masuk sini dulu lepas itu gerak pergi kedai." Nita yang mengepalai kumpulan itu menyerbu klinik. Tari diheretnya bersama.

"Cantik klinik ini, ya? Tapi macam tak ada orang. Baik awak buka klinik yang sakit biasa-biasa saja. Kalau macam ini terus, tak untung." Nita mencapai sekotak air minuman.

"Terima kasih untuk perhatiannya. Yang datang sini pun sakit biasa-biasa juga. Cuma orang lain saja yang tak nampak sakit mereka. Sebab itu kita buka klinik. Manalah tahu kot pesakit itu datang nak dapatkan rawatan?" ujar wanita itu seraya melirik pada Tari.

"Oh, sakit apalah yang macam itu. Kita orang gerak dululah. Terima kasih untuk minumannya."

Nita sekali lagi menjadi kepala kumpulan. Sekelip mata klinik itu dikosongkan. Yang tinggal hanya wanita tadi, pembantu di kaunter dan juga Tari.

"Ya, cik? Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

Tari menggaru kepala yang berlapik tudung. Dengan teragak-agak dia menarik surat di dalam beg lalu diserahkan kepada wanita tadi.

Ketika surat itu disambut dan dibaca wanita itu, Tari bersuara.

"Saya bukannya nak datang sangat. Tapi doktor kat klinik itu yang sarankan saya ke sini. Saya ikut apa yang dia cakap saja," jelas Tari.

"Tak apa. Yang penting dah sampai sini. Selamat datang ke klinik kami. Saya Doktor Umairah, antara psikologis klinikal di Klinik Suria."

Mereka berdua bersalaman sebelum Tari dijemput ke biliknya. Umairah memulakan perbualan dengan rinci menyoal perihal nota yang dititipkan dalam surat yang diberikan oleh Tari.

Mentari Kampung LangsatTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang