18. Kampung Langsat

16 3 0
                                    

Senja menjengah bumi Kelantan ketika Tari tiba di perhentian bas. Tempat itu masih dalam keadaan yang sama seperti era sebelum kelahirannya. Sudah lama tidak menaiki bas, Tari meregangkan tubuh di tempat menunggu. Lenguh segala anggota.

Dia mendongak ke langit yang dirindukan. Telefon lekas dikeluarkan. Kanvas berona ungu dengan calit-calit kemerahan itu dirakam kamera.

Sedang ralit dia membuat tangkapan indah langit, satu suara menyeru namanya. Tari segera berpaling. Langsung dia terteleng melihat susuk itu.

"Kau ... ?"

"Aku lagi?" Rian menuding diri sendiri.

Tari mengangguk.

"Ada orang meninggal pula ke kat hospital?"

Kaget dengan soalan sendiri, Tari terkedu. Apatah lagi Rian yang menjadi target soalan diajukan.

"Asal kau mengarut? Dari tengah hari Izhan ikut ayah aku pergi Wakaf Bharu beli bajalah. Sampai sekarang belum balik. Itu yang dia suruh aku datang jemput kau."

Tidak mampu membalas, Tari terus bangun. Beberapa beg disandang ke bahu. Bagasi yang cuma hujung kudrat mampu tarik, digelek rodanya.

"Kau patutnya tak payah dengar cakap dia. Aku boleh minta abah aku datang ambillah. Aku ... ish. Tak naklah balik kampung berdua dengan kau. Apa orang kampung cakap kalau nampak nanti?"

Rian menggaru kepala yang tidak gatal. Baru sahaja hendak bersuara, ada seseorang sudah mencelah.

"Apa berdua? Bertigalah."

Laju Tari berpaling pada remaja lelaki yang sama ketinggiannya dengan Rian yang sudah mengalahkan pokok kelapa. Remaja itu masih berseragam sekolah.

"Kau kenapa datang, Imran? Hari ini selasa. Tak sekolah ke?"

"Sekolah kepala otak kau. Dah nak masuk maghrib ini. Aku tamat kelas tambahan pun dari petang tadi lagi. Habis sekolah, abang Rian datang. Ajak aku teman dia ambil kau."

Dicarut Imran setelah sekian lama, buat Tari tersengih.

"Kau kenapa baru muncul? Tadi tak nampak pun?"

"Aku duduk kat kerusi belah sana. Main game. Jomlah. Aku dah berlengas satu badan. Stesen pula panas, bersesak-sesak. Rimas," kritik Imran seraya mencapai salah satu beg Tari.

Ketika hendak mencapai pemegang bagasi, tangan Imran serentak tiba dengan tangan Rian. Mereka saling berpandangan.

"Bang, dia bawa Gunung Setong dalam ini. Berat. Percayalah."

Tari menampar bahu Imran. Semua beg besar kecil diagihkan kepada mereka berdua. Bagasi ditariknya semula sebelum menonong tanpa hala tuju. Tersedar hanya dia ke arah itu, Tari menoleh.

"Mana kereta?"

Sekali lagi, Tari berada di belakang Rian di dalam kereta ketika azan maghrib berkumandang di corong radio. Lambat-lambat Tari menoleh ke sisi. Masih dia ingat betapa layu tubuh Miyah di hujung tempat duduk bersama tangisan tanpa henti.

Tari membuka beg tangan. Ada sehelai baju yang dilipat kecil ditarik keluar sedikit. Baju kapas dengan lengan tiga suku milik tok wan. Masih ada dalam simpanannya walaupun bauan tok wan sudah tidak menyengat rongga nasalnya seperti dahulu.

"Bang, dah tiga kali kita ikut jalan ini. Abang okey tak?"

Soalan Imran buat Tari mendongak. Benar, itu kali ketiga mereka melewati surau lama yang terbengkalai di sisi jalan.

"Okey. Cuma ... kejap. Kau orang pun cari cabang masuk ke kampung kita juga, eh. Aku tak perasan kat mana jalan susur dia."

Tiga pasang mata melekap ke setiap tingkap kereta. Mencari laluan yang bahkan terhadap orang kampung sendiri, tersembunyi.

Mentari Kampung LangsatWo Geschichten leben. Entdecke jetzt