23. Impian Kecil

7 0 0
                                    

Hon panjang dibunyikan oleh sebuah lori yang berhenti di bahu jalan. Kelihatan Izhan melambai dari tempat duduk pemandu.

Tari dan Miyah berlari anak mendekati kenderaan muatan berat itu.

"Naiklah. Abah telefon tadi suruh ambil ibu dengan Tari. Maaflah lambat. Nak kena penuhkan tong buah dulu untuk hantar ke kedai," jelas Izhan seraya membuka pintu lori dari dalam.

Melihat ke bahagian hadapan, Tari melopong.

"Wah, macam ini rupanya tempat duduk dalam lori. Luas. Ibu naik dulu. Tari nak duduk tepi tingkap ambil angin."

Tari membantu Miyah memanjat kenderaan itu sebelum dia dengan teruja melompat naik. Pintu yang berat itu dihayun berat sebelum berdegang ditutup Tari.

"Cermin sisi pun besar. Angah, turunkanlah tingkap. Nanti panas."

"Lori ini ada pendingin hawalah. Lagi sejuk."

Izhan menambah tahap pendingin hawa. Selesa.

"Tak vibe betullah kau. Aku nak angin secara semula jadi," adu Tari.

"Kau ada saja mesti bising. Ini aku tutup AC, kau pulaslah sendiri tingkap itu."

Berkerut dahi Tari seraya dia membelek pintu. Tiada butang untuk dia gunakan bagi menurunkan jendela.

"Kau cari apa? Pulas sajalah pemegang yang kat pintu."

"Oh, benda ini. Aku lupa! Kereta lama abah dulu guna benda ini juga, kan? Kau kenapa tak jelaskan awal-awal?" balas Tari tidak mahu kalah.

Miyah yang berada di tengah-tengah hanya mampu memekakkan telinga apabila kedua-dua belah saling bertekak.

"Bila kita nak gerak ini? Tari dengan angah turunkan cepat dua tingkap itu. Ibu dah berpeluh ini."

Selesai isu jendela lori, Izhan memulakan perjalanan pulang.

"Angah, pusing kampung kejap boleh?"

"Kau minta, tak boleh. Kalau ibu minta, baru boleh."

Miyah pula diheret ke dalam gelanggang perbalahan. Tari di sebelah sudah mencuit lengannya.

"Angah, round kampung satu kali!" Miyah siap mengangkat jari telunjuknya dengan semangat.

"Boleh, ibu!" jerit Izhan.

Menyerap semangat yang sama, Tari menjulurkan tangan ke luar tingkap. Kepala menjenguk keluar dan dia berteriak puas. Mulut yang menganga menadah deruan angin. Tudung yang melepet menampakkan skarf Tari tidak peduli.

Mereka melewati warung dan kedai runcit kampung. Ada yang cepat mengecam muka Tari yang menggelebeh dihentam angin, mesra melambai.

"Hei, Tari!"

"Helo, Kak Jaja! Esok saya datang beli nasi lemak," sempat Tari membuat pesanan.

Menerusi cermin sisi, kelihatan Jaja mengangkat ibu jarinya tanda pesanan diterima.

Izhan kemudiannya sengaja mengambil jalan jauh lalu memasuki kawasan bendang terbiar yang kini dipenuhi lalang. Panas tengah hari di kawasan situ semakin membahang tetapi deruan angin tetap memuaskan. Lautan lalang tinggi itu memancarkan kilauan emas apabila disinari cahaya matahari.

Mereka bertiga tidak henti memuji Allah SWT yang menghadiahkan indah semesta alam.

Masih ralit meladeni suasana, tidak dia sedar kini mereka akan melewati kebun Tahir. Belum sempat tudung yang herot dibetulkan, dia bertemu mata dengan Rian yang bersiap untuk pulang. Izhan pula tiba-tiba berhenti di hadapan pagar kebun.

Mentari Kampung LangsatМесто, где живут истории. Откройте их для себя