28. Hari Kita, Sekali Lagi

10 0 0
                                    

Tangan Irish yang berseni sekali lagi menghiasi sepanduk. Kali ini versi manual menggunakan marker pen berdakwat kekal. Ke sana ke mari dia mengelilingi kain rentang itu.

"Buat penat kita brainstorming idea untuk bagi nama perpustakaan tapi kecil saja kau nak letak kat sini?" adu Imran yang hanya duduk goyang kaki di atas tangga rumah pusaka tok wan.

Hanya bergegas bangun apabila pasukan mengecat rumah menyeru dia.

Aduan Imran mengundang gatal kepala Tari lalu digarunya. Dia sekadar mengangkat bahu.

"Rian yang ajar untuk buat macam ini. Alahai, buat sajalah. Mesti ada sebab kenapa Rian cadangkan kita besarkan apa manfaat orang dapat kat sini berbanding nama pustaka itu sendiri."

Imran mencebik. Jari telunjuknya kepalanya serentak bergerak kiri dan kanan.

"Selagi dia tak bawa satu plastik besar jambu batu, aku tak nak percaya apa pun kelebihannya."

Automatik Tari dan Irish saling berpandangan sebelum dengan serentak menghunuskan jelingan keji ke arah Imran. Tersentak si bongsu lalu punggungnya naik satu lagi anak tangga.

"Kau banyak mulut, kan? Betullah apa yang abang Rian sarankan. Mung nok takwil gapo lagi?" ujar Irish dengan gigi yang diketap. Irish melemparkan rumput yang dicabutnya kasar pada Imran. Dia yang mudah baran tidak mahu bersabar melayan mulut Imran.

Tari yang sudah berada di tengah-tengah sekejap ke kiri dan kanan cuba memujuk agar tidak meleret perbalahan itu.

"Aku cakap saja. Sensitif sangatlah kau ini."

"Sensitif? Kau ingat aku ini gigi dalam iklan ubat gigi? Nak makan aiskrim atau ubah gaya hidup?" Irish mengajuk dialog iklan di tivi sebelum merengus. "Aku kat sini berpanas terik nak siapkan banner, tau? Orang lain sakit belikat nak habis cat satu dinding ke dinding lain. Kau? Perhabis kerepek sira saja reti. Kalau kau ringan tulang, tak apalah nak komen itu ini. Tapi kau itu berat punggung!"

Irish mendengus kuat. Sengaja.

"Kan aku dah cakap aku nak kena jaga fizikal aku? Minggu depan aku ada pertandingan badminton peringkat negeri. Aku ini bukan saja wakil sekolah tapi wakil keluarga tok penghulu. Kau itu kenalah hormat aku, bakal pengharum nama Tok ketua Idris dan Kampung Langsat." Imran mendabik dada.

Irish menjulingkan mata. Marker pen dalam genggaman dihempas. Lengan baju disingsing ke siku ketika dia berjalan menghentak kaki pada Imran. Adiknya pula sudah meliang liuk dengan muka sinis, menjadikan diri sebagai bahan bakar untuk api marak Irish.

"Janganlah gaduh." Tari lekas menyambar tangan Irish.

"Mehlah kalau nak tumbuk," pelawa Imran yang kini sudah ketepikan balang kerepek sira.

Tidak membazir sesaat dua, kaki taekwondo Irish melayang tinggi menyasarkan pinggul Imran. Kaki panjangnya bergerak laju dan terus menghentam satu susuk.

"Argh!"

Ada yang mengerang tapi bukan Imran. Adiknya itu kelihatan sudah naik sehingga ke anjung lalu menjelirkan lidahnya tanda mengejek kesilapan Irish.

"Ya Allah, Rian! Apa pasal kau pula menyelit dalam drama dua budak ini? Kau tak okey sangat ke?"

Tari menolak Irish seraya mendekati Rian yang meniarap di atas beberapa anak tangga. Lelaki itu cuba memusingkan tangan mengurut belakang tubuh yang seperti dihentam kayu hoki.

"Okey saja cuma tulang aku ini, terkejut sikit."

Rian perlahan-lahan berpaling dan melabuhkan duduk di anak tangga. Dia mencarik senyuman tipis pada gusar Tari.

Mentari Kampung LangsatWhere stories live. Discover now