21. Malam Berembun Buta Pagi

11 2 0
                                    

"Nak pergi rumah arwah lagi?" Miyah bertanya prihatin.

Tari yang sudah siap menuntun basikal keluar daripada bawah rumah berpaling ke anjung ruang tamu lama yang masih diperbuat daripada kayu. Ia lebih tinggi berbanding ruang tamu baharu dek bertiang yang setinggi bahu Tari.

Mengalahkan belatuk, dia mengangguk pada Miyah yang duduk bersimpuh membaca buku di anjung.

"Ibu nak ikut?"

"Tak naklah. Tak bolehlah ibu."

"Lepas kenduri tahlil dulu ibu langsung tak pergi rumah tok wan? Tak ada orang nak bawa ke?"

Miyah menggeleng.

"Abah selalu tanya. Nak bawa ibu pergi sana. Ziarah kubur tok wan ke. Tapi ibu tak boleh. Ibu tak kuat."

Mendengar lirih suara Miyah, hati Tari tercarik. Dia melukis senyum.

"Marilah. Kali ini ibu ada Tari. Tari kuat. Kita tak payah naik rumah tok wan. Kita pergi bersihkan lalang. Seminggu ini, Tari dah setelkan kat laman depan guna pemotong rumput yang angah pinjam dengan Pak Tahir. Tinggal kat belakang rumah saja," terang Tari.

Dia memberikan objektif mereka ke rumah tok wan kepada Miyah supaya ibunya tidak terlalu dipengaruhi emosi. Mereka ke sana dengan sebuah misi untuk difokuskan dan bukan meladeni ratapan semata.

Begitulah cara Tari merasionalkan hati pada setiap pagi.

Miyah menanggalkan kaca mata. Buku tadabbur Al-Quran itu ditutup.

"Tunggu ibu. Nak sarung tudung."

Seketika menanti, Miyah keluar mengunci pintu rumah lalu mendekati Tari.

"Larat ke basikal ini nak tampung dua orang?"

"Mestilah. Ini basikal lejen, ibu. Tari pula memang bawa dengan penuh berhemah, hati-hati di jalan, jumpa lubang tengah jalan mesti elak dan sebagainya. Terjaga lagi ini. Naik cepat."

Miyah teragak-agak melabuhkan punggung di tempat duduk di belakang. Baju di bahagian pinggang Tari digenggam. Kemas.

"Ibu sedia?"

"Ya."

"Tak dengarlah. Kuat sikit ibu. Semangat! Ibu sedia?" jerit Tari.

"Sedia. Ibu sedia!" pekik Miyah.

Dengan lafaz bismillah, Tari mula mengayuh dengan penuh kewibawaan walaupun muatan kali ini lebih berat berbanding kebiasaan dia yang seorang.

"Hiyargh! Hiyargh!" Tari berteriak sekaligus mahu mencari kekuatan fizikal.

Menyokong usaha Tari, Miyah turut bertempik meskipun dia boleh mengagak tidak sampai dua meter mereka bergerak.

"Eh, apa dua beranak bunyi macam burung gagak ini? Dari jauh lagi abah dah dengar," tegur Idris ketika motornya menyimpang masuk ke halaman.

"Kami nak pergi rumah tok wan ... ," leret Tari apabila tiba-tiba tayar seperti melanggar sesuatu.

Tangan terus terlepas daripada hendal basikal. Tubuh Tari melayang dalam gerakan perlahan ala-ala filem di pawagam. Dengan tipikalnya, dunia bergelap beberapa saat cuma.

Ketika dia membuka mata sesaat kemudian, bentangan langit dan seketul kepala abah yang menjenguk penuh kerisauan disambut ruang mata Tari. Dia menoleh ke sisi. Kelihatan Miyah juga sudah terbaring di tanah sepertinya. Apabila mereka saling berpandangan, mereka berdua membantai gelak.

"Kamu langgar pasu bunga ibu, nasib baik jatuh tak terhantuk birai pasu. Bahaya sungguh."  Idris membantu Tari mengangkat basikal. "Bangunlah. Abah hantar."

Mentari Kampung LangsatWhere stories live. Discover now