19. Sederhana dan Cukup

8 2 0
                                    

Azan Subuh yang berkumandang menepuk jaga lena Tari. Selimut yang melitupi kepala ditolak ke pinggang. Dia menggeliat. Mata dicelik menatap siling yang berbalam dalam gelap.

Tanpa sedar, ada senyum tergelincir di bibir.

Lekas Tari melompat turun daripada katil lalu merapati jendela bilik. Dalam mamai dia menarik kunci pada kelongsong. Daun tingkap kayu itu ditolak. Dingin pagi menerjah kamar.

"Lailahaillallah."

Tari menyandar tubuh ke sisi jendela. Dia menadah tangan, membaca doa seusai azan. Mata melirik ke langit. Bulan penuh sebesar syiling 50 sen itu bersinar terang di atas pokok kelapa di sebelah rumah Tari. Pemandangan itu persis lukisan tipikal suasana kampung. Ralit dia memerhati. Gambaran yang tidak akan dia temui di tengah kota yang sibuk.

Ketika lamunan diserbu bayu pagi, Tari menggigil. Dia lekas menutup jendela dan berlalu ke bilik air.

Entah apa yang difikirnya, setelah bersiap dengan kain telekung, Tari bergegas mendapatkan basikal di bawah rumah. Si tua itu dikayuh pantas menuju masjid meskipun sudah mendengar imam sedang membaca surah Al-Fatihah.

Kain sembahyang sudah menggerbang di belakang. Sekiranya dilihat dari jauh, persis mantel ketua penyamun filem Ali Baba Bujang Lapok.

"Itu rakaat pertama ke rakaat kedua, eh? Harap sempat. Kalau tak, malulah aku."

Tayar menggeser kuat ketika dia membrek mengejut di laman masjid. Terkocoh-kocoh Tari masuk ke dalam saf dan mula mengangkat takbir. Rezekinya, surah yang dibaca imam panjang benar. Pagi itu dia menjadi makmum muwafiq untuk solat Subuh.

Selesai memberi salam, sambil berwirid mengikut imam Tari mengerling jemaah wanita di dalam saf. Semuanya wajah-wajah yang dia kenali. Mereka juga teman rapat tok wan.

"Balik bila?" Suara garau di sebelah kanannya menegur.

"Semalam, Nek Temah."

Wanita itu mencuit lengan Tari sebelum menuding satu kertas besar yang dilekatkan ke dinding masjid. Tulisan Tari beberapa tahun dulu mencoretkan, 'Orang muda yang awal juga berhak saf depan. Hentikan amalan halau orang lain ke saf belakang,' pada kertas yang sudah sedikit kekuningan itu.

Melihatnya, Tari tersengih. "Kenapa tak buang, nek?"

"Orang tua degil belaka. Kena selalu ingatkan. Tak ada benda itu, budak-budak segan nak tegur."

Imam mula berdoa. Sebelum Nek Temah turut menadah tangan, sempat dia mengangkat ibu jari pada Tari. Berputik bunga di kebun hati Tari dibuatnya.

Tazkirah ringkas menyusul sehingga jam digital berangka merah menunjukkan tepat jam tujuh pagi. Jemaah perempuan yang bersalaman mula mengerumuni Tari. Mereka menerpa gadis itu dengan soalan yang sama seperti Nek Temah.

Tidak menang air liur Tari menjawab. Pipi pula lenguh dek asyik tersenyum biarpun tergores juga hati apabila ada yang menyentuh perihal kerja dan duitnya.

"Mak long kau cakap, kau berhenti kerja. Kenapa? Sayangnya. Gaji sedap, kan? Ke tak banyak?"

"Sebanyak rezeki yang Allah dah tetapkan, mak cik. Haah, berhenti. Bosan dah duduk sana. Rindu kampung."

Ketika ralit menuturkan jawapan, tangan Tari ditarik seseorang.

"Lagi jawab, lagi banyak tanya puak ini. Mari, Tari, mari keluar," ajak Nek Temah memaksa Tari mengekorinya.

"Nek Temah balik jalan kaki ke? Nak membonceng dengan Tari, tak?" tawar Tari ketika menuntun basikal ke pagar masjid.

Nek Temah mencebik lalu menggeleng. Tangan siap bergerak kiri kanan menolak. Dia mula membuat aksi memulas hendal motosikal mengalahkan geng rempit hujung kampung.

Mentari Kampung LangsatWhere stories live. Discover now