L10

301 74 58
                                    

PINTU kayu yang baru dibuka, seiring dengan suara salam yang diberikan perlahan buat Rayya menghentikan perbuatannya menghidangkan makanan tika itu. Lurus figura tinggi lampai itu dipandang dengan riak wajah kosong.

Subhi baru pulang dari surau.

Pandang Rayya, Subhi hanya tarik senyum sebelum dia mara menarik kerusi di meja makan. Rayya dikerling.

Dari ekor mata, penampilan ringkas namun ayu Rayya diamati dalam diam. Baju kurung kedah Mak Cik Salamah. Kain batik Mak Cik Salamah. Tudung sarung Mak Cik Salamah. Handsock hitam, mungkin punya Suria.

'Manis.'

Terasa dirinya seperti diperhatikan, Rayya terus menoleh pandang Subhi dan memang benar lelaki itu sedang memandangnya. Terhenti lagi perbuatannya menyusun pinggan di meja makan.

"Apa?" Dingin nada Rayya bertanya. Kurang senang yang pastinya.

Subhi menggeleng dalam cebikan senyumnya.

"Takde apa." Bahu dijongket perlahan sebelum pinggan kosong ditarik merapat ke arahnya.

Rayya hanya diam tidak membalas seraya berlalu dari situ. Mahu ambil minuman yang sudah dibancuh tadi di dapur.

Mak Cik Salamah keluar dari biliknya. Baru usai solat Isyak. Tika itu, bila terpandang Subhi di meja makan, dahinya langsung berkerut.

Menghampiri Subhi, bahu anak lelakinya itu dipukul perlahan. Nak bagi sedar.

"Dah kenapa senyum sorang-sorang?" Mak Cik Salamah bertanya.

Subhi langsung tersentak bila ditegur begitu. Tambah lagi, Rayya tiba-tiba sahaja muncul kembali dengan sedulang air di tangan.

Nampak Rayya, terus tumpuan Mak Cik Salamah tertumpu kepada gadis ayu itu. Senyum lebar dia melihat kerajinan Rayya. Sejuk hatinya.

"Lah, Rayya. Kenapa kaku pula yang buat ni? Tadi mak cik dah pesan pada Suria dah." Kata-kata Mak Cik Salamah buat Rayya menggeleng kecil.

"Eh, takpe. Bukan susah mana pun. Lagipun, Suria tengah solat. Alang-alang Rayya dah selesai solat, Rayya bantu lah mana yang boleh." Sopan Rayya membalas.

Subhi hanya mendengar sahaja. Mata tertahan-tahan mahu pandang terus wajah gadis itu. Ada Mak Cik Salamah! Malu lagi sekali nanti andai terkantoi dia tenung bagai nak tembus cucu saudara Nek Nani yang seorang ini.

Mak Cik Salamah senyum sahaja. Bahu Rayya diusap perlahan tanda berterima kasih.

"Kalau dah sudah, mari lah kita makan. Kalau sejuk, tak sedap pula. Saera! Suria!" Ajak Mak Cik Salamah. Nama dua anak gadisnya dilaung seraya kerusi ditarik bersama.

Rayya angguk dan berlalu ke sinki. Mahu basuh tangan. Namun laluan diberi dahulu kepada Saera dan Suria sebelum dia membasuh tangan pula.

Tiba di meja makan, teragak-agak terus Rayya ingin ambil langkah. Gara-gara kerusi yang kosong hanya tinggal di antara Subi dan Suria.

"Mari, Rayya." Suara Mak Cik Salamah buat Rayya akur jua. Langkah diambil dan dengan berat hati kerusi ditarik.

Subhi beriak biasa sahaja. Bila Rayya labuhkan duduk, terus dia menarik kerusi menjauh sedikit dalam diam. Beri Rayya keselesaan untuk makan nanti.

Senyum Rayya pada semua ahli meja. Malu pula apabila dia menjadi tumpuan buat seketika.

"Baik. Behi, baca doa." Arahan Mak Cik Salamah dipatuhi.

Tangan diangkat dan doa dibaca penuh lancar. Usai membaca doa, Subhi terus minta air. Haus pula tiba-tiba.

"Makan, makan. Rayya, jangan malu-malu ya? Buat macam rumah sendiri." Kata Mak Cik Salamah. Air diberikan kepada Rayya dan terus Rayya berikannya kepada Subhi yang meminta sebentar tadi.

LUCKY Where stories live. Discover now