BAB 11

5 2 0
                                    

Sedingin angin malam, hati pun menangis rawan

Segarnya udara malam. Membawa pergi segala kepedihan namun tiada siapa yang tahu, ada pancaroba sedang mengintai mencari mangsa. Bila-bila masa saja akan membedal hati pemilik jiwa lalu rebah tersungkur terseksa entah sampai bila. 

Namun, bagi Naziefa dia kumpulkan kekuatan selagi terdaya. Segala kelemahan diri tak sepatutnya dizahirkan. Biar di hujung masa nanti dia tak rebah sebelum waktunya.

Dalam kelam malam Naziefa berjalan sendirian pulang ke rumah usai solat isyak di surau. Sengaja lambatkan langkah kerana mahu angin malam membelai tubuhnya. Biar hilang segala nestapa. Sambil melangkah dia ukirkan senyum panjang. Teringat akan Ustazah Halimah. Betapa berdampingan dengan wanita itu mengundang rahmah dalam hidup. Sungguh dia rasa amat tenang. Walaupun saat ini suasana gelap hanya disinari lampu jalan yang agak malap. Pun begitu ia tak berjaya menggoncang ketenangannya. 

Sebagai gadis yang meningkat dewasa sepatutnya dia berhati-hati. Tetapi ini kawasan kampung. Tidak akan ada lelaki yang berani hendak mengikutnya pulang. Lagipun orang kampung kenal siapa dirinya. Anak dara Pok Jak Burung Belatuk. Sebut saja nama ayahnya, kampung-kampung berdekatan akan turut menikus. Jangan berani hendak mengacau anak dara Pok Jak. Kalau orang tua itu tahu tak tunggu lama yang  bersalah akan diparang. Jangan dibuat main dengan tok jogho paling hebat di sini. Bukan saja terkenal dengan lagu-lagu dikir barat bahkan popular dengan sikap perengus yang  boleh meletup hanya kerana setitik air terpercik ke muka.

Itu apa yang semua orang tahu. Cuma Naziefa tidak sedar. Masih ada yang berani menghadap ayahnya.

“Sorang je?” 

Suara yang menyapa mengejutkan Naziefa. Pantas dia beralih ke birai jalan. Susuk di sebelah yang berbasikal tua menggerunkan dirinya. Dalam keadaan gelap begini tiba-tiba saja tubuhnya merinding takut. Nasib baik selangkah dua lagi dia akan tiba di pagar rumah. Jika lelaki itu berbuat jahat dia sudah bersiap sedia untuk memecut bagaikan pelumba negara.

“Bila balik?” soal Rosli lagi apabila sapaannya tidak dibalas.

Naziefa hanya diam. Pusingkan badan mahu melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Tak sangka lelaki itu mengekor dari belakang. 

“Lain kali nak pergi surau cakap dengan Abang Li. Boleh Abang Li teman balik. Efa janganlah jalan sorang-sorang macam ni.”

Naziefa hentikan langkah apabila sudah melepasi pagar rumah. Dia berkira-kira mahu menjawab tetapi tak ada faedahnya juga. Lalu dia diamkan diri dan kembali melangkah menuju ke tangga rumah. Belum sempat tiba kedengaran ayat lelaki itu yang membuat lututnya bergetar kuat. 

“Habis belajar nanti Abang Li akan masuk meminang.”

Terus jantung pula yang berdegup kencang. Bukan bermaksud dia suka dengan kata-kata lelaki itu tetapi dia rasa takut. Bukan sekali lelaki itu menyampaikan hasrat begitu. Sudah acap kali sebenarnya. Semenjak dia di tingkatan lima lagi. Apabila naik tingkatan enam atas lelaki itu menyisih apabila dia menyembur geram. Akhirnya suara itu tak kedengaran lagi. Tetapi kali ini berani pula lelaki itu muncul dan nyatakan impian yang setinggi langit itu. Apakah kerana lelaki itu tahu ayahnya tiada di rumah jadi sewenangnya meluahkan apa yang ada di dalam hati.

Tetapi dia kuburkan harapan Rosli begitu saja.

“Kenapa kau balik awal? Bukan ke kau pergi KL dengan ayah aku.”

Seperti dulu-dulu dia tak pernah hendak bercakap mesra dengan lelaki itu. Dia tak suka. Dengan kata lain dia rasa berbulu.

“Abang Li tak menipu. Abang Li betul-betul nak kahwin dengan Efa.”

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now