BAB 20

14 3 0
                                    

Kala petang beransur pergi, ada rahsia terbongkar lagi 

“Nah, untuk kau.” 

Naziefa hulurkan sampul surat berwarna kuning berukuran sebesra kertas A4 kepada Norleen saat gadis itu menghantarnya tepat di sebelah kereta Raziah. Norleen terperanjat. Terima pemberian Naziefa sambil kepala tertanya-tanya apa dia. 

“Terima kasih. Surat apa ni?” soal Norleen tidak tahu. Kerana rasa teruja tangan tak sabar mahu membuka sampul tersebut tetapi Naziefa menegah segan.

“Buka bila dah jauh dari aku,” pesan Naziefa lantas berikan senyuman penuh mesra. 

Norleen sepetkan pandangan. “Jangan nak kenakan aku sudah. Mentang-mentang aku selalu usik kau.”

Naziefa luahkan tawa kecil. Langsung tak berniat hendak kenakan gadis itu. Norleen adalah sahabat yang ada ketika susah mahupun senang. Walaupun mulutnya adakala pedas tak bertempat Naziefa tak ambil kira. Janji Norleen sudi bersahabat selagi hayat masih di badan.

“Jangan cakap macam tu. Itu hadiah untuk kau. Sebab kita cuti lama jadi kau jangan lupakan aku,” pesan Naziefa sayu. Pantas Norleen meraih Naziefa ke dalam pelukan.

“Memang kita cuti lama. Nanti dah datang balik kau jangan nak smash aku sampai luar kampus pulak. Aku nak kawan dengan kau sampai bila-bila tau.”

Naziefa angguk sebaik leraikan pelukan.

“Kita kan kasih kekasih.”

Dan Norleen hamburkan gelak besar. Sejak mengetahui Naziefa pandai menyanyi mereka jadikan lagu nasyid tersebut sebagai lagu persahabatan mereka. Padahal langsung tak sesuai. Tetapi kerana minat mereka sama apa dikisah salah atau tidak. Janji mereka gembira dengan ikatan yang terbina.

“Jumpa lagi, Leen.”

Naziefa lambaikan tangan apabila Norleen sudah masuk ke dalam kereta keluarganya dan pacuan empat roda itu perlahan-lahan berlalu pergi. Kini Naziefa pandang Raziah yang sedari tadi diam tak berkutik. Mata gadis itu  hanya memandang sahaja apa yang terbentang di depan mata tadi.

“Jom. Dah lewat sangat ni. Kan terlepas keretapi pula,” ajak Raziah.

Naziefa angguk. Dengan kudrat yang ada dia angkat beg pakaian hendak bawa masuk ke dalam boot Kembara Raziah. Sepupunya itu menunggu sahaja. Setelah memasukkan beg pakaian dia melangkah semula ke arah pintu pagar hendak mendapatkan kotak buku yang ditinggalkan di situ. Kotak tersebut tidaklah berat sangat tetapi semput jugalah hendak dibawa ke kereta. Baru saja pusingkan badan hendak melangkah mata terpandang susuk seseorang di atas bukit di depan asrama. Susuk itu merenungnya tidak percaya.

Serta-merta kotak di tangan jatuh ke bawah.

Serentak itu juga dada berdegup kencang. Mata memandang tidak percaya. Sesaat dua barulah dia tersedar. Itupun setelah Raziah bersuara.

“Kenapa dengan kau ni. Berat sangat ke kotak tu?” tanya Raziah lantas menghampiri Naziefa. Cuba membantu namun Naziefa cepat-cepat tongkatkan lutut. Angkat kembali kotak dan melangkah laju ke boot kereta. Masukkan kotak tergesa-gesa. Tanpa sepatah kata pun dia meluru masuk ke dalam.

Raziah yang tidak faham apa-apa juga terus masuk ke dalam dan memandu keluar dari pekarangan asrama. Di sebelahnya, Naziefa menekur ke bawah. Menyorokkan muka dari dilihat kelibat tadi. Padahal dia sudah tahu wajahnya sudah tidak perlu disembunyikan lagi.

Oh, Tuhan!

Adakah ini permulaan huru-hura?

***

Rosli menghantar pemergian Naziefa dengan seribu pertanyaan. Kenapa gadis itu ada di hadapan pintu utama apartment di depan mata. Apartment apa pula yang tinggi dan nampak gah dari atas bukit ini? Hati tak pantas duduk diam. Makin tak keruan pula apabila sikap Naziefa nampak seperti takutkan sesuatu. Pelik sungguh!
Dia hairan. Ceritanya Pok Jak Naziefa belajar di Aswara? Tapi ini bukan ASWARA. Apakah gadis itu telah menukar tempat pengajian?  Ataupun Naziefa datang bermalam dirumah kawan?

Pertanyaan tidak terjawab bahkan mengundang seribu kehairanan. 

“Ini bangunan apa ya?” Akhirnya Rosli bertanya juga pada rakannya. Dia yang duduk berehat di warung atas tanah tinggi ini cukup terkejut. Langsung tak menyangka kedatangannya ke Pandan Indah membawanya berjumpa seseorang yang amat diharapkan Pok Jak. Mata cuba untuk tidak mempercayai namun susuk itu cukup dikenali. Kerana hanya berjarak lima meter dia mampu melihat dengan jelas dan terang. Apatah lagi sedari tadi lagi dia melihat keleteh Naziefa yang berbual-bual dengan seorang gadis. Tak lama meninggalkan gadis itu bersama Raziah.

Hati diterpa syak wasangka.

“Itu asrama Kolej Universiti Islam Malaysia. Tempat tinggal budak-budak perempuan. Nama Apartment Riviera 3. Baru tahun ini beroperasi. Kat dalam tu ada segala kemudahan.” Rakannya memberikan maklumat dengan jelas.

Berterbanganlah khayalnya. Lalu senyum sinis terherot di bibir.

“Maksudnya kat sini budak-budak belajar jurusan agama?” soal Rosli lagi. Dia perlu mengumpulkan maklumat agar yang terhidang di depan mata sebentar tadi bukan sebuah mimpi. 

“Dah nama pun kolej Islam mestilah belajar agama. Takkan belajar dikir barat macam kita kut.”

Terangguk-angguk Rosli mendengar jawapan sang rakan sambil menyisip teh o sejuk. Dia hembuskan nafas sinis. Nampaknya ada sesuatu yang dia tak tahu tetapi telah menjadi satu hadiah tak ternilai untuknya hari ini. Pantas sahaja kepalanya mencipta pelbagai andaian.

“Nama apa kolej tadi?” soalnya mahukan kepastian.

“Kolej Universiti Islam Malaysia, KUIM.” Rakannya memberi jawapan.

KUIM!
Dan bibir Rosli makin mengherot sinis. Dia baru teringat. Rasanya dia ada saudara jauh yang bekerja di sini. Dia sudah tahu bagaimana hendak memastikan andaiannya betul belaka.

Lalu hatinya ketawa gembira. Akan dia simpan hadiah ini sebaiknya. Apabila tiba masanya akan dia buka satu persatu dengan gembira.

***

Norleen tekup mulutnya sebaik menarik keluar isi di dalam. Hadiah yang diberikan Naziefa cukup untuk membuat dadanya sebak. Lukisan wajahnya yang melatari kertas tersebut benar-benar hidup. Di belakang wajahnya ada rumah kampung. Nampak ceria dan gembira suasana tersebut. Namun awan mendung yang terlukis di atas membuat kolam matanya bergenang.

Lukisan itu cukup cantik.  Siapa yang lukis? Terus matanya menerjah tanda tangan di hujung lukisan. Dia tahu itu coretan ringkas nama Naziefa. Dia cukup kenal dan matanya terbuntang bersinar.

Tak sangka sungguh. Selain pandai menyanyi Naziefa juga pandai melukis. Betapa Tuhan memberikan anugerah pada gadis itu. Bakat yang jarang ada pada orang lain. Dia sendiri pun tak pandai melukis. Menyanyi lagilah dia tak pandai. Bangga sungguh hatinya mendapat sahabat seperti Naziefa.

Tangannya tak jemu mengusap lukisan tersebut. Akan dia bingkaikan dan simpan di dalam biliknya.  Puas menilik dia tegakkan lukisan. Mahu masukkan ke dalam sampul namun terasa hendak melihat di belakang kertas. Sebaik dipusingkan ada puisi yang menyentuh jiwa.

Andainya pagiku bertukar malam
Jangan tinggalkan aku tanpa pesanan
Andainya malamku tak panjang
Pimpinlah aku teruskan perjalanan
Andainya di tengahari 
Ada mendung mahu menyirami
Jangan jemu 'tuk memayungi
Andainya petang tak sempat datang
Simpanlah aku sebagai kenangan

Naziefa.

Tak sangka titis-titis jernih menitik tak dipinta. Puisi tulisan berangkai itu begitu menyentuh jiwa. Saat membacanya hati mengetuk pertanyaan. Mengapa perlu menghadiahkan puisi penuh syahdu. Sungguh Norleen tak sanggup kehilangan. Naziefa adalah satu anugerah tak ternilai untuknya.

'Oh, Tuhan!
Panjangkanlah usianya. Jangan kau hilangkan dia dari aku. Dia sahabat untuk selamanya, ya Tuhan.'

Tak sanggup melayari kepahitan pantas Norleen simpan lukisan tersebut. Dalam hati berdoa, cuti yang memisahkan jarak mereka tidak akan mengurangkan kasih yang terjalin.

Dan… dalam perut kereta, hati Norleen berlayar sayu.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now