BAB 16

8 1 0
                                    

Kala senja menghampiri, ikatan darah tetap berseri

Umi Solehah segera ke muka pintu sebaik mendengar bunyi enjin kereta. Melihat susuk Nazhan yang baru keluar dari perut kereta hatinya berbunga riang. Air hangat mula memenuhi kolam matanya. 

Saat Nazhan mendekat kemudian mengucap tangannya pantas sahaja mutiara berharga itu pun gugur. 

“Ingatkan Naz tak sudi lagi jenguk umi kat sini,” sapa Umi Solehah sebak. Tangan naik menyapu tubir mata. Nazhan pula hanya berikan senyuman. Dalam segan tetap juga masuk ke dalam lalu meletakkan kek dan roti ke atas meja. Iman yang leka bermain PS2 hentikan permainan apabila kelibat yang sudah lama tak muncul berada di dalam rumah. Segera anak kecil itu menerpa ke arah abangnya. 

Peluk Nazhan erat.

“Happy birthday, Iman,” ucap Nazhan lantas cubit pipi adik lelakinya. Iman mencebik. Tunjuk muka tak suka. 

“Sampai je terus cubit Iman. Bukan nak bagi hadiah pun,” omel anak kecil itu lantas tarik kerusi dengan membawa muka muncung sedepa. 

Umi Solehah gelengkan kepala. Faham sangat dengan anak bongsunya. Kalau dengan abangnya ini  memang tak sorok dah muka merajuk. 

Nazhan pula tersenyum kecil. Buka kotak kek. 

“Eh, kenapa dengan kek ni?” Laju Umi Solehah bertanya sebaik sahaja melihat isi di dalam yang melekat di kotak. Nampak cacat. 

Nazhan menghembus nafas kesal.

“Tadi ada budak perempuan langgar tangan Naz. Kek tu jatuh ke bawah. Itu yang jadi macam cekodok tak siap tu. Kalau tak mengenangkan nak cepat kek ni harus kene tepek dekat muka budak tu.”

Pap!

Sebiji penampar singgah di lengan Nazhan. Lembut sahaja dan langsung tidak membekas di hatinya. Dia sudah terbiasa dengan teguran lembut umi. Kerana dia yang suka membuat ulah tentulah dia yang mendapat balasannya.

“Jangan cakap macam tu. Dah takdir Tuhan. Nak buat macam mana. Budak tu tak sengaja kan?”

Nazhan merenung ke depan. 

Ya. Budak perempuan tu tak sengaja. Malah siap minta maaf lagi. 

“Tak apa lah. Hari ini kita makan kek ni dulu. Membazir pula kalau biar macam tu je. Nanti birthday Ilyaa kita beli yang lain,” pujuk Umi Solehah pada anak kecilnya yang berusia 9 tahun. 

Iman yang berada di atas kerusi depakan tangan.

“Tak kisah pun. Lagipun Iman bukannya suka sangat makan kek. Lainlah Kak Yaa.” Anak kecil itu menjawab seraya mengambil air sunquick di atas meja. Itulah modal tekak si kecil. Air manis saja yang anak itu suka dan kata-kata Iman tadi dijuih Ilyaa yang sudah muncul dan tarik kerusi di depan Iman. 

“Nanti birthday Yaa abang Naz kena beli kek yang cantik. Yaa nak atas kek tu ada Princess Fiona.”

Nazhan yang baru saja meneguk ais kosong tersedak.

“Fiona? From Shrek the Movie?”

Ilyaa mengangguk dalam senyuman. Terus mata Nazhan pandang Umi Solehah. Wanita itu gelengkan kepala sambil ketawa kecil.

“Apalah Yaa ni. Watak pelik macam tu yang Yaa suka. Gelilah Abang Naz,” omel Nazhan.

“Cantik apa?”

Menggeletar kepala Nazhan dengan kesukaan Ilyaa. Mentang-mentang filem animasi itu yang sedang hangat di mulut orang. Itulah yang dipilih adiknya. Karakter hijau dan meloyakan tekaknya itulah diminati si adik.

“Yaa macam tu lah. Nanti keluar cerita lain minat dia akan berubah pula.” Umi Solehah mencelah dan Nazhan ambil maklum. Kalau sudah kecil tentulah suka terikut-ikut.

Umi Solehah bahagikan kek kepada kepingan nipis lalu berikan kepada Ilyaa. Gadis sunti itu memang hantu kek. Hulurkan juga kepada Nazhan. Anak tirinya itu hanya menyuap dua tiga mulut sahaja. Lepas tu ditolak ke tepi. 

“Fadhir mana?” tanya Nazhan apabila kelibat lelaki itu tidak kelihatan.

“Fad ada dalam bilik. Tak bangun lagi kut”

Bulat mata Nazhan mendengar balasan Umi Solehah. 

“Lah, dia ada kat rumah ke?”

Tak sempat Umi Solehah hendak bercerita Fadhir muncul dari atas bawa wajah baru bangun tidur. Baru nak duduk terus kena tibai dengan Nazhan pula.

“Apahal kau nak marah aku ni?” Fadhir menolak tangan Nazhan yang sekali lagi naik ke atas hendak memukul belakangnya.

“Kau ada je kat rumah. Apahal kau tak pergi ambil sendiri kek tu. Dekat sangat dah dengan ofis kau kan?”

Fadhir mendengus.

“Aku baru sampai asar tadi. Ada seminar dekat Gombak. Ingat nak berehat je. Sekali… jalan ke alam mimpi pulak.”

Nazhan mengetap gerahamnya.

“Lain kali cakap. Tak lah aku mengomel nak marah.”

“Oh, jadi kau marah aku lah.”

Nazhan menggumam.

“Ya lah. Aku sibuk sangat. Tengah kejar deadline. Tan Sri Borhan dekat Bandar Tun Razak tu nak aku siapkan rumah dia before Disember. Ada dua bulan lebih lagi sebelum musim hujan. Kau apa tahu.”

Fadhir terkejut. Mendengar nama Tan Sri yang disebut Nazhan kepalanya berfikir panjang. Namun dia abaikan. Gelengkan kepala seraya berkata, “aku tahulah kerja kau. Kau ingat aku suka-suka ke nak kerah kau. Aku kalau boleh tak nak susahkan kau langsung. Tapi apakan daya, aku hanya ada kau. Nak suruh Iman pergi ambik. Dia kecil lagi.” 

Balas Fadhir berserta memek muka Menyampah dan menyebabkan Nazhan makin geram. Umi Solehah pula malas melayan. Sudah faham akan sikap dua beradik tiri itu. Terus saja ke dapur. Hendak membawa keluar bihun goreng. 

“Tapi kalau aku tak suruh, kau tentu tak akan datang ke sini kan. Inikan rumah arwah abah kau. Walaupun dah jadi milik umi tapi orang kat dalam ni darah daging kau. Ingat sikit,” bidas Fadhir. Mulalah Nazhan termenung jauh. Memikirkan kata-kata Fadhir. Semuanya benar belaka. 

Fadhir biarkan sahaja Nazhan dengan menungnya lantas menghampiri Iman yang kembali bermain game.

“Happy birthday, Iman,” ucap Fadhir lantas menyerahkan bungkusan kecil kepada adiknya. Nampak wajah ceria Iman. Tidak membuka hadiah tersebut kerana sudah maklum apa yang diberikan abangnya. Lagipun hadiah itu dia yang minta. Sebaliknya meraih Nazhan menyuruh sama-sama bermain game kerana Fadhir mahu mengisi perutnya yang kosong lebih dahulu. 

Nazhan pula mengikut saja kemahuan adiknya. Lagipun dia jarang sangat berjumpa dengan adik sendiri. Masa yang ada inilah dia boleh memanjakan mereka. 

“Malam nanti Naz tidur sini tak?”

Nazhan yang baru bangun mengangguk. 

“Insya Allah, umi,” ucapnya lantas berlalu ke ruang menonton. 

Fadhir pula mendekati meja makan. 

“Umi kenal tak klien Naz tu?” soal Fadhir saat Umi Solehah menyendukkan bihun goreng untuknya. 

“Klien yang mana?”

“Tan Sri Borhan. Dekat Bandar Tun Razak?”

“Tak kenal.”

Dan… dada Fadhir mula berdetak risau. Berharap sangat Nazhan akan baik-baik saja nanti. 

TARANUM kasih NAZIEFAKde žijí příběhy. Začni objevovat