BAB 19

10 2 0
                                    

Biar malam menjadi saksi, rindu itu semakin berisi

Malam yang indah dipagari bintang bergemerlapan. Naziefa mengambil angin di tepi tingkap biliknya. Saat itu semua penghuni rumah sudah kembali ke kampung halaman masing-masing usai peperiksaan petang tadi. Hanya dia yang masih di sini. Begitu juga Norleen yang sudi menemani dan sanggup untuk sama-sama kembali ke kampung pada esok hari. Saat ini Norleen sudah terlena di atas katil.

Naziefa senyum. Pandang barang-barang yang akan dibawa balik ke kampung.

Lebih baik bertenang dahulu. Jika dia kembali ke kampung petang tadi tentu hidupnya akan kelam kabut. Tak usah berkejar-kejar. Lagipun dia telah meminta tolong Raziah untuk menghantarnya esok petang. Sepupunya itu pun memang bercuti esok. 

Nafas dihela panjang. Kepala pun mendongak ke atas. Melihat bulan yang tersenyum malu di balik awan hatinya digamit rindu. Rindu hendak bersama keluarganya. Paling dirindui adalah Azhari. Dia mahu tunaikan janjinya pada si adik. Cuti nanti dia akan uruskan Azhari sepenuh masa. Sungguh hatinya tak sabar hendak menjejakkan kaki ke kampung halaman. Walaupun esok yang akan muncul itu tak sampai 24 jam dia tetap berasa sungguh lama. Bagaikan seminggu  lagi cuti nak bermula.

Kembali memandang ke bawah. Kali ini dia lihat tangannya. Usap gelang emas di pergelangan tangan. Gelang jenis rantai gila-gila itu adalah pemberian emak selepas dia mendapat keputusan peperiksaan STPM.  Gelang itu bukanlah hadiah untuknya tetapi emak memberikannya untuk disimpan. Jika ada di tangan emak akan habis begitu saja.

‘Simpan baik-baik. Ini hasil yang emak tuai lepas penat menoreh getah. Nanti kalau kita kesuntukan, Efa gadaikan.’

Hampir bercucuran air matanya dengan permintaan emak. Lalu dia pasakkan dalam hati akan menjaganya sebaik mungkin. Cuma tadi dia tertinggal di atas bangku. Gara-gara lelaki yang tak dikenali mengusik buku lukisannya dia mula kelam-kabut. Kerana begitu takut, uncang ditinggalkan tanpa sedar. Tin minuman 100 plus pula yang dia masukkan ke dalam beg. Padahal uncang itu lagi berharga.

Pun begitu, dalam hati tetap mengucapkan jutaan terima kasih pada sang jejaka. Ribut semalam hanyalah sekerat hari. Tidak berlanjutan sehingga ke malam. Bahkan membawa angin kegembiraan. Dia bersyukur kerana ada sisi baik yang dizahirkan sang jejaka. Jika uncang itu tidak dijumpai entah apalah yang akan berlaku nanti.

Nafas dihela panjang lagi.

Kini mata sudah beralih ke arah  buku lukisan yang sedikit terkeluar dari beg sandang. Kerana jarak yang dekat dengan beg, tangannya mencapai buku tersebut. Pandang kulit buku. Kemudian perlahan-lahan menyelak semua lukisan yang berjaya dihasilkan. 

Dada tiba-tiba berdegup kencang apabila tangan menjangkau helaian terakhir. Buka dan tilik lama. Tidak ada sebarang contengan. Sekadar sebaris ayat. Jika dibaca orang tentu akan disalah anggap. Lantas tangan mengusap permukaan kertas. Baca berulang kali. Tiba-tiba dia pula yang malu.

Terus dia tutup buku.

Tak!

Orang lain tak boleh tahu. Lantas dia masukkan kembali ke dalam beg sandang. Tarik pula lukisan yang hendak dihadiahkan kepada Norleen. Ingatannya singgah pada kata-kata lelaki petang tadi. Namun dia menggeleng tak mahu ingat lagi. Kalau sudah nekad melukis begitu mengapa hendak tercuit dengan kritikan yang tak seberapa. Lantas dia simpan kembali lukisan tersebut. 

Pandang semula ke arah langit malam. Tiba-tiba sahaja hati berdetak riang. Tak sabar menunggu siang menjelang kerana rindunya yang tak tertanggung. Kerana itu mulutnya mula mengalunkan lagu rindu.

Kuro-kuro dale perahu
Anok berudu di dale boto
Puro-puro hati tok tahu
Padaha rindu tokleh nok kato

Daunlah palah sedak baunyo
Bungo serojo dale jambange
Di dale dado raso nok jupo
Tapi gak hati duk tegoh jange

Kolek perahu tok mudik-mudik
Darilah pagi sapa ko male
Tok sabor sungguh nok peluk adik
Sari duk tunggu mace sebule

Dan… bibir pun tersenyum puas pabila irama dihentikan di tengah malam yang berbintang indah.

Lalu Naziefa membawa wajah orang-orang yang dikasihi sehingga ke dalam mimpi.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now