BAB 25

22 3 0
                                    

Keputusan membawa kedukaan, menggugurkan tangisan

Seminggu dua lagi dia akan pulang ke kampus. Menjalani kehidupan sebagai siswi bagi semester dua. Terasa lambat masa berlalu. Jika tidak mengenangkan Azhari yang hanya merengek mahukan dirinya tentu dia sudah bergerak pulang. Dia akan merempat di mana-mana saja asalkan dia tidak disuruh menyanyi oleh ayah. Namun melihat wajah emak yang sugul semenjak insiden dia pengsan dna bermalam di wad hatinya tak pantas membiarkan orang tua itu sendirian menghadap ayah. Sendirian juga mengurus rumah tangga.

Sesungguhnya, emak adalah wanita terbaik yang telah tercatat untuk ayah. Tak pernah kedengaran suara keras emak membantah ayah. Tak pernah juga terlontar keluar ayat-ayat berbisa melawan cakap ayah. Emak, lembut orangnya. Dalam lembut tetap kuat menepis segala cabaran.

Emak yang menjadi sumber inspirasinya adalah anak yang terbuang. Gara-gara mencintai ayah  yang lahir dalam bangsal buruk emak disingkirkan. Kerana itu bantal emas yang selalu dipeluk bukan lagi milik emak. 

Itulah  kisah yang selalu emak ceritakan padanya. Pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat emak rela membuang segala emas yang ada di tubuh demi ayah yang hanya menyimpan rebana di rumah. Ketika orang ke pasar dengan kereta tambang hendak membeli ayam dan ikan,  emak rela berjalan kaki menangguk ikan di baruh. Rela mengutip pucuk-pucuk kayu untuk ayah dan anak sulongnya makan.  

Emak rela bersusah payah demi ayah. Emak rela hidup miskin demi suaminya. Kerana itu setiap baran ayah hanya dianggap seperti ombak kecil di laut ketika angin monsun barat daya datang berhembus. Emak tak terkesan. Lagipun ayah tak pernah bercakap hodoh dengan emak. Baran ayah hanya bersangkut-paut dengan anak dan kerjanya sahaja. Jika soal emak, ayah tak pernah berbunyi.

Sebab itulah nak marah ayah tak boleh. Kalaupun ayah nampak kejam pada anak-anak tapi ayah begitu cinta akan emak.

‘Orang kata jangan diturut kata hati, nanti badan akan binasa.’

Begitulah dengan emak. Rela menurut kata hati demi cinta pada ayah. Tetapi mak tak pernah kesal sebab ayah sayang mak sampai mati. Ayah tak akan menjerit pada emak sebab dia tahu besarnya pengorbanan emak meninggalkan keluarga sendiri demi ayah.

Naziefa sudah tahu cerita ini. Sepuluh kali emak ulang dia tak pernah bosan. 

‘Jadi mak nak pesan. Ikutlah saja gerak hati Efa. Apa yang Efa mahu. Apa yang Efa nak. Jika impian itu baik, maka teruskanlah. Jika buruk dan tak membawa faedah, tinggalkan. Hanya Efa yang tahu apa yang Efa impikan. Orang lain tak akan tahu. Tak akan faham dan tak akan ada pun masa Efa susah hendak menggapai impian Efa.’

Itu yang emak pesan setelah mengetahui dia  tidak berminat dengan nyanyian. Tidak suka dengan suasana ramai orang dan bising.

‘Jika Efa tak nak ikut kemahuan ayah, tunjukkan pada ayah apa yang Efa nak sebenarnya. Kalaupun ayah mengamuk sampai hancur rumah kita Efa kena tahu ayah Efa tetap ayah Efa.”

Naziefa pejamkan mata.

Kalaulah dia ada kekuatan itu sudah lama dia khabarkan pada ayah. Tetapi dia penakut. Dia pengecut. Paling sadis dia sakit dan sakitnya itu hanya orang terpelajar saja yang tahu. Orang-orang kampung tak akan tahu. Orang-orang yang tak mengaji tinggi tak akan sedar. Seperti juga ayahnya. Menganggap dia memberi banyak alasan. Padahal dia….

Ah, sukarnya hendak berterus-terang.

“Kakak!”

Lamunannya mati. Pandang Azyan yang bersiap-siap hendak ke kelas tambahan.

“Ada apa, Yan?” tanya Naziefa lantas bangkit. Tangan menarik tuala kecil yang dibuat mengesat air liur Azhari. Dia mahu membasuhnya dan menggantikan dengan tuala lain.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now