BAB 30

15 3 0
                                    

Apa yang ditanggung sehingga sakit tak terluah di bibir

“Weh, cantiknya lukisan tu.” 

Norleen tunjuk muka ceria saat melihat pameran lukisan di Central Market. Naziefa pandang Norleen. Dia turut gembira dengan keterujaan Norleen.

“Nanti kau lukis untuk aku, boleh?” pinta Norleen lantas tarik tangan Naziefa. “Aku suka betul dengan lukisan yang kau bagi dekat aku. Tapi aku nak buat permintaan nak lukisan kita berdua pula. Aku nak simpan dekat rumah aku sebagai tanda aku akan ingat kau sampai bila-bila.”

Permintaan Norleen diangguk Naziefa dalam senyuman.

“Jom kita pergi makan. Aku laparlah.” Tak menunggu jawapan Naziefa terus saja Norleen melangkah hendak ke aras atas. Di situ ada restoren nasi ayam yang cukup terkenal. Menjadi tempat para pengunjung mengisi perut yang lapar. Naziefa mengekori dari belakang perlahan-lahan. Namun matanya asyik mencari suara orang mengaji. Sedari tadi lagi telinganya mendengar suara itu. Hati memanggil-manggil menyuruh mencari. Entah dekat mana pempamer tersebut dia tak jumpa.

“Eh, cepatlah. Kau tak lapar ke?” panggil Norleen namun Naziefa angkat tangan menyuruh bersabar. Bibir terherot senyum sebaik sahaja mata sudah jumpa apa yang diinginkan. Kakinya dengan cepat melangkah mendekati pempamer yang menjual CD tilawah Al Quran. Hatinya cukup berminat. Sudah lama hendak mendapatkan CD ini namun di rumah tidak ada komputer untuk digunakan. Sekadar radio yang hanya boleh memuatkan kaset. Ayah masih belum mampu membeli radio yang boleh menggunakan CD. Tetapi dah lama dia nak jadi dia akan tumpang komputer rakan sebiliknya. Ada dua tiga orang rakan yang membawa komputer sendiri ke asrama.

“Aih, sejak bila dengar CD mengaji ni. Bukan kau pandai menyanyi je ke?” selar Norleen tetapi Naziefa buat tak endah. Terus membayar harga CD yang dibeli. Simpan di dalam beg dan ketika itulah telefon jenama SAGEM berdering kuat sehinggakan orang ramai memandang ke arahnya.

“Weh, kau. Gila kuat volume telefon kau. Automatik kau jadi artis hari ni,” sindir Norleen. Seperti biasa Naziefa tak pernah nak membalas. Dua tiga kali telefon berbunyi namun Naziefa buat tak endah. Melihat saja nama pemanggil dia tak rasa hendak menjawabnya. Lagipun tentu tak ada kerja penting pun yang lelaki itu nak beritahu. Mungkin saja sekadar nak memujuk supaya balik untuk bernikah.

Sejak dia larikan diri selalu saja Rosli menghubungi. Cuma dia yang tak mahu jawab. Kalau dah rasa sakit hati sangat dia matikan telefon. Tetapi elaki itu banyak cara. Hantar mesej. Pun begitu, satu pun dia tak balas. Sekadar hantar ayat memujuk dia tak rasa nak balas.  Tetapi kali ini lain. Terbit juga pertanyaan dengan panggilan Rosli yang sudah masuk kali ke lima. Namun dia tetap keraskan hati.

“Kau ni…. jawablah,” arah Norleen apabila deringan itu seakan mengganggu dirinya dan juga orang ramai. 

Naziefa gelengkan kepala.

“Tak ada hal penting pun. Leen, kau….” Naziefa keluarkan telefon. “Kau tolong bagi slow sikit volume tu. Aku tak retilah. Dah banyak kali roommate aku tunjuk cara tapi asyik tak lekat dalam kepala. Mungkin sebab tu lah aku tak minat subjek IT.”

Norleen ketap bibir geram.

“Lorh, telefon kau. Sepatutnya kau lagi tahu.” Dalam memerli tetap juga Norleen mengambilnya dari Naziefa. Tolong mencari tempat hendak menurunkan tahap bunyi. Ketika itulah telefon berbunyi lagi dan Norleen tak sengaja menekan punat.

Terus dihulurkan kepada Naziefa. Naziefa pula jongketkan kening. Tidak faham apa.

“Sorry. Aku terjawab.” Norleen gigit jari. Lalu dengan rasa berat hati Naziefa lekapkan juga telefon ke telinga.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now