BAB 39

12 4 0
                                    

Sejarah yang lama tak diduga berulang semula

Berdentum bunyi pintu bilik di atas akibat ditolak Nazhan. 

Umi solehah terkejut besar. Pulangnya Nazhan dari rumah Tan Sri Borhan membawa muka yang berserabut. 

“Kenapa tu Fad. Umi risaulah.”

Fadhir mendongak ke atas.

“Dia dah jumpa mama dia.”

Buntang mata Umi Solehah tak percaya.

“Kat mana. Macam mana boleh jumpa. Dah 12 tahun Fad. Dah 12 tahun mereka tak jumpa?” Umi Solehah bertanya risau. Sekejap-sekejap pandang ke atas. Risau sungguh kejadian dulu akan berulang kembali.

“Naz tak tahu pun, umi. Villa Tan Sri yang dia renovate tu rumah suami mama dia.”

Mulut Umi Solehah ternganga mendengar cerita Fadhir.

“Patutlah Fad tanya umi dulu. Kenal ke tak Tan Sri tu.”

Fadhir mengangguk.

“Dia tak pernah tahu mama dia tinggalkan abah dia sebab Tan Sri tu. Dia hanya tahu sebab lelaki. Lepas tu dia dah tak nak ambil tahu sebab dia yang membenci. Dia dah janji tak nak kenal. Tapi itulah, Tuhan nak tunjuk dekat dia. Dunia ni kecik je. Pusing-pusing akan jumpa juga.”

Umi Solehah angguk dengan perasaan sayu.

“Ya. Tuhan nak uji dia sekali lagi. Umi harap dia tak mengamuk macam dulu.”

Baru saja berkata begitu kedengaran dari atas sesuatu dibaling ke dinding. Bukan sekali tetapi  banyak kali. Dengan laju Fadhir berlari naik ke atas. Tepuk pintu berulang kali. Namun orang di dalam bagaikan dirasuk hantu. Sekejap membaling barang. Sekejap menjerit kuat. Fadhir sudah maklum lantas menendang pintu sekuatnya. Sebaik pintu terbuka kelihatan Nazhan tengah menumbuk dinding.

“Kau gila ke apa?” Kau ada akal kan?” jerit Fadhir lantang lantas menarik tangan Nazhan. Tubuh itu ditolak ke katil. Nazhan tak jatuh ke atas tilam sebaliknya terduduk ke atas lantai. Rambut dicengkam kuat. Kemudian mula menangis.

Fadhir simpati. Sedih dan bimbang. 

Melihat tangan Nazhan yang berdarah hatinya remuk-redam. Tarik tangan tersebut kemudian beri isyarat kepada Umi Solehah di muka pintu. Menyuruh membawakan kotak first aid.

“Kau lelaki. Kau kena kuat. Hati kau tak boleh lemah. Macam mana kau nak jaga Ilyaa dengan Iman kalau aku dengan umi dah tak ada.”

Nazhan terus menangis. Jika tadi dia kelihatan gagah sebagai lelaki dewasa. Kali ini dia tak ubah seperti anak kecil. Tak malu menangis mengongoi. Nasib baik Ilyaa dengan Iman tiada di sini. Sedang bermain di lama rumah.

“Kau kuatkan semangat, Naz,” pesan Fadhir lagi.

“Aku tak sangka akan jumpa perempuan tu. Perempuan yang dah bunuh abah aku,” jerit Nazhan geram. 

Fadhir gelengkan kepala.

“Dia mak kau. Sejahat apa pun dia, syurga kau tetap bawah kaki dia.”

“Tak. Dia bukan syurga aku. Dia adalah neraka. Neraka yang dah jahanamkan hidup aku. Bahkan dia dah jahanamkan hidup abah aku. Dia tu perempuan murahan.”

Astaghfirullah al azim.

Nazhan dah dikuasai emosi sendiri.

“Jangan cakap macam tu, Naz.” Umi Solehah mencelah. Berpesan dalam linangan air mata. “Seorang ibu tak pernah ada niat nak hancurkan hidup anak sendiri. Dia hanya tersilap langkah, Naz.”

“Ya.”  Nazhan sudah palingkan muka. Pandang Umi solehah dengan tajam. “Dia sengaja silapkan langkah sebab nak kahwin dengan orang yang lebih kaya dari abah,” balas Nazhan lantas tarik tangan yang dipegang Fadhir. Bangkit lalu memandang ke pintu bilik.

“Perempuan atas pentas. Memang murah. Jual muka. Jual suara semata-mata duit. Duit!!!’ Kuat Nazhan menjerit sehingga gema yang terhasil membuat jantung Umi Solehah hampir tercabut. Namun wanita itu kuatkan semangat.

“Tak semua….” Umi Solehah hendak membetulkan namun Fadhir menggeleng. Hati di dalam sedang terbakar. Tak boleh ditambah dengan minyak. Akan makin marak menyala.”

“Sabar, Naz!” pujuk Fadhir buat kesekian kalinya. 

“Keluar! Keluar!” arah lelaki itu keras bersama linangan air mata.

Fadhir tak menolak. Dengan hati yang pecah berkeping-keping tarik tangan Umi Solehah. Bawa keluar sebelum sesuatu yang tak diingini berlaku pula. Sebaik melepasi muka pintu Nazhan tolak daun pintu begitu kuat. Berdentum bunyinya. Lantas Fadhir pandang uminya. Kesal menghuni diri.

Bila terjadi insiden begini dia selalu saja hendak menyumpah seranah. Dia mahu menghamburkan perasan geramnya. Tetapi pantas kuatkan hati. Nazhan sedang berperang dengan perasaan sendiri. Siapa yang akan membantu jika bukan dirinya yang masih berjaya mengawal emosi. 

Sudah berbelas tahun memori hitam itu jauh ditinggalkan. Tetapi Rupa-rupanya Nazhan masih tak mampu menerima segala kenyataan. Ibu yang dia sayang curang di depan mata ayanya. Berdua-duaan dengan lelaki berpangkat semata-mata hendak menggapai impian yang setinggi langit. Sanggup korbankan maruah diri hanya kerana mahu menjadi artis. Itu yang Nazhan tak boleh terima. Makin mengharukan keadaan apabila kekasih Nazhan pun sama. Mengikut jejak langkah wanita tersebut. Itu yang Nazhan jadi bingung dan putus asa.  

Fadhir pejamkan mata.

Bila Nazhan sudah kembali menetap dalam bilik tersebut - bilik yang sudah lama tidak menjadi sarang pertapaan, hatinya gusar.  Entah bila lelaki itu akan keluar. Mungkin seperti dulu. Berbulan-bulan masa yang diambil untuk pulih. Mungkin bertahun-tahun lamanya. Nampak gayanya kali ini dia kena meminta cuti tanpa gaji. Siapa lagi yang hendak mengurus syarikat peninggalan arwah abah kalau Nazhan tak akan keluar bilik.

Sayang nak tinggalkan pejabatnya. Namun dia terpaksa andai Nazhan masih begitu.

TARANUM kasih NAZIEFAWhere stories live. Discover now