BAB 17

10 3 0
                                    

Kalau sudah tersurat, yang tersembunyi akan terlihat

Sehari dua lagi dia akan menghadapi peperiksaan akhir. Selepas itu dia akan bercuti panjang. Boleh tenangkan diri di rumah sebelum kembali ke semester dua. Baki minggu belajar ini dia gunakan sebaiknya. Ini adalah peperiksaan pertama ya. Lalu dia pasang impian mahu berjaya. Mahu dapatkan pointer tinggi. Paling kurang dapat anugerah dekan.

Tanpa ditemani Norleen, Naziefa menelaah di dalam perpustakaan. Rasa pelik pula bila masuk ke dalam. Saat melintasi meja belajar wajahnya menjadi santapan mata pelajar yang ada. Rasa tak betul langkahnya apabila melihat mulut masing-masing berbisik sesuatu. Dia tidak tahu apa yang dibisikkan. Tetapi firasatnya mengatakan ada sesuatu yang tak sepatutnya berlaku telah terjadi.

“Hai. Minta lagu satu!”

Baru saja mencari buku rujukan di rak buku paling hujung dia disapa seseorang. Terus Naziefa berpaling. Dia tak kenal lelaki yang menyapanya begitu tetapi wajah di sebelah lelaki terbabit mengundang debar yang cukup pelik. Bukan debar teruja tetapi detak ketakutan maha hebat. Matanya mula ke sana sini. Bimbang kemunculan lelaki popular ini akan  mengundang fitnah.

“Dengar cerita nama dah sampai ke pihak atasan.”

Terus dahi Naziefa  berkerut seribu.

“Kenapa? Saya ada buat salah apa-apa ke?” soal Naziefa naif. Hakim mengekek ketawa. Pandang Fahim yang hanya berikan pandangan mesra dalam senyuman penuh makna. Entah kenapa senyuman itu bagaikan mengandungi maksud yang sukar Naziefa tebak. Lalu cepat-cepat Naziefa larikan mata.

“Memang awak dah buat salah. Terutama sekali awak dah buat man of the year tak boleh tidur.”

Fahim berdehem sekali dua. Mata pula tak lepas merenung wajah yang sudah merah menyala. 

Naziefa pula berkerut tidak faham. Masalah apa sebenarnya yang telah dia bawa. 

“Boleh tak awak berterus-terang. Saya tak faham.”

Hakim kerling Fahim di sebelah. “Tak sangka pandai menyanyi. Kenapa masa orientasi dulu tak tunjuk bakat yang ada.”

Naziefa makin tak faham. Keliru memikirkan bagaimana lelaki ini boleh tahu dia pandai menyanyi. Takkanlah kejadian masa dekat koridor biliknya dulu sudah diketahui orang. Tak mungkin. 

“Saya tak faham.”

Hakim hadiahkan gelak kecil. 

“Semua orang yang masuk kat sini dah tengok video awak menyanyi.” Akhirnya Fahim buka mulut. Terus Naziefa tersentak. 

“Video saya? Tengok kat mana?” soal Naziefa tak percaya. Muka pun dah berubah memek. Dari berkerut keliru berganti muka terkejut macam tengok hantu. Memang hilang sudah kesopanannya. “Cakaplah. Kat mana?“ Suara lembutnya pun dah kedengaran keras. Sehingga terbit tawa halus dari mulut Fahim.

“Jangan bimbang. Video tu tak ke mana pun. Ada je dalam komputer library.”

Komputer dalam perpustakaan?!
Makin berkerut dahi Naziefa. Siapa yang berani mengambil videonya. Seingat dia malam itu hanya Norleen yang ada dengannya. Kebetulan semua orang berada di bawah. Mengambil angin di tepi kolam. Jadi siapa pula yang masuk dan merekod nyanyiannya.

Tak boleh jadi.

“Kat mana video tu?” soal Naziefa takut. Dia mahu melihat dengan matanya sendiri. Entah betul entah tidak.

“Nak tengok?” tanya Fahim dan Naziefa mengangguk laju. Terus Fahim dan Hakim membawanya ke satu ruangan yang menempatkan dua buah komputer. Ia adalah kemudahan yang disediakan untuk para pelajar yang tiada komputer menaip tugasan masing-masing.

TARANUM kasih NAZIEFAМесто, где живут истории. Откройте их для себя