Bab 1

7K 97 2
                                    

Prolog

SYIFA masih pegun. Dia mengintai di sebalik jendela dari aras dua. Letak kakinya dah makin goyah. Empangan matanya turut sama pecah. Tubuh Syifa hampir rebah menyembah bumi. Dia cuba bertahan biarpun jiwanya dah rabak dek perpisahan.

Wajarkah dia menangis sedangkan perpisahan ini dia yang cipta?

Mata Syifa tak bisa jauh menatap wajah itu. Selagi tubuh yang sedang berdiri lemah itu masih tak berganjak dari situ, selagi itulah Syifa tidak berganjak jadi pemerhati dalam diam, bersama sendu yang tak putus.

Sentuhan di bahu mengejutkan Syifa. Dia kalihkan tubuh. Wajah Nisa penuhi kornea mata. Hati Syifa jatuh sayu. Air hangat tak mahu berhenti biarpun dah banyak kali Syifa seka.

"Nisa..." panggil Syifa dalam kepayahan.

Nisa mengerti hati seorang Syifa. Dah bertahun- tahun dia kenal Syifa. Dia tahu, Syifa sedang belajar menerima. Syifa berusaha untuk sembuhkan hati yang luka. Dan Nisa sangat faham, tak mudah untuk Syifa bangkit dari masa lalu. Bahu sahabat baiknya Nisa usap lembut. Cuba salurkan kekuatan kepada Syifa. Jiwa dia rosak teruk apabila melihat Syifa tak henti-henti titiskan air mata. Mood dia juga bersepai melihatkan Syifa yang lemah tak sudah!

"Kenapa aku menangis ni?" Tawa Syifa pecah. Tawa yang dibuat-buat. Kedengaran terlalu asing di telinga Nisa.

Manik halus terbit keluar dari mata Syifa. Nisa pantas menyeka air mata di pipi Syifa itu dengan jari- jemarinya. Bibirnya menguntum senyum hambar. Ingin dikuatkan hati seorang sahabat, walaupun hati dia sendiri rasa rapuh. Nisa memerhatikan mata Syifa. Sembap. Muka pun dah naik bengkak. Tubuh Syifa dipaut ke dalam pelukan. Kepala Syifa yang masih berbalut tudung diusap perlahan.

"Belajar lepaskan sesuatu yang tak pernah jadi milik kita, Syifa..." pesan Nisa. Nafas dihela berat. Nisa tahu tak mudah untuk Syifa. Syifa mungkin ambil masa berbulan- bulan. Mungkin juga bertahun-tahun lamanya. Hati Syifa terkoyak dalam. Nak bina semula benteng hati sekeras konkrit, sangat payah bagi Syifa setelah dia biarkan Qayyum meruntuhkan benteng itu.

"Meranakah dia tanpa aku?" soal Syifa. Suaranya berlagu sendu. Menzahirkan rasa sayu yang payah untuk ditelan.

"Kau tak sanggup tengok dia merana, tapi kau sanggup biarkan diri kau jatuh tanpa ada yang sambut?" Lembut pertanyaan Nisa menyapa cuping telinga. Namun, soalan itu bagai belati tajam yang menghunus jantung Syifa!

Lagi air hangat menitis ke pipi. Basah lencun wajah Syifa. Geram dengan mata sendiri. Tak patuh kepada arahan tuan dia. Apabila diarah berhenti, tetap saja air hangat itu ingin mengalir. Pandangan dilemparkan kembali ke arah batang tubuh yang masih tegap berdiri di situ.

Syifa sedar Qayyum berkalih memandangnya. Cepat-cepat Syifa sembunyikan tubuh.

"Pergi, Qay... Tolong pergi..." Syifa merintih sendiri.

Assalamualaikum Hawaحيث تعيش القصص. اكتشف الآن