Bab 13

757 25 0
                                    

SYIFA menolak kuat tubuh yang cuba mengepung dirinya. Gila! Dah hilang akal gamaknya Qayyum ni. Tak cukup dengan itu, lengan Qayyum pula digigit. Setelah berjaya meloloskan diri, Syifa membuka langkah besar sambil kepalanya masih menoleh ke belakang. Langkah Qayyum pula sangat pantas dan semakin hampir dengannya.

Mata Syifa menangkap ke arah sebatang kayu yang sebesar lengan. Kayu itu diambil lantas digenggam dengan kedua-dua belah tangan lalu terus diacukan kayu tersebut kepada Qayyum supaya akal lelaki itu sedar daripada tindakannya.

"Jangan dekat, Qay!" bentak Syifa. Ini bukan Qayyum yang Syifa kenal. Qayyum di hadapannya sekarang dah serupa orang yang dirasuk syaitan!!!

Qayyum terus mara mendekati Syifa.

Syifa jadi gugup lalu selangkah demi selangkah dia mengundur. Tanpa berlengah, Syifa mengangkat tinggi kayu yang dipegangnya apabila Qayyum semakin menghampiri. Dan pada saat Qayyum cuba menggapai tubuh Syifa...

Buk!

Hentaman tepat mengena di kepala! Qayyum jatuh menyembah bumi.

Tubuh Syifa menggigil. Kayu terlepas daripada pegangan. Pandangannya berbalam-balam kerana dikaburi air mata. Matanya pula tidak lepas memandang tubuh Qayyum. Dahi Qayyum penuh dengan darah!

"Qayyum!" Syifa cuba memanggil.

Mata Syifa terbuntang luas. Deru nafasnya laju manakala dadanya pula berombak untuk mencuri nafas. Liur yang ditelannya juga terasa pahit.

"Allahuakbar! Mimpi rupa-rupanya," bisik Syifa sambil meraup mukanya berkali-kali. Istighfar juga tak lepas dari bibirnya. Muka dan lehernya turut basah dengan peluh.

Tombol pintu bilik dipulas dari luar. Terjengul wajah sahabat baiknya, Nisa. Suis lampu dipetik. Nisa melangkah mendekati Syifa lalu duduk di birai katil. Wajah Syifa yang berair mata ditenung.

"Kau okey tak ni?"

Suasana jadi sepi kerana tiada respons daripada Syifa. Hanya deru nafas kedengaran.

"Kau mimpi lagi?" Sekali lagi Nisa bertanya.

Nisa dikerling beberapa saat. Hatinya jadi sebu. Syifa mengangguk lemah. Nisa sudah dapat mengagak kerana kebiasaannya memang akan jadi begini kalau Syifa bermimpi. Mengigau perkara yang sama. Dan nama itu akan meniti di bibir Syifa setiap kali mimpi itu datang bertandang. Tapi seingat Nisa, dah lama Syifa tak mengigau sampai terjerit-jerit macam ni.

Bahu Syifa dipaut. Kepala Syifa rebah di atas bahu Nisa. Hanya Nisa yang tahu betapa deritanya dia saat kenangan silam datang menyapa. Sakit! Hatinya ngilu!

Lama mereka menyepi. Nisa biarkan bahunya jadi sandaran untuk Syifa menghilangkan ketakutan.

"Nisa..."

"Hmmm."

"Aku jumpa dia," cerita Syifa.

Kening Nisa bercantum. "Dia tu, siapa?"

Syifa angkat kepala. "Qayyum," balas Syifa, sepatah.

Mata Nisa terjegil luas. "Hah, kat mana?"

Syifa menunduk sambil bermain dengan jari-jemarinya. Resahnya tetap tidak mahu pergi.

"Depan taska. Dia yang hampir langgar aku dan Fikri siang tadi."

Nisa tekup mulut. Patutlah Syifa mengigau. Kelu lidah tak terkata Nisa jadinya apabila aturan Tuhan mempertemukan Syifa dan Qayyum semula. Masih berjodohkah mereka?

"Kau okey?" soal Nisa.

Syifa jongket bahu. Tubuhnya disandarkan di kepala katil. Air mata sudah kering untuk dibazirkan kerana Qayyum.

"Entahlah, Nisa. Aku terkejut!"

"Lupakan ajelah dia, Syifa."

"Bukan senang."

"Ya, bukan senang. Tapi, setidak-tidaknya kau mencuba. Buka ruang hati tu untuk yang lebih layak dengan kau. Lama-lama nanti, pasti kau akan lupakan Qayyum. Percayalah cakap aku. Qayyum tu cuma kisah silam yang mengajar kau untuk jadi manusia yang lebih baik," ujar Nisa sambil menepuk paha Syifa. Sudah berkali-kali Nisa minta Syifa melupakan Qayyum, tetapi ingatan Syifa masih utuh pada lelaki itu.

Lebih layak? "Kau maksudkan, Harfi?"

Nisa mengangguk.

Terbit keluhan tipis dari bibir Syifa.

"Aku yang tak layak untuk dia, Nisa."

Assalamualaikum HawaWhere stories live. Discover now