Bab 7

860 24 0
                                    

MELILAU mata Syifa mencari bayang Aisya. Masih tak jumpa! Peluh cuak membasahi tudung. Anak orang tu! Mahunya Syifa tak risau? Tanpa berlengah, Syifa terus menghala langkah kakinya ke ruang kelas sambil mulutnya tak berhenti memanggil nama Aisya.

Setelah itu, haluannya bertukar ke arah tandas. Satu per satu pintu tandas dibuka. Bayang Aisya masih belum kelihatan. Kini, tinggal Syifa dan Mak Leha aje yang belum pulang. Nisa cuti hari ini, ada hal penting katanya.

Harfi awal-awal sudah menelefon ke taska untuk meminta Syifa tengokkan Aisya sampai dia datang jemput kerana berkemungkinan besar, Harfi akan terlewat sejam sebab dia ada mesyuarat.

Syifa menjenguk pula ke kawasan dapur. Terjengul wajah Mak Leha sedang mengelap tangan. Baru kemas dapur gamaknya.

Mak Leha pakukan mata kepada Syifa. Nampak tak tentu arah cikgu muda itu di hadapannya.

"Kenapa cikgu? Cemas semacam Mak Leha tengok?" Terluah akhirnya soalan di bibir Mak Leha.

Memang Syifa cemas sungguh ni!

"Mak Leha ada nampak Aisya tak?" Jantung Syifa berdegup pantas. Tak keruan hidupnya saat ini. Jika Aisya hilang, apa dia nak jawab dengan Harfi nanti? Hal ini melibatkan nyawa. Mana ada galang ganti!

"Budak kecil yang pakai cekak bereben pink tu ke?"

Ada sinar di mata Syifa. Cepat-cepat dia mengangguk, mengiakan.

"Tadi, Mak Leha ada nampak dia lalu depan dapur ni. Mak Leha ingatkan dia nak ke tandas. Mak Leha tak tegurlah. Cikgu dah cari kat tandas?" Mak Leha turut sama cemas.

"Dah, Mak Leha. Allah! Apa saya nak jawab dekat papa Aisya ni, Mak Leha?" Syifa mula gelabah. Hatinya tak tenang selagi tak nampak Aisya di depan mata.

"Sabar, cikgu. Mesti ada tu Aisya kat mana-mana. Kita berpecah cari dia, ya?" pujuk Mak Leha, cuba tenangkan Syifa.

"Saya cuba cari kat luar." Syifa menapak ke luar taska.

"Cikgu!!!" Jeritan seseorang mengejutkan Syifa. Telinganya dipasang teliti, cuba menangkap arah jeritan tadi sambil kaki tetap menapak satu per satu.

Syifa melopong. Jantung bagai nak pecah apabila melihat situasi di hadapan matanya. Kain baju digenggam. Tubuhnya menggigil teruk. Aisya sedang mengamuk di dalam pelukan orang yang tak dikenali!

Syifa meliarkan pandangannya ke sekeliling. Langsung tak ada orang ketika itu. Sunyi sepi. Pandai penculik ni ambil kesempatan!

Dalam diam, Syifa yang berada di belakang si penculik mula memberanikan diri. Tanpa bunyi, dia melangkah ke arah rak kasut lalu mencapai kasut tumit tinggi miliknya.

Syifa kini cuba mencari sasaran yang tepat untuk membaling kasutnya itu ke arah penculik. Hatinya tak henti-henti mengucapkan nama Allah. Mohon perlindungan supaya Allah selamatkan mereka daripada syaitan bertopengkan manusia di depan mata. Dengan lafaz bismillah, kasut itu dibaling!

Buk! Tepat menghentam belakang tubuh si penculik!

"Arghhh!" Jeritan kuat bergema.

Dalam masa yang sama, Aisya menggigit tangan penculik yang sedang memeluknya. Pelukan makin goyah. Tubuh Aisya jatuh ke atas tanah. Laju Aisya berlari mendapatkan Syifa, bersama tangisan tak henti. Mengongoi dia di dalam pelukan Syifa.

Penculik bertubuh sasa itu menoleh. Matanya mencerlung tajam. Memang cari pasal sungguh! Belakang tubuhnya terasa sengal. Dadanya berlahar. Pantang ada orang main-main dengannya. Dengusan kasar dilepaskan. Topengnya basah dek hujan peluh. Langkah dimajukan setapak demi setapak.

Assalamualaikum HawaWhere stories live. Discover now