Bab 14

846 22 1
                                    

QAYYUM bersandar di kerusi. Kepalanya mendongak ke dada langit untuk melihat kepekatan malam. Namun, tiada bintang yang menyinari langit pada ketika itu seperti kelamnya hati Qayyum ketika kekasih hati meminta meleraikan ikatan perhubungannya. Matanya dipejam. Kenangan lalu singgah lagi dalam kotak fikiran.

Bibirnya manis dengan senyuman. Menanti Syifa turun bertemu dengannya. Coklat Ferrero Rocher kegemaran buah hati tersayang yang berada di dalam genggaman dipandang.

Setelah lima minit menunggu, Syifa terpacak di hadapan Qayyum. Dia memandang Qayyum tanpa segaris senyum. Tangannya berpeluk tubuh. Bahu yang terasa dingin digosok perlahan bagi mencari kekuatan untuk berterus terang.

"Awak sihat?" Qayyum memecahkan kebisuan.

Suasana sepi. Sepatutnya Syifa yang bertanya kerana dia yang menjadi punca Qayyum terlantar di atas katil hospital selama seminggu. Biarpun jiwanya meronta-ronta nak tahu keadaan Qayyum, hatinya terpalit rasa benci bersilih ganti dengan rasa sayang yang masih menebal.

Melihatkan tiada respons daripada Syifa, kotak coklat Ferrero Rocher dihulur.

"Nah... Untuk awak."

Syifa masih pegun. Matanya dah mula berkaca-kaca. Lengannya jatuh ke sisi. Tangan digenggam, mencari kekuatan.

"Awak ke mana Qay masa saya dicaci dan dihina orang?" Suara Syifa bergetar menahan sebak.

Qayyum terkedu menatap wajah keruh Syifa.

"Saya bertahan tanpa sesiapa, Qay. Cuma ada Nisa di sisi saya. Mana awak masa saya dikeji sebagai perempuan murahan? Konon cinta, tapi lepas gambar tu jadi buah mulut orang, awak larikan diri dari saya! Itu yang awak kata cinta?" Suara Syifa naik seoktaf. Pandangan matanya turut mencerlung tajam sehingga menerobos ke dalam anak mata Qayyum.

Darah Qayyum berderau apabila diasak dengan soalan itu. Memang wajar Syifa mempertikaikan cintanya.

"Syifa..." Bicara Qayyum mati. Akal beku tak dapat berfikir. Tiada kata-kata lagi yang mampu diluah.

"Telan semua janji awak, Qay! Palsu semuanya! Awak menghindar seolah-olah tak kenal saya. Dan bila awak muncul, awak hampir..." Keadaan jadi jeda seketika. Empangan mata Syifa pecah. Tubuhnya mula menggigil menahan marah.

Qayyum terdiam lama. Luluh hatinya mendengar luahan Syifa. Memang salah dia. Kata cinta, tapi pengecut! Syifa berjuang membersihkan maruahnya yang tercalar seorang diri. Kata cinta, tapi tegarnya Qayyum menyentuh tubuh yang tidak halal untuk disentuh! Cintakah dia kepada Syifa? Atau hanya bisikan nafsu semata-mata?

"Maafkan saya..."

Syifa tersenyum sinis. Sepuluh kali minta maaf pun, mana mungkin hilang parut luka yang Qayyum tinggalkan!

"Dahlah, Qay. Saya penat. Penat bila jatuh berkali-kali dalam jurang cinta awak. Lemah hati saya setiap kali berhadapan dengan awak. Tiap kali awak bisikkan cinta, saya lemas dalam pelukan haram."

Syifa membiarkan syaitan bertepuk tangan dan ketawa disebabkan kejatuhan mereka ke lembah hina. Dia biarkan nafsu menguasai akalnya. Mana pergi pendirian yang dia pegang teguh sejak dulu? Konon anti lelaki! Konon telinga berdesing setiap kali nama lelaki disebut! Tapi akhirnya Syifa jatuh berguling-guling tanpa ada yang menyambutnya, lalu rebah terkulai ke dalam pelukan hangat seorang lelaki yang bukan muhrim!

Makin lebat air mata Syifa membasahi pipi. Teringatkan dosanya, hati Syifa jadi ngilu. Berdenyut-denyut seolah-olah ada benda yang mencucuk.

Syifa menelan liur yang terasa tersekat di kerongkong. Jauh di sudut hati, Qayyum turut menangis. Memandang birai mata kekasih hati yang basah, jiwa Qayyum terluka teruk. Dadanya bergetar hebat. Mungkinkah ini masanya?

Assalamualaikum HawaWhere stories live. Discover now