Bab 1

106K 2.4K 256
                                    

PROLOG

Kali pertama aku buka mata? Kosong. Hati rasa kosong. Fikiran pun rasa kosong. Apa yang aku ingat? Juga kosong.

Siapa aku? Macam mana aku boleh berada di sini? Apa yang telah terjadi kepadaku? Kenapa aku langsung tak ingat apa-apa?

Semuanya dijawab oleh lelaki separuh umur yang setia menunggu di sampingku. Orang yang bergelar ayahku. Wajah cengkungnya jelas kepenatan. Ada lingkaran gelap di bawah mata yang menjadi bukti nyata bahawa dia terkesan dengan keadaanku.

Nurissa. Itu yang dia panggil aku. Nama penuh, Nurissa Rose binti Noriman. Aku dimasukkan ke hospital gara-gara kemalangan jalan raya. Teruknya sampai doktor tak tahu sama ada mereka boleh selamatkan aku atau tidak. Dengan izin Allah, aku berjaya melepasi tahap kritikal. Tapi, aku koma untuk jangka masa yang tak siapa tahu.

Sehinggalah sekarang. Setahun. Itulah tempoh masa aku terlantar di atas katil ini. Sangat terkejut. Juga bersyukur. Rasa bagaikan mati dihidupkan semula. Mereka semua mendefinisikannya sebagai keajaiban. Tapi aku pula mendefinisikannya sebagai peluang kedua. Mungkin aku diberikan peluang untuk tebus kesalahanku? Atau berbakti kepada orang-orang yang sayangkan aku? Atau sebenarnya ini semua berkat orang-orang yang doakan aku agar terus kuat berjuang? Wallahualam. Aku sendiri pun tak tahu.

Malangnya aku bukan diriku sebaik saja aku buka mata. Setiap yang berlaku pasti ada komplikasi yang bakal kutanggung. Hantukan kuat pada belakang kepalaku meninggalkan satu parut panjang yang disembunyikan oleh kelebatan rambutku. Kesannya? Aku mengalami retrograde amnesia. Kata doktor, keadaan ini mungkin sementara. Boleh jadi beberapa hari, beberapa bulan dan mungkin juga sehingga ke akhir hayatku. Perasaanku bila doktor cakap macam tu?

Kosong.

Dan beberapa hari telah pun berlalu. Keadaanku masih sama. Masih cuba memikirkan apa yang telah terjadi. Hidup tanpa tahu siapa kita yang sebenarnya amat memenatkan dan tertekan. Aku bagaikan tak punya identiti diri. Hati selalu tertanya-tanya, bagaimana kehidupanku sebelum aku hilang ingatan? Baikkah aku? Atau jahatkah aku? Berapa banyak pahala aku? Atau lebih banyak dosa terkumpul? Rasa bagaikan hidup tak lengkap.

Mungkin emosi masih kurang stabil, aku sering menangis apabila ditinggalkan sendirian. Entah kenapa aku rasa satu kehilangan yang amat besar tanpa ingatan. Aku tak tahu kenapa aku rasa bagaikan aku lupakan sesuatu yang paling bermakna dalam hidupku. Hati bagaikan mendambakan sesuatu.

Atau seseorang? Tapi malangnya tiada satu pun memori lepas yang terimbas dalam fikiranku.

Satu hari, apabila aku membuka mata, masih tiada apa-apa yang berubah. Pandangan kosong ke arah siling putih bilik pesakit itu. Hanya bunyi pendingin hawa yang jadi melodi halwa telinga. Bezanya, bilik itu kosong tanpa ayah.

Hidup mesti diteruskan. Itulah motivasi yang selalu aku tiupkan ke dalam jiwa sendiri. Tiap-tiap hari. Agar aku tidak berputus asa dengan kehidupan.

Aku cuba duduk sendiri. Otot-ototku masih lemah gara-gara dah lama tak digunakan. Sesuatu yang berbeza hari itu. Di sisi meja kecil di sebelah katilku, ada sekuntum mawar putih cantik terletak. Bibir secara automatiknya menguntum senyum. Aneh. Ini kali pertama aku senyum sepanjang aku buka mata.

Bunga mawar bunga kesukaanku agaknya. Tangan terus capai. Kelopak lembut putih itu kuusap perlahan. Cantik. Kemudian dibawa ke hidung. Dalam-dalam nafas ditarik bersama bau manis bunga mawar itu. Tenang. Sekali lagi bunga itu dipandang. Ada satu kad kecil terikat di batang mawar putih itu.

Rest well. Till we meet again, Rose.

Encik Duri.

Rose? Dia panggil aku Rose? Tulisan tangan berangkai itu bagai dekat dalam hati. Sangat cantik. Sekali melihat pun aku sudah jatuh hati dengannya.

DHEO'SWhere stories live. Discover now