Bab 4

36.9K 1.3K 67
                                    

"Kak Tiqah kenal ke Dheo Han?" soalku lagi. Melihat wajah terkejut Kak Tiqah, aku tahu dia tahu sesuatu tentang lelaki bernama Dheo Han itu.

"Kenapa Cik Rissa tanya?" Kak Tiqah tanya aku balik. Jelas kelihatan wajahnya yang bagaikan cuba menyembunyikan sesuatu.

Aku tayang kertas yang berada di tanganku itu.

"Rissa jumpa ni dalam ofis ayah. Surat ni menyatakan harta benda ayah berpindah milik kepada Dheo Han. Kak Tiqah tahu kenapa?" soalku lagi.

Kak Tiqah diam.

"Kak Tiqah tahu sesuatu yang saya tak tahu ke?" desakku lagi. Firasat menyatakan Kak Tiqah tahu semua ini tapi sengaja merahsiakan daripadaku.

"Dheo Han adalah pemilik La Prince."

Macam pernah dengar aje? Bukan ni ke yang sibuk Nuha dan Nini gosipkan dulu? Jadi, kita bercakap tentang Dheo Han yang sama. Tapi, apa kena-mengena orang hebat macam Dheo Han itu dengan ayah yang cuma biasa-biasa? Macam mana ayah boleh kenal dia?

Aku biarkan Kak Tiqah menyambung ceritanya.

"Beberapa bulan sebelum Encik Noriman meninggal dunia, banyak perkara yang terjadi sebenarnya. Encik Noriman ada masalah kewangan. Kali ni agak kritikal. Banyak cara Encik Noriman lakukan untuk atasi masalah itu."

"Ayah ada masalah kewangan?" Aku terkejut. Kak Tiqah angguk.

"Gara-gara ekonomi sekarang, syarikat ayah Cik Rissa susah nak untung. Banyak hutang ditanggung. I's Café pun turut kena tempiasnya. Encik Noriman diisytiharkan bankrap kalau tak dapat selesaikan hutang-hutang bank."

Bankrap? Hampir rebah aku mendengarnya. Lantas tangan memegang peti ais yang bersebelahan denganku. Sebagai sokongan sebelum aku mencium lantai.

Bankrap. Aku mencerna maklumat itu. Bukan kecil masalah yang ayah hadapi kalau sampai dah diisytiharkan bankrap. Masalah kewangan ayah sangat besar kalau dah segala hak milik ayah dipertaruhkan untuk melangsaikan hutang itu.

Inikah sebabnya ayah selalu balik lambat? Inikah sebabnya wajah ayah selalu mendung? Selalu ayah tenang bila denganku. Kerana apa? Kerana ayah tak mahu aku tahu. Ayah memang mahu menanggung masalahnya sendiri.

Sehingga akhir nyawanya pun aku masih tak tahu apa-apa. Ya Allah, anak jenis apa aku ni? Kalau aku tahu ayah ada masalah kewangan, aku pasti akan cuba menolong sehabis mungkin. Aku rasa aku seorang anak yang tak guna. Pemikiran itu lantas membawa air mata di tubir mata.

"Kenapa saya tak tahu apa-apa, Kak Tiqah? Kenapa tiada siapa yang bagi tahu saya?" soalku dalam tangisan.

"Semua orang tak nak risaukan Cik Rissa. Cik Rissa dah ada masalah lain untuk difikirkan."

"Tapi, apa kaitannya dengan Dheo Han?" soalku lagi.

Kak Tiqah diam.

"Kak Tiqah rasa, ada baiknya Cik Rissa jumpa Encik Ridhwan. Hanya dia yang boleh jelaskan semua ni," jawab Kak Tiqah akhirnya.

Aku meraup wajah dengan kedua-dua tapak tangan. Fikiran berserabut. Dugaan apakah ini? Aku baru kehilangan ayah. Dan sekarang, aku hilang segala-galanya.

Encik Ridhwan, peguam ayah dengan wajah yang sedih mengesahkan bahawa dengan rasminya ayah diisytiharkan muflis dan segala harta benda atas nama arwah ayah disita dan dilelong sehinggalah segala hutang dilunaskan.

Hutang ayah? Banyak. Sangat banyak. Nak sebut pun aku rasa ngeri. Dengan kudrat aku yang tak punya apa-apa ni, aku mengais sampai mati pun belum tentu terlunas hutang-hutang itu.

Sehinggalah muncul Dheo Han. Semasa hayat ayah, Dheo Han merupakan orang yang melunaskan segala hutang-hutang ayah. Segala harta benda atas nama ayah berpindah kepadanya. Semuanya. Rumah. Kereta. Syarikat ayah. Aset ayah dan I's Café. Dengan itu, aku memang tak punya apa-apa. Papa kedana.

DHEO'SWhere stories live. Discover now