Bab 6

37.2K 1.3K 129
                                    

"Ti amo, Rose.."

Aku tersedar. Keadaan sekeliling dipandang. Gelap seperti selalu. Tepi katil diraba untuk mencari telefon pintar.

5:30 AM.

Lima setengah pagi? Sesuatu yang baru. Ini kali pertama aku tersedar bukan pukul tiga pagi. Petanda apakah ini? Adakah ini petanda bahawa daya ingatanku sudah mula ada perkembangan? Atau sekadar perubahan gara-gara gaya tidurku yang dah berubah sejak ayah meninggal dunia?

Aku mengeluh lemah. Selimut tebal diselak sebelum aku bangkit dari tidur. Dah bersedia untuk memulakan hari baru.

Mandi. Solat subuh. Kemudian mula bersiap untuk ke Hotel La Prince. Hari ni merupakan hari pertama aku mula bekerja di situ. Aku cuma mengenakan seluar slek hitam dan blaus berwarna biru. Tudung biru gelap dililit di kepala. Wajah dikenakan mekap nipis. Cuma bedak asas dan lip balm.

Usai menilik diri sendiri di depan cermin, aku tenung diri sendiri dalam-dalam. Cuba bagi motivasi diri awal-awal pagi. Tangan kanan dibawa ke dada. Diletak kemas betul-betul di bahagian jantung. Berdegup kencang. Mungkin sebab nervous.

Kaki belum pun keluar rumah, tapi jantung dah macam guna kuasa kuda. Relaks, Nurissa! Relaks! Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum hembus perlahan.

Kau boleh, Nurissa! Kau boleh. Allah takkan bagi sesuatu di luar kemampuan manusia. Kau kena yakin kau mampu untuk buat semua ni. Ni cuma kerja. Walaupun kerja pertama.

Ya... Ini merupakan kali pertama aku bekerja. Atau kerja pertama untuk hayatku selepas aku hilang ingatan. Ini kali pertama aku akan berdikari. Sebelum ini, aku anak manja. Segala-galanya disuap ayah. Semua pergerakanku dikawal ketat. Mungkin ayah risau sebab secara teknikalnya aku masih sakit. Sebab itulah aku dah terbiasa dengan hidup bergantung dengan ayah.

Tapi sekarang ayah dah tiada. Dah tentulah aku rasa lain. Hidup berubah seratus lapan puluh darjah. Tapi aku kena reda. Dah ketentuan. Mengingatkan tentang arwah ayah, mata mula rasa berair.

Cepat-cepat aku tarik nafas panjang. Tahan benteng mata daripada pecah. Hidup mesti diteruskan. Aku yakin aku boleh! Lebar-lebar aku senyum depan cermin sebelum menyambar beg sandangku.

Aku pegun di depan pintu rumah. Berkira-kira. Macam mana aku nak pergi ke Hotel La Prince? Lalu aku pandang ke arah garaj rumah. Keretaku. Atau patut aku cakap kereta milik Dheo Han juga?

Ikutkan hati, mahu sahaja aku naik kereta itu untuk ke sana. Tapi, aku masih punya maruah. Aku takkan menggunakan sesuatu yang bukan milikku tanpa pengetahuan tuannya. Agak sedih ketika aku memandang ke arah keretaku. Tapi apa boleh buat? Bukan hak aku lagi.

Aku geleng kepala beberapa kali. Tepis kesedihan tu jauh-jauh. Sesuatu bukan milikku lagi, usah aku tangisi lagi. Kereta itu cuma satu kemahuan, bukan keperluan. Aku yakin Allah pasti permudahkan urusanku hari ini.

Aku terus ke pintu pagar rumah. Kunci pintu pagar rumah rapat-rapat. Pastikan semua dalam keadaan selamat sebelum aku tinggalkan rumah itu. Rumah orang. Selalu aku semat dalam kepalaku yang rumah tu bukan rumahku lagi. Tapi kalau ada apa-apa berlaku, akulah yang bertanggungjawab. Lagi berat tanggungjawab itu sebab rumah itu amanah orang untukku.

Nak naik teksi atau Uber, ya? Yang mana lebih selamat? Yang mana lebih murah? Aku pun tak tahu memandangkan aku tak pernah naik teksi atau Uber. Ini kali pertama aku cuba untuk menggunakan khidmat itu.

Sedang aku memikirkannya, tiba-tiba kedengaran hon kereta ditekan. Nasib baik tak melompat aku dibuatnya. Sempat tangan urut dada sebelum kepala ditolehkan ke arah si tukang hon itu. Ada satu kereta Range Rover hitam berkilat berhenti betul-betul di depanku. Berkerut dahiku memikirkan gerangan pemilik kereta mewah itu. Bila cermin gelap itu diturunkan, automatik bibirku tersenyum.

DHEO'SWhere stories live. Discover now