Part 6

5.6K 413 8
                                    

MASUK kerja esok hari, wajah muram Saila menjadi santapan mata teman sekerjanya.

"Kenapa lain benar mukanya Saila? Tak sihat ke?" Seperti biasa, Kak Mun sentiasa menjadi yang pertama menegur.

Kinah sedang menjamah sarapan yang dibeli di cafe tadi. Indah pula masih di dalam mood pagi yang baru hendak panas enjinnya.

"Tidur tak nyenyak semalam. Mengantuk tak habis lagi." Saila tersenyum tenang. Tapi bening matanya membawa kisah berbeza. Ada perkara sedang berselirat dalam kepala, sekali gus menyesakkan dada yang menyimpan rasa.

Selebihnya mereka semua diam memulakan kerja. Kak Mun pun mati akal mahu beramah bila tidak ada yang menyokong dari belakang. Lihatkan wajah tak bermaya Saila membuatkan mood berbualnya ikut sama tak bersemangat.

Sama seperti semalam, dalam jam 10 lebih telefon Saila berbunyi. Ada mesej masuk. Lama Saila merenung skrin telefon. Membaca mesej yang entah panjang mana isinya.

Mulanya Indah cuma mengerling sekilas saja. Tetapi dia memandang sekali lagi bila tiada pergerakan yang terlihat dari tubir mata. Saila masih kaku melihat skrin telefonnya.

"Tunang ajak keluar makan lunch sekali ke?" Bukan Indah namanya jika dia tidak menggunakan peluang yang ada untuk menyiasat secara halus. Tuju saja soalan sambil menyelitkan nama manusia yang sedang menjadi tanda tanya dalam benaknya semenjak dua menjak ini. Itu adalah cara menyelidik cik bawang berjaya!

Saila terpinga-pinga. Memang jelas wajah ayam berak kapurnya memandang Indah.

"Tu ... tunang?"

"A'ah. Yang semalam Saila keluar makan tu, dengan tunang kan? Kami nampak semalam kereta merah tungggu Saila dekat luar tu." Kak Mun mula masuk mencelah. Memang sepakat dengan Indah. Pandai menggunakan segala macam taktik untuk mendapatkan maklumat.

"Eh ... Aa ... itu ...." Saila gagap. Tangan tanpa sedar mengusik pangkal jari manis sendiri. Tempat duduknya objek yang menjadi permulaan semua salah faham di antara mereka, juga sengketa di antara dia dan Qairie. Baru ketika itu Saila perasan dengan perbezaan ketara di jarinya yang satu itu. Semalam dia menanggalkan cincin yang selalu disarung untuk memujuk Qairie!

Sepantas kilat Saila menyembunyikan tangannya di bawah meja. Tapi gerakan ketaranya berjaya ditangkap mata Kinah yang sedari tadi hanya memerhati dan menelinga di dalam diam. Mata Kinah terkejip beberapa kali seiring dengan akalnya yang sedang mencetuskan puluhan teori hanya dalam masa satu saat.

Beep ... beep ...

Telefon di atas meja Indah tiba-tiba berbunyi. Memutuskan segala ketegangan yang sedang menyelubungi suasana.

"Hello." Indah terus menyapa. Tahu talian yang sedang diterima itu adalah dari dalam syarikat.

"Saya?"

Diam.

"Okay."

Klik! Gagang sudah selamat berada di tempatnya.

"Encik Rie panggil." Indah cuma mahu memberitahu. Berkongsi cerita, juga rasa pelik yang bertamu. Mana tahu kalau-kalau ada yang terusik hati.

Saila tiba-tiba bangkit dari duduknya dan meluru keluar. Buru-buru membelok ke arah tandas.

Indah memandang Kak Mun dan Kinah sebelum mengangkat bahu. Dia pun tidak tahu apa yang baru saja berlaku.

"Eh, dah tukar selera ke bos kita ni?" Kak Mun pelik.

"Mengarut lah. Kerja dia bukannya dengan Saila saja. Dengan kita pun ada juga." Kinah menjadi orang tengah yang kembali menenangkan semua perasaan yang sedang bergelodak.

Kak Mun menjeling. Ada waktunya, Kinah berfungsi sebagai neutralizer. Hanya dengan sepotong ayat saja, dia mampu mencantas mood membawang mereka. Itu pun dilakukan di luar sedar.

"Dah tu, Saila tadi pergi mana? Laju je keluar?"

"Sakit perut kot." Malas-malas Kak Mun membalas soalan Indah. Alasan paling logik yang boleh dibuat.

"Muka macam nak menangis je." Selamba Indah menyambung.

"Eh, nampak tak cincin Saila tadi?" Tiba-tiba Kinah kembali menghidupkan suasana. Baru tadi saja dia yang mematikan rasa ingin tahu mereka. Tapi sekarang dia kembali menjadi pencetus.

"Awak ni kan Kinah, nampak aje benda pelik-pelik tau. Kami menyembang pandang mata, bukannya tangan." Indah menempelak laju. Kadang-kadang geram juga dengan Kinah yang bergerak di atas landasan berbeza. Mereka sedang menuju ke A, tapi Kinah selamba saja tanpa amaran membelok pergi ke arah B. Akalnya memang tidak boleh dijangka!

"Kenapa dengan cincin cik adik stress tu? Isyh, selalu panggil dia macam tu, dengan akak pun ikut stress bila fikir pasal dia tau." Tidak peduli dengan perlian Indah, Kak Mun kembali ke topik asal yang dibuka Kinah.

Indah dan Kinah spontan ketawa. Lucu mendengar ayat terakhir Kak Mun. Memang betul! Terlalu sibuk mengambil tahu tentang life orang lain, memang boleh bikin stress! Elok-elok sudah bertenang dengan hidup sendiri, gatal pula mahu sibuk menyelak kain orang. Tapi perkara yang tidak elok itu juga lah yang sering menarik minat mereka. Sekadar hiburan saja kan... Alasan itu lah yang sering mereka ulang di dalam kepala. Untuk menyejukkan hati sendiri yang sebenarnya tahu, sikap itu tidak baik untuk diteruskan menjadi tabiat.

"Dia pakai cincin lain pula hari ni." Dalam gelak ketawa, Kinah tetap tidak lupa untuk menjawab soalan Kak Mun.

"Ha?" Serentak Kak Mun dan Indah berkerut dahi. Cincin lain? Eh, Saila ni sebenarnya terikat dengan berapa banyak lelaki?

"Tadi yang dia baca mesej lama sangat tu, agak-agaknya sebab apa?" Indah jadi kembali bersemangat mahu mengambil tahu.

"Tunang yang semalam tu ajak keluar makan, tapi dia takut Encik Rie marah?" Tekaan berbentuk soalan Kak Mun sedang mengajak yang lain untuk ikut sama bersetuju dengan telahannya.

Indah memetik jari. Kuat bunyi petikannya kedengaran. "Hari ni kan Encik Rie duduk dalam office. Nanti mesti selisih masa keluar lunch nanti. Jadinya, Saila risau terkantoi lah kan?"

Kinah menekan dagu dengan telunjuk. Kemudian menggeleng. Ada sesuatu terasa 'hilang' dalam semua tekaan mereka.

"Rasanya Saila bukan jenis tu."

Kak Mun dan Indah berpandangan sebelum menghempas nafas besar.

"Kak Mun bukannya cakap dia macam ini atau macam itu." Ada nada kesal dalam bicara Kak Mun.

"Tapi spekulasi yang kita tengah buat sekarang ni memang menjurus ke arah tu kan?" Kinah kembali menjadi peacemaker yang menghentam paku tajam ke dalam hati Kak Mun dan Indah.

Sekali lagi, Kak Mun dan Indah berpandangan. Bila Kinah masuk mode menasihat, memang boleh jadi segunung rasa bersalah di dalam hati mereka.

"Eh, Encik Rie panggil lah! Lupa!!!" Indah tiba-tiba berdiri tegak. Kalut-kalut menarik buku nota kecil dan pen sebelum berlari keluar. Terus lupa dengan perbualan mereka.

"Nanti lah kita sembang lain. Kak Mun pun lemas sebenarnya hidup dalam tanda tanya ni. Sebenarnya Kak Mun ada juga terfikir kalau betul Saila ada apa-apa dengan Encik Rie, perlu ke kita tegur dia? Ganggu laki orang ni, memang perkara yang paling akak tak gemar. Tak mahu lah Saila jadi mangsa. Tengok kan lembut Saila tu, tak mustahil juga sebenarnya Encik Rie tu yang bermasalah. Kita rakan sepejabat Saila. Tak boleh nak buat pejam mata tak nampak." Panjang lebar Kak Mun membuat penegasan dari pihaknya.

"Faham." Bahagian itu, Kinah juga ikut bersetuju. Baru faham kenapa Kak Mun beria benar. Dulu pernah juga kes seumpama terjadi dalam perkahwinannya. Suaminya diganggu orang ketiga. Mungkin itu yang membuatkan Kak Mun jadi terlebih sensitif juga agresif dalam masa yang sama.

.
.
.
.

Maaf, boring sikit. Update ni penuh dengan spekulasi liar je. Esok kita jumpa lagi. Nighty Nite guys!

Mister Rie punya Miss Stress ( ✔ )Where stories live. Discover now