18

2.6K 82 3
                                    


Tidur Mardiyah tak lena. Sekejap dia kalih ke kanan, sekejap kalih ke kiri. Qasaf dan Qistina masing-masing sudah ternganga diulit mimpi.

Dia bangun dari baringnya dan duduk sebentar. Wajah anak-anak dipandang. Dia tak tahu apa yang dia fikirkan. Dari mula dia ambil keputusan untuk berpisah dengan Kamal, dia tak pernah terbayang yang dia akan bertemu semula dengan Luth.

Mulanya dia yakin yang dia boleh hidup sendirian dengan anak-anak tanpa lelaki di sisi. Tapi ianya berubah bila dia dan Luth bertemu kembali. Dia masih mengharapkan lelaki itu. Walaupun lelaki itu sudahpun menjadi adik iparnya.

Separuh jiwanya marah! Separuh lagi penuh rasa bersalah dan kesal. Terkadang nak jadi malaikat, tapi kadang tumbuk tanduk jadi syaitan!

Apa akan jadi kalau Mareeya tahu kebenaran? Keadaan ini akan berubah ke? Mungkin. Mungkin kalau Mareeya tahu, dan mereka berpisah, Mardiyah ada peluang untuk kembali ke pangkuan Luth. Tapi bahagianya hanya pada Mardiyah. Belum tentu Mareeya akan ikhlas dan redha dengan bentuk keluarga mereka.

Mardiyah menggeleng. ‘Tapi hati aku sakit, Ya Allah!’

“Itu yang kau pilih dari dulu.” Bisik satu suara.
“Tapi aku tak sangka semua ni akan terjadi.” Mardiyah menitiskan air mata.

“Takkan terjadi kalau kau seorang isteri yang setia. Bukan hanya pada perlakuan, tapi pada hati, dan otak.”

“Aku ke yang salah?” Mardiyah lap air mata dengan belakang tangan.

“Habis tu? Kau nak salahkan siapa? Kamal yang mencintai kau sepenuh hati? Luth yang kau tinggalkan terluka? Atau Mareeya yang tak tahu apa-apa?”

Mardiyah terasa tekaknya berpasir.

“Kau yang cari luka ni, Mardiyah. Bukan orang lain.” Dan suara itu terus hilang.


TIDUR Mareeya lena. Sedang Luth pula tidak. Mimpi ngeri itu datang lagi untuk malam ini. Pada mulanya dia ingat nak baca buku aje. Tapi melihatkan wajah Mareeya di sebelah, niatnya terbatal. Wajah Mareeya ditatap tanpa jemu.

Dia tahu dia tak bertepuk sebelah tangan sekarang. Macam mana hati dia boleh berubah untuk gadis ini? Dia tak tahu. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Kepalanya automatik teringatkan adegan di hospital beberapa bulan lalu.

Jenuh Luth mencari, selepas 15 minit mencari, baru dia nampak kelibat Mareeya di kaki lima bersebelah dengan pintu besar sedang duduk bersila dan bersandar di dinding. Kawasan itu sedikit gelap dek lampu yang masih tidak dibetulkan.

“Mareeya!”

Mareeya memandang ke arah suara itu. Air matanya diseka laju.

Air mata yang mengalir di pipi gadis itu buatkan dia lemah. Saat itu dia rasa kasihan. Tapi sebenarnya itu bukan alasannya. Sebenar-benarnya, dia rasa ingin melindungi. Tak tahu kenapa. Sudah banyak orang yang dia jumpa. Pelbagai rupa, pelbagai perangai. Ada yang lebih cantik berganda-ganda daripada gadis ini. Tapi sekelumit pun dia tiada rasa.

Tapi kenapa Mareeya?

Dia rasa dekat, dia rasa selesa dengan Mareeya. Dia tak suka gadis itu dalam keadaan sebegitu. Siapa Mareeya?

Tiba-tiba tubuh Mareeya yang sedang tidur berkalih membelakangi Luth. Perlahan-lahan lelaki itu mengangkat sedikit kepala Mareeya dan menyelit lengannya supaya menjadi bantal untuk kepala si isteri. Tubuh Mareeya kembali berpaling mengiring menghadap Luth.

Bibir Luth mengukir senyuman nipis. Tubuh kecil itu dipeluk rapat. Ubun-ubun dikucup lembut sebelum dia turut sama melelapkan mata.

Mimpi hadir mengisi ruang minda.

Mareeya menangis tersedu-sedan dek luka dan lebam-lebam ditubuhnya. Siren ambulans dan kereta polis berdesing di telinga membuatkan dia bertambah takut dan tangisnya makin kuat.

“Sana! Sana!” arah seorang pegawai polis.

Beg plastik hitam dibawa turun dari lori polis. Satu tubuh yang terbaring di jalan sudah diangkat. Satu lagi masih di dalam kereta yang kemik. Sehingga pihak bertugas terpaksa memotong sebahagian kereta itu untuk mengeluarkan mangsa.

Mareeya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dia hanya mampu menangis memanggil ibunya. Saat dia dibawa naik ke dalam ambulans, tangannya dipegang seseorang.

“Abang ada kat sini.” Lelaki berusia lapan tahun itu memegang jemari Mareeya. Cuba untuk menenangkan gadis itu.

“Mama.. mama..” walaupun tangisnya sudah mula merendah, tapi air mata masih mengalir.

“Suka robot tak? Abang ada robot.” Senyum Luth.

Deja VuWhere stories live. Discover now