Bab 156-Misteri Senjata Lama

2.3K 34 0
                                    

 Suasana bising dan jeritan dari dalam rumah menarik perhatian Tuk Siak. Tanpa membuang masa Tuk Siak masuk ke ruang rumah. Dia terpegun melihat si baju hitam menyerang datuk bertalu-talu. Mata liar merenung ke kiri dan ke kanan. Dia mencari saya yang bersembunyi di balik pintu.

Saya memberanikan diri lalu keluar dari tempat persembunyian. Bagi menarik perhatian Tuk Siak, saya ketuk daun pintu dengan bukulima beberapa kali. Usaha saya itu berhasil. Tuk Siak segera memberikan isyarat dengan mengangkat tangan kanannya separas hidung, menyuruh saya meyembunyikan diri kembali. Saya patuh dengan permintaan nya itu.

Dari balik pintu saya lihat Tuk Siak bergegas meninggalkan ruang rumah. Datuk terus mempertahankan diri dari menjadi korban lembing. Si baju hitam tidak memberikan kesempatan untuk datuk berhenti bagi menghilangkan penat. Ternyata si baju hitam cukup handal.

Tumbukan datuk tidak memberikan apa-apa kesan pada dirinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu memberhentikan pertarungan tersebut.

Saya menarik nafas, bila melihat Tuk Siak muncul kembali di ruang rumah. Kali ini dia ditemani oleh Haji Bagus.

"Kenapa jadi begini?" Suara Haji Bagus meninggi tetapi, tidak dipedulikan oleh datuk dan si baju hitam. Mereka terus berjuang. Melihat keadaan datuk yang kepenatan itu, Haji Bagus dan Tuk Siak segera mengatur langkah untuk membantu datuk. Mereka rapat ke arah si baju hitam dan cuba memberkasnya. Sayangnya hasrat mereka tidak direstui oleh datuk.

"Jangan Abang Aji, jangan Tuk Siak. Biar saya selesaikan sendiri."

"Tapi, budak yang kamu lawan tu, lain macam aje nampaknya. Perkara macam ni tak boleh main-main. Ini merbahaya, dia macam kena rasuk hantu," jawab Haji Bagus yang sudah dua tiga kali cuba merampas lembing dari tangan si baju hitam.

"Tak apa, biar saya selesaikan," balas datuk tenang. Tuk Siak hanya mengigit jari. Dia jadi bingung bila berdepan dengan perkara seperti ini. Mahu ditolong, tak boleh. Mahu dibiarkan takut ada nyawa melayang.

Si baju hitam terus menyerang tanpa mengenal rasa penat. Kekuatannya bagaikan tenaga seekor singa. Setelah puas mengelak dan bertahan, datuk segera menukar taktik. Kali ini datuk menyerang si baju hitam bertalu-talu. Mereka terus bertarung bagaikan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Si baju hitam cukup tangkas, setelah hampir satu jam bertarung, datuk mula keletihan. Tetapi, si baju hitam masih bertenaga.

"Andi Kamarool," pekik datuk sekuat hati sambil menghentakkan tumit kaki kiri atas lantai. Si baju itam menoleh ke kanan, pada masa itu datuk datang menerkam dari arah kiri. Bahu kanan si baju hitam ditumbuk dengan sekuat hati. Lembing di tangan terlucut dan si baju hitam tersungkur di lantai. Datuk segera menanti dan bersedia melepaskan buah silat, jika si baqju hitam bangun untuk melakukan serangan kepadanya.

KILAT

Saya kira pertarungan berakhir, bila si baju hitam tersungkur, pada kenyataannya tidak demikian, lembing yang terjatuh atas lantai terus tegak berdiri, melompat-lompat. Kemudian berpusing-pusing dan terus berada di awang-awangan.

Ulunya seperti ada tangan ghaib yang memegangnya. Mata lembing terus bergerak mencari sasaran. Dan kaki Haji Bagus menjadi pilihan. Bagaikan kilat mata lembing itu menghala ke arah Haji Bagus. Cepat-cepat Haji Bagus merebahkan badannya ke atas lanai. Mata lembing terpacak di tiang seri dan tercabut dengan sendiri.

Mata lembing yang berada di awang-awangan itu terus mencari sasaran. Tuk Siak jadi pilihan. Orang tua itu berjaya mengelak dengan berselindung di belakang daun pintu. Daunpintu tembus, nasib baik Tuk Siak merendahkan badan, kalau dia berlindung sambil berdiri sudah pasti tempurung kepalanya ditembusi lembing. Otaknya akan bersemburan dan melekat pada papan pintu.

Keadaan benar-benar gawat. Penduduk kampung tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumah pusaka. Haji Bagus terus meniarap, tidak berani bangun. Tuk Siak diam di tempat persembunyian. Hanay datuk sahaja yang berdiri di tengah ruang rumah lama itu.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now