Bab 158-Bertangankan Kaki Harimau

1.6K 31 2
                                    

"Aku tahu dari mana darah itu datang, Tamar."

"Dari mana Andy,"

"Darah kelawar atas kepala kita tadi."

"Pelik sungguh," keluh saya sambil menarik dan melepaskan nafas. Suara kelawar luar biasa dan suara lolongan anjing terus bergema. Hari kian gelap.

"Sebenarnya Tamar, yang jatuh ke pipi kamu bukannya darah tetapi tahi kelawar."

"Tahi kelawar?" Saya terkejut.

"Iya, yang keluar tu berak darah, biasanya kelawar yang berak darah atau kencing darah menghisap darah manusia atau binatang. Kelawar jenis ini selalunya di pelihara oleh manusia yang mengamalkan ilmu hitam. Mereka melepaskan kelawar peliharaan mereka untuk membunuh atau menghisap darah musuh mereka. Kadang-kadang untuk tujuan balas dendam dan ada juga yang mengambil upah untuk membunuh orang," kata-kata yang di ucapkan oleh si baju hitam membuat badan saya mengigil.

"Apakah kita berdua akan menjadi korban kelawar luar biasa ini, Andy."

"Iya, kalau kita tidak berjaya melarikan diri dari sini. Lagi pun kelawar ganjil menghisap darah bila bulan mengambang, bila sudah kenyang dia balik ke sarangnya di gua mengikut arahan tuannya," si baju hitam berhenti bercakap. Saya cemas dan terus duduk di tanah sambil menyandarkan belakang ke pangkal pokok petai. Si baju hitam masih berdiri merenung ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia dongakkan kepala melihat ke pucuk pokok petai.

Suasana terasa seram seiring dengan warna alam sekitar yang kian beransur gelap. Nyamuk mula berterbangan. Suara kelawar makin rancak dan lolongan anjing yang memanjang kian menjadi-jadi. Dahi saya tiba-tiba berpeluh, rasa cemas tetap menguasai hati.

Bersama-sama dengan desiran angin saya seakan-akan terdengar suara orang perempuan mengilai, ketawa dan menangis. Nada suara tersebut mengikut kelajuan angin yang bergerak. Kalau angin bergerak laju, suara orang tertawa menjadi kuat. Kalau angin bergerak perlahan, suara-suara orang ketawa mengilai terdengar seperti orang berbisik.

Saya tidak tahu, apakah si baju hitam mengalami seperti apa yang saya rasakan. Berdasarkan dari gerak-gerinya mungkin dia tidak mendengar semuanya itu. Dia masih macam tadi, mengawal keadaan sekitar, bersedia untk melakukan sesuatu.Ada masanya dia genggam penumbuk dan terus menumbuk angin dengan wajah yang membayangkan kemarahan. Dahinya tetap berpeluh.

TAMPAR

Sial, kemana pula dia menghilang, kalau benar-benar handal tunjukkan diri, jangan main-main sembunyi. Saya merungut dalam hati dan suara batin saya itu bagaikan menerima jawapan. Pipi kiri saya ditampar berkali-kali dengan kuat. Sepatutnya saya merasa sakit dan pedih sebaliknya pipi saya terasa sejuk macam disentuh jari mayat. Semuanya ini membuat saya bertambah gementar.

Bagaimana tidak gementar? Baru terniat dalam hati sudah menerima risiko yang tidak dapat dikesan atau dilihat dengan mata kasar. Si baju hitam masih juga seperti tadi, renung sana, renung sini. Saya kira dia memang mengharapkan kedatangan datuk secara tiba-tiba. Mana mungkin datuk datang, kalau tidak diberitahu masalah yang sedang dilalui.

"Kemana dia dah pergi Andy?"

Si baju hitam menarik nafas sambil mendongakkan mukanya ke langit. Dia melihat awan yang berarak sambil memasang telinga mengamati arah angin datang dan pergi. Si baju hitam mengangakan mulut dengan seluas-luasnya. Hujung lidahnya menolak lelangit. Kelingking kirinya menjolok lubang telinga kanan.

Rupa-rupanya si baju hitam mahu memenafaatkan lmu yang baru setampuk pinang untuk melawan gurunya. Mana mungkin murid boleh merebahkan guru di gelanggang. Itulah yang terjadi, si baju hitam tiba-tiba terjerit terlolong, tidak tentu arah, dari lubang hidungnya memancut darah. Dia jatuh mengelepar di bumi macam ayam kena sembelih. Samaada mahu atau tidak, saya terpaksa bertindak menyelamat kan baju hitam. Kalau dibiarkan, keadaan akan bertambah runcing dan saya akan berdepan dengan masalah yang lebih besar lagi.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon