Bab 165-Dikejar Mahluk Aneh

1.5K 31 0
                                    

Dalam keadaan yang gawat itu, apa yang saya lakukan semua tidak kena. Kematian dirasakan terlalu hampir.

Hujan terus turun dan badan terus mengigil. Semuanya menakutkan dan mencemaskan. Saya tidak mahu memikirkan tentang mahaguru dan anak buahnya. Hidup atau mati itu urusan mereka.

Sebaiknya dalam keadaan yang haru-biru itu, dimanfaatkan untuk membebaskan diri dari cengkaman mahaguru dan orang-orangnya. Itulah yang bergelodak dalam batin saya.

"Aku mesti gunakan peluang ini ," ulang saya berkali-kali. Tanpa berfikir panjang, saya buat keputusan nekad untuk merempuh pagar buluh kuning dalam hujan dan cahaya petir yang sabung menyabung untuk menyelamatkan diri.

Sambil berlari saya mula terfikir bahawa ilmu yang dimiliki mahaguru tidak dapat menahan kekuatan kuasa Allah. Sekali hujan turun, sekali petir berbunyi, mahaguru sudah menjadi kelam kabut.

Disaat saya merempuh pagar buluh kuning tadi, memang terasa seperti ada sesuatu yang memburu saya dari belakang. Memukul bahagian leher saya dengan bulu kabung (Enau). Tidak memadai dengan itu, saya dihujani dengan reranting kayu dari kiri dan kanan. Semuanya tidak saya hiraukan.

Tidak dapat saya pastikan, apakah yang mengejar saya itu manusia atau makhluk lain. Maklumlah berlari dalam gelap tetapi, mulut saya tidak berhenti-henti membaca surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa apa yang saya rencanakan secara mendadak pasti berhasil. Saya tidak mahu jadi hamba ilmu yang bertentangan dengan akidah Islam.

Kerana itu saya berlari dan terus berlari hingga bunyi telapak kaki makhluk aneh hilang entah kemana.

Walaupun tidak dikejar, larian yang dibuat tidak juga surut malah jauh dari berhenti. Surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas terus meniti dibibir tanpa mengenal noktah.

Mungkin terlalu banyak tenaga yang dikerah, membuatkan larian tidak sekencang tadi. Saya mula rasa penat dan tercungap-cungap. Langkah saya mula terhoyong –hayang, seluruh sendi terasa sakit-sakit. Tetapi perjalanan tetap diteruskan, walau pun terpaksa merangkak di bumi.

Begitulah bergerak dalam gelap tanpa matlamat memang sukar. Entah bagaimana saya bagaikan tersentak, bila terlihat sekumpulan kelip-kelip itu hilang entah kemana. Bila langkah dimulakan kumpulan kelip-kelip itu muncul kembali. Sukar untuk dipastikan dari mana kumpulan kelip-kelip itu muncul.

LALUI

Apa yang menguntungkan saya, cahaya dari kelip-kelip itu menerangi sekitar kawasan yang saya lalui. Secara tidak langsung kumpulan kelip-kelip itu jadi penyuluh jalan dan hati saya bagaikan diarah-arah untuk mengikuti ke arah mana kumpulan kelip-kelip itu pergi. Dan perjalanan seterusnya amat menyenangkan kerana berpelitakan dari cahaya kumpulan kelip-kelip yang tidak diundang.

Disaat asyik melangkah, hidung saya terbau bunga melati yang cukup harum. Serentak dengan itu terdengar sayup-sayup kokok ayam. Ertinya saya berada tidak jauh dari kawasan perkampungan. Kumpulan kelip-kelip yang jadi penyuluh jalan mula berkurangan dan berpecah dua. Separuh menuju ke sebelah kanan dan yang separuh lagi masih jadi penyuluh jalan. Kokok ayam makin jelas kedengaran dan terasa dekat sekali.

Saya dongakkan kepala melihat langit yang bersih. Sesungguhnya saya tidak dapat memastikan ketika mana hujan berhenti. Melihat keadaan awan, langit dan bintang, saya yakin waktu subuh kian hampir. Kokok ayam mula jarang kedengaran, tidak serancak tadi.

Dalam suasana hening dan damai menjelang subuh, langkah tetap diteruskan. Desiran angin yang lembut menyentuh dedaun dapat didengar dengan jelas. Saya mengigit bibir bila mendapati kumpulan kelip-kelip yang sedikit terus ghaib. Saya jadi panik, saya hilang pedoman.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now