Bab 167-Wanita Dirumah Batu

2K 41 3
                                    

Semua biji mata tertumpu ke arah kotak yang berada di kedua belah telapak tangan Koyan. Dari gerak mata dan air muka datuk, ternyata dia cukup berminat dengan kotak-kotak tersebut.

"Semuanya untuk Haji Bagus," soal datuk.

"Tidak," balas Koyan.

Dia renung ke kiri dan ke kanan, macam ada sesuatu yang diawasinya. Bila dia yakin semuanya dalam keadaan baik dan aman, barulah dia merenung muka Tuk Aji dengan renungan yang tajam.

"Bungkusan yang dibuat dengan kain hijau untuk Haji Bagus sendiri. Dan yang dibalut dengan kain merah untuk kawannya dari Tanah Melayu."

"Yang dibalut dengan kain putih untuk siapa?" Tanya Andi Kamarool.

"Ha, yang itu untuk cucu orang dari Tanah Melayu. Kepada siapa barang-barang ini nak saya serahkan."

"Berikan kepada saya," datuk segera menghulurkan tangan untuk mengambil barang yang dimaksudkan. Dan Koyan dengan wajah yang tenang bersedia mahu menyerahkan barang-barang tersebut.

"Jangan."

Tuk Aji menjerit dan terus melompat dan menolak tubuh datuk ke kiri. Dan dia segera mengambil tempat datuk berdiri tadi. Sudah pasti, perbuatan Tuk Aji itu menimbulkan persoalan dalam kepala datuk. Rasa kurang senang terpamer diwajahnya tetapi, Tuk Aji tetap bersikap seperti biasa. Dua tiga kali datuk gosok hujung dagu dengan ibu jari kiri. Dia cuba mengawal perasaan dan datuk menyedari perbuatan Tuk Aji itu mempunyai muslihat tertentu, datuk tidak ambil hati.

"Kenapa awak tolak dia, biarlah dia ambil barang-barang itu dari saya," Koyan jegilkan sepasang biji mata ke arah muka Tuk Aji. Saya lihat Tuk Aji tersenyum.

"Saya tua darinya, eloklah saya ambil."

"Hummm ...," keluh Koyan dan wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut. Gerak anak matanya seolah-olah menyimpan keraguan terhadap Tuk Aji.

"Bukan kerana sesuatu muslihat?"

"Tidak," jawap Tuk Aji.

"Kalau begitu, nah ambil," Koyan segera menghulurkan bungkusan tersebut kepada Tuk Aji. Tuk Aji seperti keberatan mahu menerimanya. Lagi sekali datuk merasa terkejut oleh perbuatan Tuk Aji itu. Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Hati kecil saya turut merasa hairan dengan sikap Tuk Aji itu.

"Begini, awak letak saja bungkusan itu di tepi masjid. Lagi pun awak dah terangkan nama pemiliknya mengikut warna," dalih Tuk Aji.

"Awak lidah bercabang," rungut Koyan.

"Maafkan saya, kalau awak tersinggung."

"Hiss..., terkeluar dari mulut Koyan.

HILANG

Mungkin Koyan tidak mahu perkara itu berlarutan, meskipun hatinya sakit, dia segera menuju ke tepi sebelah ruang makan. Di situ bersedia sebuah rak untuk meletakkan sepatu para jemaah.

"Boleh saya letakkan di sini saja." Koyan renung Tuk Aji.

"Boleh." Datuk pula menjawap.

"Jangan lupa, beritahu pada Haji Bagus perkara yang saya sebutkan kepada awak tadi."

"Iya, kami faham," angguk Tuk Aji.

"Baguslah, kalau dah faham. Tapi, saya harapkan awak jangan amallkan cakap berdolak dalik. Perbuatan macam itu tak bagus. Boleh hilang sahabat," Koyan senyum sambil anak matanya tertumbuk ke wajah Tuk Aji.

Satu sindiran yang cukup tajam. Peliknya, Tuk Aji masih boleh mempamerkan senyum.

"Selamat jalan Koyan," kata datuk.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now