Bab 166-Lelaki Dari Kerinci

1.6K 29 0
                                    

Apa yang didengar dan dilihat, ternyata menghadiahkan kegembiraannya yang tiada taranya. Dan saya buat tidak kisah dengan tingkah laku anak buah Haji Bagus. Biarlah mereka bersiul atau menyanyi semahu-mahunya. Apa yang dapat saya kesan di sebalik semuanya itu, mereka berusaha memperlahankan langkah agar jarak mereka dengan Haji Bagus kian jauh.

Saya tidak tahu, apakah tindak tanduk mereka itu dapat dikesan oleh Haji Bagus. Tidak wajar saya ambil tahu. Saya terus melangkah dengan mengambil kira keselamatan diri, terpaksa berpaut pada batang-batang pokok kecil.

Kami kini sedang menuruni kawasan berbukit menuju ke tanah pamah. Silap langkah atau tersilap paut, badan bergolek di bumi dan berhenti bergolek bila sampai di kaki bukit. Kerana itu harus melangkah dengan hati-hati dan teliti. Dua tiga kali saya dikejutkan oleh mengkarung liar yang berlari di bawah dedaun kering. Nyamuk terus mengelilingi cuping telinga, bunyinya menganggu perjalanan.

Begitulah, sesudah peluh membasahi sekujur tubuh, akhirnya kami berhadapan dengan jalan berpasir selebar tiga kaki. Ada kesan tayar basikal dan motosikal di samping tapak kaki manusia dan binatang ternakan.

Panas makin terik, angin yang bertiup lembut sudah lama berhenti tetapi, unggas terus berbunyi. Saya mula terasa penat dan mahu berhenti. Malangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana Haji Bagus tidak mengizinkan perjalanan diberhentikan tanpa kebenaran darinya.

Setelah hampir dua rantai memijak jalan berpasir, tanpa disangka-sangka Haji Bagus berhenti melangkah.

"Kita sekarang ada di hujung kampung. Kita dah sampai," Haji Bagus bersuara lalu duduk bertengek di akar pokok tepi jalan berpasir. Saya masih berdiri dan tidak dapat membuat keputusan samada terus berdiri atau duduk.

"Kenapa duduk?" Tanya Tuk Siak yang terlewat beberapa minit

"Nak tunggu budak-budak," sahut Haji Bagus.

Tuk Siak anggukkan kepala dan terus duduk di sisi Haji Bagus. Dan tanpa rasa malu saya terus duduk atas rumput tepi jalan.

Lebih kurang lima minit kemudian anak buah Haji Bagus pun sampai. Mereka berkumpul lalu mengelilingi kami (Haji Bagus, Tuk Siak dan saya). Semuanya bermandi peluh tetapi masih mempamirkan wajah keriangan dan senyuman.

"Kamu tahu, kita ni dah berada di hujung kampung,"

"Iya, kami tahu Pak Aji."

"Jadi aku nak tanya kamu semua, kamu nak ke masjid atau nak terus balik ke rumah masing-masing," suara Haji Bagus bernada lembut yang diakhiri dengan senyum.

"Begini saja Pak Aji, kami ikut ke masjid dulu. Kemudian baru balik ke rumah masing-masing," jawap lelaki bermisai yang menjadi jurucakap kawan-kawan.

"Aku setuju dengan cara kamu tu, kita ke masjid dulu dan baca doa kesyukuran kerana kerja kita berhasil," celah Tuk Siak yang disambut dengan tepukan gemuruh.

GARANG

Perjalanan yang terhenti diteruskan. Selesai saja melalui jalan berpasir, kumpulan kami terus membelah jalan tanah merah yang terbentang di tengah kampung dan akhirnya melintasi kawasan perumahan. Matahari terus bersinar garang. Kerana angin mula bertiup yang sekaligus berjaya menyingkirkan rasa panas di tubuh kami.

Kanak-kanak yang bermain gasing dan galah panjang di halaman rumah segera berhenti bermain. Seluruh perhatian mereka tertumpu ke arah kami yang bergerak bagaikan ombak. Manakala suri rumah menjengukkan muka di tingkap dan di muka pintu. Beberapa orang lelaki setengah baya bergegas turun dari rumah lalu bersatu dengan rombongan kami menuju ke masjid.

Saya tidak tahu, apakah kehilangan saya selama lebih 14 jam itu menjadi berita yang menggemparkan seluruh kampung tersebut? Pasti kehilangan saya menjadi buah mulut penghuni kampung. Buktinya, semua insan di dalam kampung melemparkan pandangan ke arah saya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now