Bab 159-Terpenjara Diruang Mayat

1.6K 28 0
                                    

Dalam rasa cemas yang tidak bertepi itu, saya hanya mampu melihat si jubah kuning mundar mandir di depan sesuka hati. Adakalanya dia membongkok dengan kedua belah tangannya menjamah bumi. Pergerakan ke depan dan ke belakang macam orang merangkak. Bila penat dia terus berdiri lalu melepaskan nafas. Bunyinya macam nafas kerbau jantan melihat punggung kerbau betina.

"Sekarang," pekiknya sekuat hati. Aneh dia tidak menyambung kata-kata tersebut. Si jubah kuning renung kiri, renung kanan dan terus memetik ibu jarinya tiga kali berturut. Tidak lama kemudian saya terdengar suara harimau jantan menguap yang jumlahnya lebih dari lima ekor.

"Kenapa tak sambung cakap," tanya saya pura-pura berani. Si jubah kuning terus ketawa dan melompat di paras ketinggian lebih dari lima kaki. Bila dia selesai melakukan semuanya itu, suasana kembali sunyi dan sepi. Saya ambil kesempatan dongakkan kepala untuk melihat bintang di langit.

"Sekarang aku mahu menunaikan hajat kamu," suara si jubah kuning terdengar amat lemah sekali. Macam tadi juga, dia tidak meneruskan kata-katanya. Cuma yang kedengaran bunyi nafasnya yang tercungap-cungap, seolah-olah macam memikul benda yang amat berat sekali.

"Kamu boleh tengok," sambungnya, "dengan sepuas-puasnya apa yang ada pada aku, tumpukan mata hati dan pancaindera kamu pada tubuh aku. Jika ada perkara lain yang kamu fikirkan dalam otak kamu, buruk padahnya. Kamu akan binasa, " suaranya parau dan garang. Dia terus bergerak di depan saya, macam harimau jantan yang lapar. Dia berhenti, betul-betul di depan saya. Matanya renung muka saya yang pucat.

"Hummmm..., " dia mendengus sambil telapak tangan kanannya memukul muka bumi. Sepasang biji mata saya tidak berganjak dari menikam sekujur tubuhnya.

"Renung dan kamu jangan terkejut, jangan menjerit," si jubah kuning mengingatkan saya.

"Iyaa..." sahut saya seraya anggukkan kepala.

Dengan perlahan-lahan dia membuka jubah kuning, jubah kuning yang terpisah ari tubuhnya itu dihumban ke sebelah kanan saya. Bau jubah itu. Macam bau bangkai anjing yang sudah pecah perut. Bau busuk itu terpaksa saya hidu.

Lagi sekali saya mengalami kejutan, saya kira setelah jubah kuningnya dibuka saya dapat melihat kulit tubuhnya. Harapan saya tidak menjadi kenyataan. Tubuhnya masih dibalut dengan kain putih dari kaki hingga ke paras leher. Tidak ubah seperti tubuh yang dibalut dengan kain kafan. Kepala dan mukanya masih diselubungi dengan kain hitam tebal.

"Jangan cemas tau," dia mengingatkan saya lagi.

"Tidak," jawap saya dalam hati.

"Bagus," dia terus anggukkan kepala.

Si jubah kuning mula memusingkan tubuhnya yang berbalut dengan kain putih. Mula mula perlahan-lahan kemudian terus ligat. Saya jadi pening melihatnya dan dari arah kiri kanan terdengar suara harimau menderam. Saya terus pejamkan mata.

Bila saya bukakan mata, orang itu sudah berhenti dari berpusing. Malah suara harimau menderam juga turut hilang.

"Gggggg..... Hmmmmmmmm..., " bergema suara itu dari mulut orang di depan saya. Serentak dengan itu cebisan kain putih (yang membalut tubuhnya) jatuh satu persatu, tidak ubah macam gugurnya kelopak jantung pisang dari induknya. Bila semua kain putih itu tanggal atau lekang dari tubuhnya, saya tergamam tidak terkata. Keadaan dirinya (tubuh) berubah rupa bentuk. Sungguh ganjil dan menakutkan.

Tubuhnya terbahagi dua. Tubuh sebelah kiri, bermula dari kaki hinga ke paras bahu berkeadaan seperti rangka. Tulang-temulang yang bersambung dengan setiap sendi di tubuh jelas kelihatan. Bercahaya seperti kelip-kelip. Dari paras tengkuk ke atas (bahagian kepala) tidak dapat dipastikan keadaannya kerana masih diselubungi kain hitam.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Место, где живут истории. Откройте их для себя