Bab 157-Wanita Bermata Syaitan

1.8K 29 0
                                    

"Perkara yang nak saya sebutkan tadi, ialah tentang perangai orang kita yang suka mendampingkan senjata dengan benda-benda ghaib atau benda halus. Perbuatan begini banyak buruk dari baiknya," nada suara datuk amat perlahan. Dia nampak begitu cemas sekali, macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedang memerhatikan gerak-geri datuk.

"Bila tuan punya senjata itu mati, benda halus meresap atau terus sebati dengan senjata tu. Tidak menganggu orang lain , hanya berbunyi sendiri atau bersuara seperti suara tuannya. Hal ini berlaku dalam waktu tertentu. Tetapi...." Kami yang mendengar penerangannya terpinga-pinga kerana secara mendadak datuk berhenti bercakap.

Rasa terpinga-pinga itu berlalu begitu saja bila datuk menyambung kembali kata-kata yang terhenti itu. "Tetapi bila ada orang cuba memulihkannya dengan kemenyan putih, membasuh mata senjata dengan air limau, melumurkan bahagian hujung senjata dengan darah gagak waktu senja, benda-benda halus akan memperlihatkan dirinya dan bersedia bertuankan kepada orang ang membuat pengasapan atau melanggir senjata tersebut. Kalau tak diusik, dibiarkan tertinggal senjata itu reput dan makhluk yang menunggunya terus meninggalkannya, lebih-lebih lagi kalau ada penduduk yang membaca yasin," terbayangkan kepuasan yang amat sangat di wajah datuk, bila dia mengakhiri ceritanya.

Apa yang diutarakan oleh datuk diakui kebenarannya oleh Tuk Siak. Hal yang sama juga pernah dinyatakan oleh ayahnya. Sesungguhnya, serba sedikit Tuk Siak juga tahu tentang senjata yang didampingi oleh makhluk halus kerana ayahnya juga tukang buat senjata yang handal di kampung itu.

"Peliknya, kenapa lembing tadi boleh jadi begitu, macam ada penunggunya. Kalau mahu dikira penunggunya sudah tak ada lagi," keluh Tuk Siak.

"Saya juga berfikir macam tu, " sahut datuk.

"Barangkali ada sesuatu yang tak kena. Boleh jadi juga ada orang yang menghantar makhluk halus menusup ke dalam semangat besi untuk merosakkan orang yang memegang lembing itu," sahut Haji Bagus

Datuk hanya tersenyum sebaik saja Haji Bagus selesai meluahkan pandangannya. Datuk tidak mahu memberikan sebarang komentar. Begitu juga dengan Tuk Siak yang saya kira bagaikan harimau sembunyi kuku. Banyak perkara yang dia tahu tetapi, dia pura-pura tidak tahu.

"Lupakan saja perkara tu," tiba-tiba Tuk Siak bersuara.

"Aku juga fikir begitu, teruskan kerja-kerja kamu nak membersihkan rumah ini. Bila semuanya dah dibersihkan , malam ini kamu bertiga bolehlah tidur disini . Satu perkara yang mesti kamu ingat?"

"Apa dia Abang Aji," potong datuk.

"Makan tengah hari dan malam, di rumah aku. Esok kalau kamu nak masak sendiri atau nak makan di rumah aku, terserah kepada kamu bertiga."

"Kalau begitu, tengah hari dan malam kami makan di rumah Abang Aji. Esok kami masak sendiri," sahut datuk.

"Tak apalah, biar aku balik dulu." Haji Bagus pun melangkah ke pintu. Tuk Siak menurut dari belakang. Sampai di ambang pintu Tuk Siak berhenti melangkah. Dia merenung ke arah datuk.

"Aku fikir kamu boleh menyelesaikan segala masalah yang datang," itu yang Tuk Siak tuturkan kepada datuk.

"Dengan izin Allah, dapatlah saya selesaikan," sahut datuk. Tuk Siak dan Haji Bagus terus memijak mata tangga.

ALMARI

Datuk, saya dan si baju hitam meneruskan kerja-kerja yang tergendala. Kali ini kami tidak berminat untuk menjenguk bilik senjata lama. Masing-masing menjauhkan diri dari mendekati bilik tersebut. Kerana sudah dibuat keputusan untuk menginap di rumah lama, sudah tentu bilik tidur kami berikan perhatian yang lebih.

Terdapat sebuah bilik tidur lama yang tersedia dengan katil besi dan almari. Saya memutuskan untuk tidur dibilik itu dengan si baju hitam. Datuk sudah memutuskan untuk tidur di ruang tengah.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now