Bab 161-Baldi Berdarah

1.6K 29 0
                                    

Suasana yang bungkam itu, membuat otak saya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Saya juga membayangkan bagaimana datuk dan kawan-kawannya berusaha dengan susah payah mengesan jejak saya yang hilang. Tergambar, bagaimana cemasnya wajah Andy Kamarool mencerita pengalaman pahitnya melepaskan diri dari sarang manusia yang digelar mahaguru itu.

Saya kira, sambil bercerita Andy menangis dan meratap di depan datuk kerana dia gagal menyelamatkan saya dari perangkap manusia yang berpenghulukan SYAITAN. Saya terus mengelamun dan mengelamun.

"Huh..."

Saya segera menoleh ke arah suara yang muncul dari sebelah kiri. Perempuan suruhan sedang membawa baldi hijau dalam keadaan termengah-mengah. Dia melintasi di depan saya dan akhirnya berhenti berdiri di depan mahaguru. Baldi hijau masih dibimbitnya.

"Letakkan baldi hijau tu di situ."

Perempuan suruhan segera akur dengan perintah mahaguru. Tiga manusia yang mahu ditauliahkan masih berdiri kaku. Orang kanan mahaguru, tidak berkata apa-apa, Cuma biji matanya saja bergerak mengikut gerak-geri perempuan suruhan.

Dari gerak matanya terungkap rasa cemburu yang amat sangat terhadap perempuan suruhan. Barangkali hatinya jadi baran kerana mahaguru terlalu banyak mengeluarkan perintah untuk perempuan suruhan dan dalam masa yang sama cuba main genyit mata dengan perempuan suruhan yang bentuk tubuhnya lebih menarik dari bentuk tubuh orang kanan mahaguru sendiri.

"Suruh dia orang minum darah, lumurkan muka dan tangan dengan darah." Datang lagi arahan dari mahaguru.

"Baik."

"Letakkan baldi itu dekat dengan aku."

Perempuan suruhan melakukan apa yang diarahkan oleh mahaguru. Dengan langkah yang teratur, perempuan suruhan mendekati salah seorang lelaki yang bakal ditauliahkan itu.

Dua tiga kali bahu kiri dan kanan lelaki itu ditumbuk dengan sekuat hati. Tubuh lelaki itu tidak berganjak. Tempat sulit lelaki itu ditumbuk, lelaki itu tersenyum tidak merasai kesakitan. Perempuan suruhan itu terus menjerit dan melompat tinggi, kemudian dengan kaki kiri dia melepaskan tendangan yang amat kencang ke dada lelaki itu.

Saya terdengar bunyi suara lelaki itu mengerang menahan kesakitan. Tetapi lelaki itu tidak kelihatan membongkok atau rebah ke bumi. Cuma suara sahaja yang keluar menahan rasa sakit. Sebaliknya perempuan suruhan duduk di bumi meraba-raba buah betis kiri beberapa kali. Mungkin otot-otot dikakinya kejang.

Perempuan suruhan segera bangun, dia melakukan senaman. Barangkali untuk mengendurkan otot-otot yang kejang. Perempuan suruhan menarik nafas dalam-dalam dan terus merapati lelaki yang ditendangnya sebentar tadi.

"Kamu pergi dulu."

Dengan angkuh perempuan suruhan menjentik daun telinga kiri lelaki itu dengan jari telunjuknya. Biadap, tidak ada budi bahasa langsung, apa dia fikir dia memang handal dan gagah. Hati kecil saya memberi komentar, bila melihat telatahnya yang keterlaluan itu.

"Buat apa yang diingini oleh mahaguru, faham," lanjut perempuan sambil menjuihkan bibirnya bawahnya.

"Faham," sahut lelaki itu.

"Lepas dia kamu pula, mengerti," perempuan suruhan menujahkan jari telunjuknya ke batang hidung lelaki yang kedua. Darah saya jadi panas. Perempuan itu sudah keterlaluan. Dia menghina kaum sejenis saya. Dia memandang orang lelaki seperti sampah dan layak berada dibawah kakinya. Kamu memang perempuan jahananam. Batin saya terus bergelora.

"Saya faham," lelaki yang kedua bersuara.

DEKAT

Perempuan suruhan mendekati orang ketiga iaitu seorang perempuan. Tanpa berkata sepatah apa pun, perempuan suruhan melepaskan penumbuk kepada orang ketiga (perempuan) di bahagian perut. Ternyata orang ketiga tidak mengalami apa-apa. Dia tetap macam biasa.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now