Bab 164-Dendam Tok Guru

1.5K 30 0
                                    

Mungkin kerana mahu memburu masa atau tidak rela ditimpa kecelakaan memaksa orang kanan dan perempuan suruhan mencakar-cakar timbunan tanah di kiri kanan lubang.

Deraman tetap tenang mengkais-kaiskan longgokan tanah di bibir lubang dengan mengunakan cangkul. Maziah tidak ambil peduli apa yang berlaku sekelilingnya. Dia tekun dengan tugasnya membancuh simen.

Haaaa,,,!

Mulut saya terlopong. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam-celikan. Bibir di gigit dan nafas dilepaskan perlahan-lahan dan hati kecil bertanya, apakah aku kini berada di alam nyata atau di alam fantasi?

Akhirnya, saya sedar bahawa saya bukan berkhayal. Apa yang terjadi di depan mata adalah benar. Memang, jari jemari perempuan suruhan dan orang kanan luar biasa sekali. Ruas jari-jemari mereka panjang dan bentuknya macam ruas ranting buluh kuning, manakala kuku di jari bertukar menjadi seperti kuku beruang.

"Sudah cukup tu,"

Saya lihat mahaguru angkat tangan kanan. Dia sudah dapat merasakan bahawa lubang yang ditimbus sudah sama rata dengan paras bumi dia berdiri. Jari jemari dan kuku orang kanan serta perempuan suruhan kembali normal. Mereka berdiri sambil mengibas-ngibas telapak tangan ke kiri dan ke kanan membuang tanah yang lekat. Di wajah mereka terpamer kepuasan yang amat sangat lalu mereka berbalas senyum dengan mahaguru.

"Sekarang tugas kamu taruh simen sampai rata. Boleh kamu buat kerja yang senang ni?" Muka Maziah ditenung oleh mahaguru.

"Boleh tok guru."

"Bagus, bila kerja tu selesai, kita berkumpul di bawah pokok mempelam. Sekarang kami pergi dulu. Kami tunggu kamu di situ. Cepat buat kerja tu masa dah suntuk, awan hitam dah dekat nak sampai ke bulan," mahaguru dongakkan mukanya ke langit.

Mahaguru segera mengajak orang kanannya, perempuan suruhan dan Deraman ke tempat yang dimaksudkan. Mereka membiarkan Maziah terkial-kial di situ. Aneh sungguh, kenapa saya tidak dipelawa untuk ikut serta? Timbul pertanyaan dalam diri. Dan saya jadi cemas semacam.

Di tengah-tengah kedinginan malam itu, badan Maziah terus dibasahi peluh. Dia bekerja bagaikan orang gila. Dalam waktu yang cukup singkat permukaan tanah (permukaan lubang kubur) selesai diturap dengan simen. Maziah tersenyum puas. Maklumlah dapat menunaikan arahan mahaguru dengan sempurna.

BEREDAR

Sebelum beredar menuju ke arah kumpulan mahaguru di bawah pokok mempelam, Maziah terlebih dahulu menyapu peluh di dahi dan muka dengan kain hitam tiga segi yang dikeluarkan dari rusuk sebelah kiri.

Tanpa menoleh ke arah saya dia pun memulakan langkah menuju arah mahaguru dan kumpulannya. Saya makin resah ditinggalkan sendirian. Termangu macam orang bodoh. Apakah saya harus bertahan di situ. Wajarkah saya buat macam orang bodoh untuk ikut campur dalam kumpulan mahaguru?

Saya dongakkan kepala ke langit, bintang dan bulan masih ada. Gumpalan awan hitam terus bergerak. Bunyi deru angin terus menyumbat gegendang telinga. Badan terasa dingin sekali.

Suasana demikian membuat saya merasa mengantuk dan tersengguk-sengguk. Dari bawah pokok mempelam terdengar mahaguru memberi arahan kepada Deraman dan Maziah yang diselang seli dengan bacaan mantera yang bunyi hampir menyamai Bahasa Urdhu dan Jawa Kuno bercampur aduk dengan bahasa Sanskrit.

Begitulah antara tidur dan terjaga, saya terlihat simen diatas kubur Osman Garing merekah. Kelihatan semut-semut berwarna putih sebesar jari kelingking bermunculan dari rekahan simen itu. Di bahagian kepala dan kaki (kubur) keluar kabus nipis. Serentak dengan itu terdengar suara cengkerik cukup kuat. Boleh memekakkan telinga. Saya ketakutan.

"Allah hu Akbar...," saya menjerit sekuat hati.

Dan pada saat itu juga bahu kiri saya dipaut dari belakang dengan kasar sekali. Saya jatuh terlentang, bila cuba bangun kepala terasa pening dan saya rebah kembali. Dengan mata yang terbuka saya menatap bulan, bintang dan awan gemawan yang bergerak lemah di dada langit. Dada rasa seperti dihempap benda berat yang menyekat gerak tubuh saya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 12 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now