PROLOG

30.6K 1.1K 12
                                    

"Orang-orang melakukan kesalahan bukan kerana mereka jahil dan zalim. Kesalahan itu menunjukkan bahawa mereka adalah manusia biasa."

TERSENTAK. Kesedaran menggamit dirinya kini. Membangunkan dia daripada lamunan panjang yang entah sudah menebar ke mana. Ada keheningan menyelaputi jiwanya yang sudah kuyu ketika itu. Melihat pemandangan di hadapannya yang sudah bertahun-tahun dia tinggalkan.

Bukan. Tidak pernah terjentik pada nawaitu diri untuk meninggalkan rumah orang-orang yang dia sayangi itu. Kendatipun wajah mereka tidak pernah dia tatap dan renungi, ada rindu yang selalu bertaut. Setiap saat. Tidak terhitung seberapa besar rasa itu.

Lebih-lebih lagi ketika dia berada di dalam ruangan yang besi yang mengurung dia selama tiga tahun. Atas kesalahan yang dia sendiri mengakuinya. Lantas layakkah untuk dia mendapatkan sebuah kata maaf?

"Kenapa..?" Mulutnya terbungkam seketika. Bergetar dihempas pilu.

Lama dia mengamati semuanya. Ada penyesalan terbesar yang menghambat atmanya.

Tiga tahun lamanya dia berada di dalam penjara. Meninggalkan orang-orang yang dia sayang. Meninggalkan insan-insan yang telah menaruh harapan yang tinggi kepadanya. Sudah pentan mereka kecewa kepadanya. Lantaran ada kemungkinan bahawa, mereka benci kepadanya kini.

Dia adalah seorang bekas banduan. Dirinya pasti terlihat buruk di mata semua orang yang ada di kampungnya. Tempat dia tumbuh membesar.

"Babah..." Hanya itu yang terlepas daripada bibir keringnya.

Pada siapa dia akan bersandar setelah ini?

Dia seorang anak yatim piatu yang ditinggalkan sendirian di atas bumi Allah. Dia dibesarkan oleh sepasang suami isteri yang ternyata bukan orang tua kandungnya. Saat dia mengetahui semua itu, dia memilih untuk tinggal dengan Encik Yazid, datuknya. Lelaki tua yang dia gelar babah. Keputusannya tidak dibangkang. Mereka bersetuju. Asalkan dia bahagia.

Ketika beranjak ke alam remaja, dia sendiri ada ketertarikan terhadap seni mempertahankan diri. Atau lebih tepatnya, Muay Thai. Meskipun datuknya menentang keras. Sehinggalah dia tumbuh dewasa dengan rasa cinta terhadap pertarungan.

Antara nyawa dan harta. Dakar dan gentar.

Namun pertarungan terakhirnya membawa rasa sesal yang tidak berpenghujung. Dia berjaya memenangi pertandingan terakhir itu. Detik itu, dia tidak sengaja merenggut nyawa seorang lelaki yang sebaya dengannya di atas gelanggang.

Pada masa yang sama, dia didakwa atas pengambilan pil-pil terlarang. Tragedi yang mengheret dia ke rantai besi. Genap 27 tahun usianya, dia dilepaskan.

Arzen Bilal Khair tertunduk pilu. Setitik demi setitik, air matanya mengalir membasahi pipi mulusnya. Lama begitu, badannya tersengguk-sengguk. Di hadapan empat kuburan yang merenggut segala yang dia ada ketika itu. Cinta, kasih dan sayangnya dibawa pergi oleh mereka.

"Ini Khair, babah. Khair dah balik ni. Kenapa babah tinggalkan Khair?" ajunya seorang diri. Semakin terpuruk jiwanya dalam kesepian ketika kepulangannya disambut dengan pemandangan perit yang seperti tidak ingin dia tatap lagi.

Orang kampung kata, Encik Yazid meninggal akibat barah otak. Tiga bulan setelah dia dipenjarakan. Dia tidak sempat meluangkan waktunya bersama lelaki tua itu. Dia tidak sempat membalas semua jasanya. Dia selalu mengendahkan nasihat babah.

𝐊𝐇𝐀𝐈𝐑Where stories live. Discover now