BAB 1

15.9K 881 6
                                    

Beberapa tahun sebelumnya...

"LADIES and gentlemen! Here comes our incredible champion, the king of Muay Thai... Arzen Khair!"

Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam ruangan latihan itu, suara lantang Ebra Hael memecahkan keheningan. Sejenak, semua yang ada di tempat tersebut bersorak riang sehingga keadaan menjadi rutup. Itulah suasana yang sering dia saksikan apabila berhadapan dengan Ebra.

Khair menggeleng malas. Sudah lali dengan perilaku Ebra. Sehari tak menyakat, sehari itu juga hidupnya tidak tenang. Hinggakan itu menjadi hal rutin yang pasti akan dihadapi oleh Khair setiap saat. Penyudahnya, Khair akan memekakkan telinga. Pura-pura tidak meladeni Ebra. Kalau tidak, sampai ke sudah tak habis-habis dia kena.

Ebra Hael tergelak besar. Kemudian menumbuk bahu kanan Khair dengan kasar. Bukan main sakan dia buat badan Khair macam punching bag. Bertalu-talu tumbukan hinggap sebelum akhirnya Khair berdecit rimas.

"Kau tak ada kerja lain ke nak buat?" Khair melabuhkan punggung di atas kerusi kayu yang berhampiran. Merehatkan tubuhnya untuk seketika sebelum bersiap-siap untuk memulakan latihan.

"Ada. Aku tengah buat kerjalah ni. Tak nampak?" jawab Ebra selamba. Celotehnya itu hanya dibiarkan sepi tidak dibalas.

Ebra yang serempu diabaikan, terus mendekati Khair. Kembali menolak kasar bahu lelaki itu. Buatkan dengusan keras Khair terdengar.

"Kau nak apa?" Malas-malas dia menatap wajah toya Ebra.

"Aku dengar-dengar kau ada fight minggu depan. Lawan dengan petinju dari Indonesia," ujar Ebra. Mungkin, mahukan kepastian tentang khabar yang baru sahaja dia terima itu. Dia duduk berhadapan dengan Khair. Sebelum meneguk segelas air putih.

"Betullah tu." Hanya itu yang terlepas pada bibir Khair. Sebulan itu, dia sudah mula menjaga pemakanan. Hanya tersisa beberapa hari untuk dia melakukan latihan. Sebelum dia kembali ke atas gelanggang.

"Dia dah sampai Malaysia dua hari lalu. Dia latihan dekat sini. Kau tahu lawan kau tu siapa?" Ebra memandang serius. Seperti ada maksud lain yang tersirat daripada apa yang dia sampaikan.

"Alaska Mahendra. Petinju Indonesia," kata Khair sambil lewa.

"Nama tu aku tahulah. Tapi maksud aku, kau kenal siapa Mahendra tu? Juara dunia Muay Thai tiga kali berturut-turut, tahu!" Bersungguh-sungguh betul Ebra mengucapkan itu.

Arzen Bilal Khair tersengih. Kemudian tatapannya menghala lurus ke arah Ebra. Lama dia merenung lelaki itu sebelum mulutnya terbuka.

"Lepas tu, kau nak aku menggelupur?" ajunya tenang. Sekadar bersilengah.

"Aku takut tulang kau patah je bila lawan dia. Dia kuat," bidas Ebra. Buatkan hujung bibir Khair kembali terangkat. Cukup terhibur dengan respons Ebra.

"Aku nak tengok dia patahkan aku macam mana. Kaki ke tangan?" jawab Khair acuh tak acuh.

"Aku nasihatkan kau ni. Kalau tak mampu, jangan lawan," ujar Ebra. Seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan Khair.

"Dalam gelanggang, kita ada perasaan takut yang sama dengan pihak lawan. Kuat belum tentu jadi pemenang. Tapi rasa takut dah tentu buat kita kalah. Selagi kau tak nampak dia patahkan aku atas gelanggang tu, jangan harap aku nak undur diri." Khair bingkas. Cukup tersinggung sebenarnya dengan kata-kata Ebra.

𝐊𝐇𝐀𝐈𝐑Where stories live. Discover now