BAB 2

11.7K 814 6
                                    

SUASANA di sekitar gelanggang kian rutup. Terlalu riuh dek ramainya penonton yang datang pada malam itu. Suara jeritan bergema di sekeliling pentas, menunggu untuk pertandingan dibuka dengan segera. Ketika lampu dipadamkan, suasana bertukar hening. Hanya seketika cuma.

Cahaya lampu pada sudut kanan pentas mulai dihidupkan kembali. Buatkan suasana kembali riuh ketika kamera beralih memaparkan kelibat Arzen Bilal Khair. Perlahan-lahan, Khair berjalan ke hadapan pentas. Bersama wajah yang membiaskan ketangguhannya. Di tempat itu, siapa saja yang tidak mengenali dia? Petarung muda ternama.

Khair menghadap lurus ke depan. Ekor matanya beralih melihat kelibat seseorang pada sudut kiri pentas. Meskipun samar, namun lekuk tubuh sang musuh dapat dia lihat dari tempat dia berdiri. Seketika, pandangannya jatuh melihat seorang wanita yang berdiri betul-betul di bahagian depan gelanggang.

Wanita yang pernah dia temukan beberapa malam yang lalu. Wanita berambut pendek yang berdarah Indonesia. Lebih tepatnya, kekasih kepada Alaska Mahendra, seorang petarung handal Muay Thai. Rautnya terlihat gusar. Menggambarkan kerisauan dalam satu riak yang jelas terlihat resah.

Khair kembali menoleh memandang Mahendra ketika spot cahaya mulai beralih kepada lelaki tersebut. Tidak kalah ramai penonton yang bersorak ketika Mahendra berjalan menuju ke hadapan pentas.

Tepat pada ketika itu, mereka bersabung pandang. Tajam panahan mata Khair menikam raut wajah Mahendra. Raganya memikul teguh sebuah kemegahan. Akalnya tidak lagi memikirkan hal lain selain daripada mengagungkan sebuah kemenangan. Jiwanya terpaku pada tingginya sebuah keunggulan.

Sehingga jika Mahendra menjadi mayat di atas gelanggang itu, dia tidak peduli.

"Ladies and gentlemen, On the ring, there is a champion who has created an incredible history and given a glorious colour to the world of Muay Thai boxing...."

Waktu seakan-akan bertemu dengan stagnasi yang panjang ketika Khair terbayang akan sesuatu. Suara-suara yang ada di pentas itu tidak lagi dia dengari. Dia mendengar ada suara lain yang mengalihkan perhatiannya ketika itu. Menenggelamkan riuhnya keadaan.

'Sampai bila-bila aku takkan restu apa yang kau buat.'

'Itu bukan hobi yang sepatutnya anak muda macam kau dalami.'

'Kau menang sekalipun, aku tak akan bangga dengan kau.'

Khair terpana. Ketika menyedari bahawa dia kini sudah berada tepat di dalam gelanggang. Pertandingan sebentar lagi pasti akan bermula. Buatkan dia terngadah seorang diri.

"Are you ready?"

"Are you ready?"

Untuk kedua kalinya, Khair baru tersedar. Dia mengangguk pelan, sebelum mengambil posisi di sudut gelanggang. Bersama raut wajahnya yang sedikit goyah. Fikirannya semakin ramai. Semakin sesak. Hatinya dilanda badai, terus-menerus memikirkan pertengkaran antara dia dan Encik Yazid. Malam sebelum pertandingan itu.

Khair mendengus kasar. Dengan segumpal amarah dalam diri, raganya terpasak pada satu tekad. Membuktikan pada babahnya bahawa dia juga boleh memilih jalannya sendiri. Dia sudah dewasa. Bukan masanya untuk dia membuat keputusan atas saran atau nasihat-nasihat daripada orang lain. Dia boleh berdiri sendiri.

Ketika itu, pandangannya bertukar tajam. Memandang Mahendra bagaikan tidak ingin memberi nafas kemenangan sedikit pun untuk lelaki itu.

Perlawanan bermula. Masing-masing daripada mereka menyerang, mengelak dan bertarung menunjukkan ketangguhan. Demi sebuah kemenangan dan dengan tujuan yang berbeza.

𝐊𝐇𝐀𝐈𝐑Where stories live. Discover now