BAB 8

32 4 0
                                    

SESEKALI Afrina menolehkan kepalanya ke belakang memandang Nazrin yang berjalan sambil tersenyum-senyum sendirian. Afrina menggelengkan kepalanya. Gila agaknya mamat ni. Nazrin mengangkat wajahnya, cepat-cepat Afrina memalingkan kembali wajahnya memandang ke hadapan.

“Awak, kita berhenti kejap!” Jerit Nazrin. Afrina memandang ke belakang melihat Nazrin yang berjalan menuju ke sebatang pokok lalu dia mengikuti langkah lelaki itu.

Masing-masing meneguk minuman mereka dengan gelojoh. Cuaca benar-benar terik hari itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu seakan-akan tidak cukup untuk menghilangkan lelah dan kepanasan yang sedang mereka rasakan ketika ini. Peluh yang bercucuran keluar di dahi mereka segera dikesat dengan belakang tapak tangan.

“Awak ni sakit-sakit pun laju je kan jalan. Awak jangan paksa sangat, lambat baik kaki awak tu nanti.”

“Siapa yang buat kaki aku jadi macam ni?” ujar Afrina sambil menjeling ke arah Nazrin lalu dia meneguk minumannya lagi.

Nazrin tertunduk diam.

“Kau tahu tak dekat mana kita sekarang ni? Bagi aku perjalanan ni sesuatu yang sia-sia. Aku rasa kau takkan sampai ke pintu gerbang tu.” kata Afrina lagi

“Kita okey, kita… bukannya saya sorang je yang nak ke gerbang tu,” ujar Nazrin tegas. “Macam mana awak tahu apa yang kita buat ni sia-sia? Awak dah pernah lalui ke semuanya ni dulu?” soal Nazrin kembali.

Kali ini giliran Afrina pula membisu. Tiada sepatah ayat pun keluar dari mulutnya.

“Cakaplah, saya tanya ni,” kata Nazrin lagi namun Afrina tetap diam membisu.

“Kalau ya pun awak pernah gagal harungi semua ni dulu takkan awak nak mengalah. Cabaran akan sentiasa ada dalam kehidupan kita dan cabaran itulah yang menentukan siapa kita - manusia yang cekal atau manusia yang lemah,” tambah Nazrin lagi.

Afrina memalingkan wajahnya memandang Nazrin.

“Kau ni tak habis-habis kan nak berceramahlah, nak berfalsafahlah. Siapa kau ni dekat dunia nyata tu? Boleh pekak tau telinga aku ni asyik dengar kau membebel je. Malang betullah nasib aku jumpa orang macam kau ni. Aku pun bodoh jugak, setuju nak jalan dengan kau dulu buat apa,” ujar Afrina dengan nada geram.

Nazrin menelan liurnya. “Bukan macam tu, cuma saya cakap benda yang saya rasa betul je.”

“Kalau kau nak cakap benda-benda yang boleh buat orang rasa stress, menyakitkan hati orang, aku rasa lebih baik kau diam.”

*******

SEORANG doktor lelaki masuk ke dalam sebuah kamar lalu kakinya laju saja melangkah menuju ke arah pesakit yang masih tidak sedarkan diri. Fail yang berada di hadapan katil pesakit diambil lalu dia bergerak ke arah mesin yang terdapat di tepi katil pesakit.

Setiap bacaan yang dikeluarkan oleh mesin tersebut dicatatkan pada lembaran yang terdapat di dalam fail tersebut kemudian dia memeriksa keadaan tubuh pesakit pula. Setelah selesai merekodkan perkembangan terkini pesakit, fail tadi diletakkan di tempatnya semula lalu dia berjalan keluar.

Puan Hanani dan Encik Saiful yang menunggu di luar segera bangun lalu menerpa ke arah doktor tersebut untuk bertanyakan tentang anak mereka.

“Macam mana anak saya doktor?” soal Puan Hanani.

“Anak puan dalam keadaan stabil cuma anak puan masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk sedar. Sama-samalah kita berdoa agar anak puan akan segera sembuh,” jawab doktor itu.

“Doktor rasa bila anak saya akan sedar semula?”

“Tentang perkara tu saya minta maaf puan, saya tak dapat nak pastikan. Semuanya bergantung kepada kecekalan dan semangat anak puan. Saya yakin berkat iringan doa puan dan encik, anak puan akan kembali pulih semula tak lama lagi. Buat masa sekarang ni tiada apa lagi yang boleh saya buat. Saya harap puan banyak-banyakkanlah bersabar ya.”

Masing-masing menganggukkan kepala mereka mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut doktor itu tadi. Doktor itu kemudiannya meminta diri untuk melaksanakan tugasannya yang lain pula. Perlahan-lahan Puan Hanani dan Encik Saiful melangkah masuk ke dalam. Langkah mereka terus menuju ke katil anaknya.

Puan Hanani mendapatkan tempat di atas kerusi lalu dia memerhatikan wajah anaknya dengan penuh kasihan. Perlahan-lahan tangannya mencapai jemari Nazrin lalu digenggam erat. Bibirnya mengucup tangan anaknya itu sambil air matanya perlahan-lahan mengalir keluar.

*******

MEREKA berdua meneruskan perjalanan hari itu seawal subuh lagi. Kedinginan pagi itu benar-benar terasa. Masing-masing terpaksa mengenakan jaket mereka bagi mengelakkan kesejukkan. Besar berlainan keadaannya di padang pasir ini berbanding waktu siang ketika mentari terbit di ufuk timur sana.

Nazrin melihat peta yang berada di tangannya untuk memastikan arah laluan yang mereka lalui betul dan tidak tersasar. Dia melipat kembali peta tersebut lalu dimasukkan ke dalam begnya semula.

Perlahan-lahan matahari terbit di ufuk timur sana. Nazrin tersenyum melihat sinar jingga yang mulai menyuluh alam. Dia berdiri kaku hingga menyebabkan Afrina turut sama mematikan langkahnya.

Nazrin memejamkan matanya sambil tangannya didepakan. Afrina berkerut dahi. Dia terus saja memerhatikan kelakuan aneh lelaki itu. Nazrin menikmati hangat sinar mentari pagi itu sambil tersenyum hingga membuatkan Afrina merasakan sesuatu di lubuk hatinya ketika dia memandang wajah lelaki itu.

Afrina kemudiannya mencapai seketul batu bersaiz kecil lalu dibaling hingga mengenai kepala Nazrin. Terkejut Nazrin dibuatnya.

Cepat-cepat Nazrin membuka matanya sambil tangannya terus mengusap kepalanya yang berdenyut. Pandangannya dibawa menghadap ke wajah Afrina yang memandang tepat ke wajahnya. Nazrin tersengih-sengih memandang gadis itu.

“Sampai bila nak berangan?”

Nazrin hanya tersengih sambil mengusap kepalanya yang kesakitan.

Afrina menggelengkan kepalanya. Mereka berdua kembali meneruskan perjalanan mereka lagi. Perjalanan mereka yang sejauh itu akhirnya menemukan mereka pada sekumpulan manusia yang sedang bergerak dalam kumpulan yang besar.

Mereka berdua mempercepatkan langkah mereka lalu menyertai kumpulan tersebut. Mentari yang bersinar semakin galak memancarkan cahayanya. Masing-masing mula mencari tempat berteduh untuk berehat dan berlindung daripada bahang mentari.

Afrina duduk di atas batu lalu dia mengeluarkan botol air dari dalam begnya. Dia terus meneguk minumannya dengan rakus sehingga air minumannya tumpah membasahi bajunya.

“Jauh lagi ke?” soal Afrina tiba-tiba.
Nazrin menghalakan wajahnya menghadap gadis itu kemudian perlahan-lahan bibirnya tersenyum.

“Nak jugak kan awak berbual? Kalau tak sepatah yang saya tanya sepatah jugaklah yang awak jawab.”

Afrina memandang wajah Nazrin dengan pandangan yang tajam. Dia terus merenung lelaki itu hingga memaksa Nazrin berpaling daripada terus menatap wajahnya. Nazrin kemudiannya mengeluarkan peta dari dalam begnya.

“Kalau ikutkan peta ni, lepas kita habis redah padang pasir ni kita akan sampai ke pantai. Rasanya dah tak jauhlah kot.”

“Orang tanya lain dia jawab lain, tak faham bahasa agaknya,” ujar Afrina dengan nada sinis.

“Mestilah jauh lagi, kalau dekat tak  adalah orang yang koma bertahun-tahun.”

Afrina mencebikkan bibirnya mendengarkan jawapan tersebut. Nazrin tersenyum nipis.

DUA DUNIAWhere stories live. Discover now