BAB 30

24 3 0
                                    

ZAILI tergigil-gigil menahan kesejukkan dan juga demam yang dialaminya. Mereka terpaksa menghentikan perjalanan mereka buat seketika agar demam yang dialami oleh Zaili sembuh sepenuhnya.

Mana tidaknya Zaili dilanda demam panas, pakaian yang dikenakan pada tubuhnya tidak setebal mana tetapi tidur malamnya tidak berlapis selimut akibat beg dan peralatannya yang dirampas suatu ketika dulu.

Nazrin kerap kali meminta dirinya untuk bersama-sama berkongsi selimut dengannya, namun Zaili menolak. Dia sedar selimut itu cukup untuk kegunaan Nazrin seorang saja. Dalam keaadaan sejuk lagi bersalji seperti ini, sesiapa saja mudah di serang demam jika tubuh mereka asyik terdedah dengan cuaca yang sejuk.

Afrina mengambil kain yang diletakkan di atas dahi Zaili. Dia mencelup kain itu ke dalam bekas yang berisi air panas. Kain tadi diperah kemudian dituamkan lagi ke dahi Zaili. Zaili menggigil sambil tangannya kuat menggenggam selimut.

“Nak air,” kata Zaili perlahan sambil terketar-ketar.

Afrina menuangkan air suam yang berada berdekatan dengannya ke dalam cawan. Perlahan-lahan dia menegakkan tubuh Zaili lalu dia menyerahkan cawan tersebut kepadanya. Zaili meneguk minuman itu hingga habis kemudian dia berbaring semula. Afrina meletakkan cawan kosong itu ke tepi. Zaili menarik nafasnya dalam-dalam kemudian dia memandang Afrina lagi.

“Naz mana?” soal Zaili lemah.

Afrina menggeleng. “Entahlah, tadi dia cakap dia nak keluar sekejap tapi sampai sekarang tak balik-balik lagi.”

Mendengar kata-kata itu membuatkan Zaili kembali bangkit semula namun Afrina menegahnya. Tubuhnya dibaringkan semula. Pandangannya terus tertancap pada wajah gadis itu.

“Tak ada apa yang awak boleh buat dalam keadaan awak macam ni. Sekejap lagi baliklah dia tu,” kata Afrina sambil tersenyum nipis. Afrina kemudiannya memandang keluar gua tempat di mana mereka bermalam. Wajahnya bertukar muram, hatinya berasa risau. ‘Moga-moga Nazrin selamat di luar sana,’ hatinya terus berdoa.

*******

API obor yang digunakan untuk menerangi jalannya kadangkala menjadi musuhnya apabila otaknya sering terfikir yang bukan-bukan saat terpandang bayang yang terhasil.  Ketakutan sedikit sebanyak menguasai dirinya.

Nazrin memperlahankan langkahnya apabila telinga terdengar bunyi seakan-akan ranting patah. Dia memerhatikan keadaan sekeliling dengan penuh teliti. Obor yang berada di tangannya dihalakan di ke semua arah untuk melihat dari mana datangnya bunyi yang didengarinya tadi. Seminit dua telah berlalu, namun tiada apa-apa yang muncul. Setelah dipastikan keadaan benar-benar selamat, dia kembali berjalan lagi.

Sayup-sayup gema suara jeritan yang dibawa oleh angin menerjah gegendang telinga Nazrin. Nazrin menghentikan langkahnya lagi sambil dia cuba mengamati bunyi tersebut. ‘Ini suara orang, aku pasti ni suara orang,’ getus hati Nazrin.

Dia segera berlari sambil mencari tempat persembunyian apabila suara-suara itu semakin jelas pada pendengarannya. Api obornya cepat-cepat dipadamkan. Suara jeritan tadi semakin kuat bergema. Beberapa orang lelaki kelihatan berlari berdekatan dengan kawasan persembunyiannya.

“Betul ke kau nampak ada orang dekat sini tadi?” soal salah seorang daripada mereka sambil termengah-mengah.

“Betul, memang aku pasti aku nampak ada orang dekat kawasan ni tadi. Tiba-tiba je hilang,” balas Darus.

Nazrin yang mendengar perbualan itu memejamkan matanya sambil giginya diketap erat. Dia cuba untuk melihat beberapa orang lelaki yang sedang berkumpul di hadapan sana. Terbeliak matanya saat dia dapat mengenal pasti bahawa orang-orang yang berada di hadapannya itu adalah Bakri dan rakan-rakannya. ‘Mampuslah aku kali ni, mampus aku!’

“Kau ni menyusahkan orang betullah,” keluh Bakri dengan rasa geram dan kecewa. “Lagipun kau nak buat apa dengan orang tu?” soal Bakri padanya.

“Manalah tahu kot-kot dia ada makanan, boleh kita sebat.”

Bakri mengeluh lagi. “Sebab tu je? Tak guna betullah kau ni. Makanan kita ni banyak lagilah,” ujar Bakri geram lalu dia memukul kepala rakannya itu.

Lelaki itu mengaduh sambil menggosok kepalanya yang kesakitan.

“Tapi berapa lama boleh tahan? Kita tak tahu berapa jauh lagi perjalanan yang kita nak kena tempuh. Dengan keadaan yang sejuk dan bersalji macam ni, kita sendiri tak tahu ada ke tak makanan yang boleh kita cari dekat tempat ni,” ujar lelaki itu tadi.

“Tapi sorang je pun, mana cukup. Kitakan ramai,” ujar seorang lagi rakannya.

“Tak mungkinlah dia bergerak sendiri, mesti ada kawan-kawan dia yang lain jugak.”

“Sekarang korang berpecah. Kalau betullah dekat-dekat sini tadi ada orang, aku tak rasa dia tak pergi jauh.” Bakri memberi arahan kepada rakan-rakannya.

Rakan-rakannya mengangguk faham lalu mereka berpecah membawa haluan masing-masing. Dua orang rakan Bakri yang masih berada di situ datang mendekati tempat persembunyian Nazrin. Nazrin jadi tak keruan. Perlahan-lahan dia merangkak ke belakang, cuba untuk menjauhi tempat itu namun adalah suatu pekerjaan yang payah untuk dilakukan di dalam keadaan gelap-gelita begini.

Nazrin cuba untuk tidak membuat sebarang bunyi kerana rakan-rakan Bakri semakin menghampirinya. Ketika tubuhnya diundurkan ke belakang, tanpa disengajakan tangannya menekan ranting hingga patah.

Dua orang rakan Bakri tadi menghentikan langkah mereka lalu kedua-duanya berpandangan sesama mereka sebelum mereka mengarahkan obor mereka ke sekeliling kawasan itu untuk mencari punca bunyi yang baru saja mereka dengari.

Nazrin terus berbaring di atas tanah yang dilitupi salji. Dadanya berdebar-debar saat cahaya daripada obor yang dihalakan oleh rakan-rakan Bakri terkena pada wajahnya. Hatinya jadi tak tenteram. Tidak putus-putus berdoa dipanjatkan agar dirinya dijauhkan daripada segala macam musibah.

“Dekat sana tu!” jerit salah seorang daripada mereka apabila ternampak sesuatu yang mencurigakan. Seorang lagi rakannya melemparkan kayu yang diruncingkan hujungnya lalu dilemparkan ke arah lembaga yang dilihatnya tadi. Kedua-dua orang rakan Bakri yang berada berdekatan dengan Nazrin teragak-agak untuk mara ke hadapan lagi. Akhirnya mereka segera berkejaran mengekori rakan-rakan mereka yang lain.

Nazrin menarik nafas lega. Pada kesempatan itu dia segera melarikan dirinya dari situ. Habis semua dahan-dahan pokok dilanggarnya dek kerana keadaan yang gelap-gelita. Dia harus mendapatkan rakan-rakannya secepat yang mungkin.

DUA DUNIAWhere stories live. Discover now