Prolog

3.1K 187 10
                                    

Prolog

Tubuh bergerak mencari ruang yang boleh dia meloloskan diri.  Tidaklah terlalu kuat namun dia masih boleh bergerak semakin ke depan. Jantung berdegup kencang mengepam darah.  Nafas digali dalam-dalam mencari oksigen. Teruja sungguh jangan dikata. Sudah lebih dari tempoh tiga bulan dia menunggu sehinggalah ke saat ini.  

Mata bersinar galak saat mata mula menjamah seisi dewan teater yang sungguh indah di tatarias gah dan memukau bak istana lama zaman dahulu. 

Istana Melaka di waktu kemuncak kegemilangan pemerintahan berajanya. 

Teater Pementasan Puteri Gunung Ledang oleh satu Universiti tempatan untuk mengumpul dana kebajikan anak-anak yatim dan rumah perlindungan.  

Lamunannya yang disebabkan terlalu terpukau dikejutkan bila tubuhnya ditolak dari belakang.  Dia menoleh. Bibir di gigit manja bila tersedar dia sudah menghalang laluan orang. Mata kemudian mencari tempat duduk yang masih kosong.  Harapnya masih ada. 

"Wey sini!" 

Tangan panjang yang tergapai-gapai di udara menangkap kornea matanya dan serta-merta lebar dia tersengih.  Seakan berlari, sekejapan sahaja dia sampai ke tempat pemilik tangan tadi.  

Mata cantik berbulu lentik itu bergerak-gerak memandang ke arah pentas melihat barisan pelakon yang mula memenuhi pentas dan membentuk barisan panjang untuk sesi memperkenalkan watak.  

Entah kenapa,  dia terlalu suka.  Adrenaline rush! Padahal diri sendiri tidak langsung pandai dalam bidang seni tetapi dia terlalu sukakan teater.  Bagai orang yang angau bercinta gamaknya.  

"Eh dah start!" bisiknya. Gaya menahan jerit sambil kaki dihentak-hentak di atas lantai berlapis karpet tebal warna merah itu.  

Gadis di sebelahnya menggeleng.  Datang pun sekadar nak teman orang sebelahnya itu sahaja.  Bosan kut! Dia langsung tak faham apa pun tentang teater.  

Lampu di bahagian penonton mulai malap tanda pementasan sudah dimulakan.  Dia membetulkan duduknya. Fokus.  

“Kanda lupa cinta dinda seagung maya.”

Itu dialog Tuah. Dilakonkan sangat baik dan hebat persis M.Nasir, pelakon Malaysia yang membawa watak sebenar di dalam filem.  Dia tersengih.  

Ah indahnya!  Dialog orang lama memang indah! 

Dia kerut dahi.  Tiba-tiba kepalanya terasa pusing dan berdenyut hebat.  Dia menunduk sedikit sambil sebelah tangan naik memegang kepala.  

"Kau curi dialog siapa pulak ni?" 

Suara halus seorang gadis tiba-tiba menerpa telinga. Asing.  

Matanya berbalam memandang ke atas pentas.  Makin berkerut dahi bila keadaan pentas sudah hilang dan diganti dengan imej seorang lelaki dan seorang gadis yang duduk bersila saling menghadap satu sama lain di atas gelanggang seakan gelanggang badminton.

"Hang Tuah? Kau lupa? Malam Gala Tingkatan Lima? Aku si Tuah yang setia dan kau Gusti Putri si jelitawan yang berkuasa." balas si lelaki.  "Poyo." Sambungnya sambil menghambur sedikit tawa mengejek. 

Kepalanya ditekan makin kuat.  Apa ni?  

Si gadis dilihat ketawa sambil memegang perut.  Terangguk-angguk kepalanya. "Kau nak aku balas? Macam Gusti Putri?"

Si lelaki membaling bulu tangkis pada si gadis yang masih ketawa. Bengang dan malu! 

“Cinta kanda? Bukan semesta luasnya?”

Suara lunak manja si gadis semakin menekan rasa sakit di kepala dia.  Kenapa tiba-tiba jadi macam ni? Aku dekat mana ni?  

Itu aku!  Gadis tu! Aku!  

Kenapa?  Macam mana aku boleh ada atas pentas tu?  

“Masih kecil berbanding cinta dinda!”

Tiba-tiba si lelaki menarik lembut pergelangan si gadis.  Matanya penuh dengan sesuatu. Si gadis dilihat mengangkat mata dan ikut membalas pandang.  Juga seperti si lelaki, sarat rasanya.  

Dia rasa aneh.  Perut mulai sebu.  Mual tekak. Tidak semena tangan naik mencengkam lengan orang sebelah.  

"Eh,awak kenapa ni?"

Bercampur-campur suara yang menyerang otaknya sekarang.  Antara suara sahabat di sebelahnya, suara romantis si lelaki dan suara lunak manja si gadis.  

Bercelaru!  

“Tapi kanda ke mari juga.”

“Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga."

Suara tawa bahagia yang bergabung itu sungguh buat dia sesak nafas. Panas seluruh muka.  Kejang seluruh ototnya. 

Dia dah tak mampu nak bertahan.  Matanya semakin kuyu dan imej yang terlayar di depan matanya semakin berbayang dan pecah beribu-ribu.  Dada sesak. Kepalanya seakan mahu pecah. 

"Tolong!" 

"Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda"

Diam! Jangan bersuara lagi!  

Dia tidak lagi mampu bertahan. 

"Kenapa ni?"

Kemas tubuhnya terasa di dakap saat diri hilang daya imbangannya. Separuh terkatup matanya memandang pemilik tangan yang tiba-tiba memegang lembut rahangnya. 

"P—Putri?!"

Bergema suara yang memanggil namanya menambahkan rasa lemah seluruh sendi. Akhirnya dia rebah. Kelam. Gelap.  

Loving you, Tuah ( Sedang Di Edit. ) Where stories live. Discover now